Jelas daripada titah baginda itu, dua perkara yang saling berkaitan antara satu dengan yang lain diberikan perhatian berat, iaitu ilmu dan nasihat. Ilmu sebagaimana yang disebut oleh Waki`, guru al-Imam al-Syafi`e r.h. sebagai nur atau cahaya berperanan membimbing hati dan nurani manusia untuk memilih kebaikan dan kebenaran serta meninggalkan keburukan dan kebatilan. Dengan yang demikianlah insan yang berilmu dikurniai oleh Allah darjat yang tinggi disebabkan ilmu yang dimiliki dapat memberikan manfaat yang besar, bukan sahaja kepada dirinya bahkan juga kepada manusia lain amnya. Kaitan antara ilmu yang bermanfaat dengan nasihat juga jelas dapat dilihat pada kisah Luqman al-Hakim. Luqman, merupakan penduduk Mesir yang berkulit gelap (Habsyi) dan mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupannya. Beliau dikurniai hikmah, iaitu kebijaksanaan yang membolehkannya memberikan nasihat berguna melalui kata-katanya yang bernas sebagai isyarat ketajaman fikirannya kepada puteranya yang dikasihi, An`am atau Asykam atau juga beberapa nama lain yang disebut oleh mufassirin. Nasihat Luqman yang merangkumi tanggungjawab menunaikan hak Allah dan sesama manusia itu dirakamkan al-Qur’an untuk panduan manusia seluruhnya. Salah satu nasihat yang disampaikan Luqman itu turut menyentuh tentang tanggungjawab menyampaikan nasihat, iaitu menyeru manusia untuk melakukan kebaikan dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran. Dalam bermu`amalah dengan manusia yang tentunya turut meliputi usaha menyampaikan nasihat, Luqman mengingatkan puteranya, “Wahai anakku! Janganlah kamu bersikap terlalu manis kerana kamu pasti akan ditelan dan janganlah pula kamu bersikap terlalu pahit (keras) kerana kamu pasti akan dimuntahkan!”
Kepentingan nasihat diberikan perhatian oleh pemimpin-pemimpin agung dunia Islam sejak zaman Nabi s.a.w. Nabi s.a.w. sebagai contoh, sentiasa mendengar pandangan sahabat-sahabat dalam segala urusan; daripada soal pemerintahan, kemasyarakatan, sehinggalah peperangan. Tindakan Baginda s.a.w. itu diteladani oleh pemimpin-pemimpin besar sesudah Baginda. Rujuklah sejarah, bagi setiap pemimpin yang hebat pasti ada penasihat yang baik di sisinya yang mencadangkan strategi penting bagi mencapai kejayaan atau menegur kesilapan yang terlanjur dilakukan. Kita tentu pernah mendengar kisah Khalifah `Umar ibn `Abdil `Aziz dan Dewan Penasihatnya yang terdiri daripada sepuluh orang `ulama’ yang berpengaruh, Sultan Mehmet II atau Sultan Muhammad al-Fateh dan `ulama’ penasihatnya seperti Molla Khosrew serta Syeikh Syamsuddin al-Wali, Qutuz dan `ulama’ terbilangnya, Sultan al-`Ulama’ al-`Izz ibn `Abd al-Salam, dan sebagainya. Tidak kurang juga di alam Melayu. Pemerintah Kesultanan Melayu Islam silam juga memiliki penasihat mereka yang terdiri daripada `ulama’ seperti Tok Ku Paloh, yang menasihati pemerintah Terengganu, Sultan Zainal Abidin III dan Syarif Aznan yang menasihati sultan Kedah, Sultan Sulaiman Shah II serta Syeikh Muhammad Taib yang menasihati seorang lagi pemerintah negeri itu, iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah.
Apa yang berlaku dalam sejarah itu menunjukkan hubungan yang akrab antara umara’ dengan `ulama’ sehingga membawa pemerintahan Islam ketika itu mencapai kegemilangan yang tiada bandingannya. Pemerintah sentiasa mendampingi dan mengasihi serta menyanjung `ulama’ disebabkan ketinggian ilmu dan keteguhan keperibadian mereka. `Ulama’ pula berani menegakkan kebenaran dan mengemukakan nasihat meskipun menyedari kemungkinan dimurkai atau dijatuhi hukuman tertentu. Ini sebagaimana yang ditunjukkan Sultan al-`Ulama’ al-`Izz ibn `Abd al-Salam yang menolak cadangan kutipan cukai daripada rakyat oleh Qutuz, pemangku raja Dinasti Mamluk Mesir bagi menyediakan perbelanjaan ketenteraan untuk menghadapi tentera Hulagu. Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya semua barang yang berharga dijual dan tentera dipastikan hanya memiliki senjata serta haiwan yang ditunggangi sahaja.
Peranan yang dilaksanakan `ulama’ terbilang ini menepati apa yang ditegaskan oleh Nabi s.a.w. dalam Hadith daripada `Aisyah r.a. bahawa Baginda bersabda yang bermaksud, “Sekiranya Allah SWT menghendaki kebaikan untuk seseorang pemimpin itu, maka Dia akan menjadikan untuknya menteri (pembantu) yang benar. Jika pemimpin itu lupa, menteri (pembantu) itu akan mengingatkannya. Jika pemimpin tersebut ingat, menteri (pembantu) itu memberikan bantuan kepada pemimpinnya itu. Jika sebaliknya Allah menghendaki yang sebaliknya bagi pemimpin itu, Allah akan menjadikan untuk pemimpin itu menteri (pembantu)nya yang buruk akhlaknya. Jika pemimpin itu lupa, ia tidak mengingatkannya dan jika pemimpin itu ingat, ia tidak pula membantunya.” (Abu Daud)
Seperkara penting yang perlu diberikan perhatian ialah nasihat yang mahu disampaikan perlulah berasaskan pendekatan yang berhikmah dan berkesan. Ini bagi memastikan nasihat yang berguna itu diterima dengan hati yang lapang terbuka dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Sebagaimana dikatakan oleh al-Imam al-Ghazali r.h. dalam kitabnya, Mizan al-Amal, hikmah yang dinisbahkan pada kekuatan akal yang seterusnya antara lain, membentuk ketepatan dan kemuktamadan pandangan, kejelasan minda, dan keazaman yang teguh membolehkan individu yang memilikinya memilih cara dan situasi terbaik bagi menyatakan nasihat serta kritikannya. Berbeza dengan orang lain, hikmah yang dimiliki membolehkannya melihat permasalahan yang dihadapi dalam konteks yang lebih luas dan menyeluruh serta menimbangkan secara matang penyelesaian yang terbaik.
Merujuk kepada situasi terkini yang melanda negara memperlihat bahawa nasihat begitu diperlukan untuk diberikan secara berhikmah dan jujur kepada kepemimpinan negara. Isu keselamatan rakyat dan negara serta nyawa yang terkorban dalam mempertahankannya merupakan isu besar yang tidak seharusnya ditangani secara beremosi. Saling tuduh-menuduh dan menyalahkan antara satu dengan yang lain hanya menyerlahkan sikap kita yang tidak memberikan perhatian terhadap permasalahan hakiki yang dihadapi. Apa yang sebenarnya diperlukan ialah sikap berlapang dada dan bermuhasabah dengan jujur terhadap sebarang kecuaian serta kesilapan yang mungkin telah dilakukan. Begitu juga bertindak mengenal pasti langkah seterusnya yang harus diambil antara lain bagi tujuan peningkatan keutuhan pertahanan dan keampuhan keselamatan negara dalam segenap sudut. Tidak terkecuali menasihati penyokong dan pengikut untuk bertindak lebih wajar dan bijak bagi membantu mengukuhkan ketenteraman awam. Nasihat-menasihati sesama kita menunjukkan iltizam untuk menegakkan agama yang terkandung di dalamnya pemeliharaan lima prinsip penting, iaitu agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta yang seterusnya menjamin kelangsungan bangsa serta negara tercinta ini.