Pencerobohan Sabah oleh sekumpulan militan Sulu telah mengejutkan seluruh negara, dan menimbulkan beberapa persoalan dan keraguan di kalangan masyarakat. Persoalan pertama adalah bahawa penceroboh itu adalah saudara seagama, adakah kita dibenarkan membunuh mereka? Persoalan ini kita timbulkan kerana kita tahu dan menginsafi hakikat bahawa nyawa dan maruah sesama Islam tidak boleh diperlakukan sesuka hati.
Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Majah Rasulullah s.a.w. diriwayatkan bersabda: “Apabila dua orang Muslim bertemu dengan pedang masing-masing terhunus, pembunuh dan yang terbunuh kedua-duanya masuk neraka.” Para sahabat bertanya: “Bukankah sepatutnya hanya si pembunuh sahaja yang masuk neraka, kenapa pula dengan yang terbunuh?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Kerana dia juga berniat membunuh saudaranya.”
Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda: “Perbuatan mencaci seorang Muslim adalah suatu kefasikan, manakala membunuhnya adalah kekufuran”.
Dua hadis adalah sekadar contoh daripada sekian banyak hadis yang boleh kita temui dalam kitab-kitab kumpulan hadis, perihal kemuliaan maruah dan nyawa seorang Muslim. Berasaskan kepada kenyataan inilah maka para ulama usul bersepakat bahawa nyawa dan maruah adalah dua perkara yang wajib dipelihara dan dilindungi, dan dimasukkan dalam matlamat-matlamat agama (maqasid al-shari’ah). Ini adalah prinsip umum yang mengawal perilaku setiap Muslim. Prinsip ini mengatasi aturan-aturan lain, tidak kiralah aturan itu ditetapkan oleh individu, puak, pertubuhan atau negara sekalipun—darah dan maruah seorang Muslim tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya.
Namun, seperti yang tercatat dalam sejarah, dari masa ke masa sememangnya berlaku di sana sini pertembungan berdarah sesama Muslim. Dan itulah yang berlaku apabila gerombolan Sulu itu memasuki Lahad Datu dengan senjata dan tuntutan. Walau apapun tuntutan mereka, prinsip yang kita nyatakan di atas tetap wajib dihormati. Perbuatan menumpahkan darah anggota pasukan keselamatan kita telah mengubah keadaan kerana mudarat telah dilakukan dan kemudaratan lebih besar mungkin akan berlaku sekiranya mereka tidak dibanteras. Dalam keadaan itu darah dan maruah mereka tidak lagi wajib dijaga, kerana yang menjadi keutamaan kerajaan kini adalah mempertahankan nyawa dan harta rakyat serta maruah negara kita.
Apa yang dilakukan oleh penceroboh Sulu itu bukanlah jihad tetapi fasad (kerosakan) kerana pihak yang mereka perangi itu adalah kerajaan Islam yang tidak pernah memerangi mereka demi menghapuskan agama yang mereka anuti. Tindakan mereka itu adalah suatu perbuatan yang nyata kesalahannya di sisi agama seperti yang ternyata dalam hadis-hadis di atas. Sebaliknya, tindakan kerajaan kita berunding adalah tindakan terpuji dan sejajar dengan ajaran al-Qur’an yang menuntut perdamaian diusahakan apabila dua golongan Muslim mengangkat senjata terhadap satu sama lain. Apabila usaha perdamaian itu gagal kerana satu dari dua pihak itu telah melampaui batas maka tindakan memerangi pihak yang melampau itu menjadi kewajiban pemerintah yang bertanggungjawab memelihara nyawa, harta dan maruah rakyatnya. Penceroboh Sulu telah melampaui segala batas-batas yang ditetapkan agama apabila mereka membunuh lapan anggota keselamatan, mengancam keselamatan orang ramai, dan menghalang mereka dari bekerja mencari penghidupan. Oleh sebab itu maka menjadi kewajiban kerajaan negara kita memerangi mereka sehingga mereka kembali patuh kepada perintah Allah.
Kalaulah benar penceroboh Sulu itu orang Islam maka tentulah menjadi kewajiban mereka menghargai nyawa orang Islam yang lain. Akan tetapi, tindakan mereka membunuh dan mencacatkan mayat anggota keselamatan kita adalah perbuatan yang terkeluar dari batas-batas yang digariskan oleh agama, dan perbuatan mereka itulah yang mewajarkan peperangan dilancarkan ke atas mereka sehinggalah mereka kembali mahu berdamai dan menghentikan tindakan-tindakan yang mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.
Perbuatan menceroboh Sabah juga menyalahi kepentingan atau maslahah umat Islam sama ada yang berada di Sabah mahupun yang berada di selatan Filipina. Memang benar Sultan Sulu pernah memerintah Sabah. Akan tetapi itu adalah cerita lama. Apakah penduduk Sabah hari ini yang masih mahu berajakan Sultan Sulu? Pungutan suara yang dilakukan oleh Suruhanjaya Cobbold menunjukkan keinginan sebahagian besar rakyat Sabah, termasuklah orang Suluk, bahawa mereka mahu menyertai Malaysia, bukan bersama dengan Sultan Sulu di bawah pemerintahan Filipina. Fakta sejarah juga menunjukkan bahawa masyarakat Islam di Mindanao sendiri sudah puluhan tahun mengangkat senjata menentang kerajaan Filipina bagi menuntut pemisahan, sedangkan Sultan Sulu berusaha menambahkan lagi jajahan Filipina dengan memasukkan Sabah di bawah naungannya. Alangkah pelik hasratnya itu. Sekiranya masyarakat Islam selatan Filipina melihat pemisahan dari kerajaan Filipina sebagai maslahah yang mesti dituntut hatta dengan senjata sekalipun, maka demikianlah seharusnya mereka melihat maslahah rakyat Sabah. Mereka sudah memutuskan bahawa kepentingan dan kebajikan mereka lebih terjaga di bawah Persekutuan Malaysia. Oleh itu hasrat dan keputusan mereka itu juga mesti dihormati. Bahkan dengan Sabah makmur di bawah naungan Malaysia saudara seagama kita di selatan Filipina turut merasai nikmat kemakmurannya.
Justeru kita menegaskan bahawa pencerobohan Lahad Datu adalah merupakan tindakan yang merugikan kepentingan umat Islam secara keseluruhannya. Wajib bagi penceroboh berkenaan menghentikannya dan menerima hakikat bahawa kuasa adalah pemberian Allah yang sementara. Kerajaan Sulu pernah diberikan kuasa, dan kini kuasa itu telah diserahkan kepada kerajaan Malaysia. Lebih baik sekiranya mereka turut mengambil kesempatan dari kemakmuran Sabah daripada menimbulkan krisis dan pertumpahan darah yang berpanjangan sehingga merugikan semua pihak.