Terdapat banyak berita sejak akhir-akhir ini yang memperkatakan mengenai ketegangan antara hubungan China dan Amerika. Kita mungkin tertanya-tanya punca utama ketegangan dua kuasa dunia utama ini. Jadi, sebelum memperjelaskan perkara ini elok kita imbas kembali sejarah dunia atau kita tinjau kembali kejatuhan empayar-empayar dunia.
Sejarah menceritakan kepada kita bahawa empayar terdahulu seperti kerajaan Namrud (hidup sekitar 2275SM-1943SM) adalah empayar yang hebat dan mempunyai seorang raja yang dikenali sebagai Namrud yang memerintah Mesopotamia purba (kini dikenali sebagai Iraq). Namrud telah memulakan era pada masa manusia memandang rendah kepada Tuhan. Rakyatnya tidak digalakkan untuk melakukan kebaikan demi tuhan (bukan Allah) kerana baginya tuhan yang ghaib adalah lemah. Banyak peristiwa mengenai Namrud dan nabi Ibrahim a.s. ini telah dirakamkan di dalam al-Quran antaranya pada ketika nabi Ibrahim a.s. berdebat dengan Namrud (2:258) dan peristiwa nabi Ibrahim a.s. dilempar ke dalam api oleh Namrud (Rujuk Surah 21:68, 29:24 dan 37:97) dan peristiwa api menyelamatkan nabi Ibrahim a.s. (Rujuk Surah 21:69, 21:70, 29:24 dan 37:98). Namun, akhirnya Allah SWT telah menurunkan bala melalui beribu-ribu nyamuk dan serangga halus untuk membunuh Namrud dan bala tenteranya maka berkuburlah kerajaan Namrud.
Setelah berkubur kerajaan Namrud maka muncul pula kerajaan Firaun dan nabi Musa a.s. sebagaiman yang dirakamkan di dalam al-Quran. Saat perjumpaan nabi Musa a.s dengan Firaun dirakamkan dalam al-Quran. (Rujuk Surah 20:58, 20:59, 20:64, 20:65, 20:66, 26:38, 26:39, 26:40, 26:43 dan 26:44). Kerajaan Firaun terkenal dengan Piramid dan kehebatannya iaitu dari tempoh Dinasti Awal sebelum 3000 SM hingga ke penghujung Dinasti Ptolemaik iaitu apabila Mesir menjadi jajahan Empayar Rom di bawah pemerintahan Augustus Caeser pada 30 SM. Namun, disebabkan keangkuhan dan kesombangan Firaun, Allah SWT telah menurunkan bala sebagaimana yang dirakamkan di dalam al-Quran iaitu kehancuran Firaun dan pasukannya. (Rujukan di dalam Surah 2:50, 3:11, 7:136, 7:137, 8:52, 8:54, 10:88, 10:90, 10:92, 17:103, 20:78, 20:79, 23:48, 25:36, 26:64, 26:66, 28:40, 29:40, 40:45, 43:55, 43:56, 44:24, 44:25, 44:26, 44:27, 44:28, 44:29, 51:40, 54:42, 68:10, 73:16, 79:25, 85:17, 85:18 dan 89:13).
Setelah kerajaan Firaun musnah maka kerajaan Rom pula menguasai dunia. Empayar Rom menguasai permukaan tanah sebanyak lebih kurang 5,900,000 kilometer persegi dan menjadikan empayar terbesar semasa Zaman Purba Klasik. Namun, akhirnya atas sebab-sebab tertentu Empayar Rom telah jatuh. Empayar Rom ini ditakluk oleh Empayar Islam Turki Uthmaniyyah pada 29 Mei 1452 tetapi pengaruh budaya, undang-undang, bahasa, agama, kerajaan, tentera dan seni bina Rom terhadap tamadun Barat masih dapat dikesan pada hari ini.
Secara ringkas, kekuasaan Empayar Islam Uthamiyyah boleh dikategorikan kepada dua zaman. Zaman pertama boleh dikatakan semasa berlakunya penaklukan dan perkembangan kuasa iaitu bermula daripada penawanan Constantinapole pada tahun 1453 sehinggalah kemangkatan Sultan Sulaiman al-Qanuni pada tahun 1566. Zaman kedua pula, iaitu semasa struktur pentadbiran mula menunjukkan kelemahannya akibat daripada perebutan kuasa dan rasuah iaitu dari tahun 1566 sehinggalah kegagalan serangan ke atas Vienna pada tahun 1683. Empayar Islam Turki Uthmaniyyah yang hebat itu tamat pemerintahan pada tahun 1924. Ia merupakan empayar terakhir Islam yang pernah menguasai sebahagian besar benua Asia, Eropah dan Afrika Utara.
Sebahagian besar wilayah takluk Empayar Islam Uthmaniyyah yang bertapak di Turki itu terletak di Asia Barat termasuklah Palestin, Israel, Kuwait, Iraq, Lebanon, Jordan, Syria dan Iran. Empayar Islam Uthmaniyyah juga pernah menjajah beberapa negara Eropah dan Afrika Utara termasuklah Greece, Hungary, Albania, Armenia, Bosnia-Herzegovina, Bulgaria, Serbia, Kosovo, Arzebaijan, Croatia, Tunisia, Libya, Mesir, Algeria serta beberapa negara lain.
Kemudian muncul pula kuasa-kuasa Eropah pada abad ke-16 seperti kuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Pada kurun ke-16 ini, kuasa dunia adalah di tangan Portugal dan pencabarnya adalah Sepanyol. Perang dunia berlaku sekitar tahun 1494-1516 dan Portugal pada ketika itu berpakat dengan Belanda.
Kini, muncul pula negara Amerika dan Britain yang menjadi antara kuasa dunia. Sedar atau tidak kita kini berada pada zaman transisi iaitu satu kuasa baharu akan muncul iaitu China. Persoalan yang timbul di sini ialah status umat Islam untuk menempatkan diri mereka. Adakah mereka akan bersama perubahan dunia atau tenggelam dengan peperangan sesama sendiri dan menggunakan alam siber untuk menyebarkan fitnah di media sosial bagi menjatuhkan satu sama lain kerana perebutan kuasa?
Huawei sebuah syarikat gergasi dari China yang giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kini meneraju teknologi komunikasi global yang kita kenali sebagai 5G iaitu yang paling laju dan syarikat yang paling banyak menghasilkan paten. Perlu diingat bahawa teknologi adalah intrumen yang paling penting untuk merubah landskap ekonomi dunia yang kita kenali sebagai Revolusi Industri 4.0. Pada masa akan datang kita betul-betul akan merasai apa yang dikatakan sebagai kereta terbang, drone yang menghantar barang dan bukan lagi pos atau courier. Kita juga akan merasai kereta-kereta yang tanpa pemandu atau driverless car sekiranya kita ada connectivity atau kelajuan seperti 5G.
Amerika merupakan negara yang paling resah kerana China sedang berusaha untuk mengatasainya sebagai peneraju teknologi dan menguasai dunia. Setakat ini, kita melihat syarikat-syarikat Amerika Syarikat yang sama taraf dengan Huawei dari segi teknologi 5G tidak ada. Pemerhati-pemerhati geopolitik melihat reaksi untuk menyekat Huawei daripada memasuki pasaran ekonomi Barat adalah jalan terakhir mereka iaitu jalan kekerasan untuk mengekalkan hagemoni Barat dalam menguasai dunia.
Teknologi 5G ini secara tidak langsung akan menentukan negara manakah yang akan menguasai ekonomi dunia. China bakal menerajui ekonomi dunia pada tahun 2025 dengan menguasai teknologi robot. Jadi, ketika itu semua kilang di dunia boleh memiliki robot-robot dari China berbanding dari Korea, Jepun, Jerman, Peranchis dan Amerika. Ini adalah perkara yang amat membimbangkan Amerika Syarikat serta negara-negara Barat akan berakhirnya kekuasaan Barat atau kejatuhan Empayar Barat. Persoalan yang perlu difikirkan ialah apakah nasib umat Islam di dunia ketika itu, yang kini berperang sesama sendiri kerana berebut kuasa?