Merdekakah negara-negara Islam dalam konteks politik dunia hari ini? Persoalan ini timbul khususnya selepas 50 tahun tamatnya Perang Dunia Kedua, negara-negara Islam terpaksa menanggung beban yang berat akibat daripada kemelut dan konflik yang melanda dunia dan melibatkan umat Islam sejak itu.
Umat Islam di merata dunia bukan sahaja terpaksa membayar dengan darah, pengorbanan fizikal dan psikologi malah dipaksa melalui saat-saat yang amat memalukan serta hina yang menggugat maruah dan kredibiliti mereka sebagai ummah sekali gus manusia.
Pencabulan dan penafian hak, secara langsung amat ketara seperti mana yang berlaku di Palestin, Bosnia, Chechnya, Kosovo, Afghanistan dan Iraq. Sementara secara tidak langsung kesan pencabulan ini dapat dirasakan di hampir kesemua negara Islam.
Hampir kesemua negara Islam sama ada sedar atau tidak, terpaksa berterima kasih kepada kuasa Barat sebelum mereka memperoleh kebebasan untuk merdeka dan mengurus negara mereka sendiri. Hampir boleh dikatakan semua negara Islam yang dikatakan merdeka pada hari ini sebenarnya tidak merdeka.
Kemerdekaan mereka bersyaratkan kepada sejauh mana mereka tidak mengancam Barat. Sebaik sahaja Barat terancam, pasti Barat akan melakukan sesuatu untuk mencegahnya.
Kebebasan bersyarat yang mereka peroleh itu terpaksa mengorbankan bukan sahaja nyawa, malah banyak perkara termasuk tanah, harta, budaya, dan harga diri umat Islam. Jika dipersetujui oleh Barat, maka akan lebih senanglah mereka merdeka dan menguruskan negara mereka sendiri.
Tetapi jika sebaliknya, perjalanan negara berkenaan untuk mengembalikan maruah dan hak mereka terpaksa berlanjutan dan beranjau seperti mana yang berlaku di Palestin, Iraq, Afghanistan dan beberapa negara lain.
Apa yang membezakan keadaan ini di negara Islam lain ialah tahap kegawatan di negara masing-masing dan sejauh mana Barat terasa terancam.
Di sesetengah negara Islam yang walaupun merdeka, tekanan diberikan dalam pelbagai bentuk untuk memastikan mereka terus terikat dengan sistem yang diperakui dan direstui oleh Barat.
Pelbagai cara dilakukan Barat dan yang paling ketara menggunakan manipulasi sistem politik dan ekonomi dunia yang mereka ciptakan.
Ini boleh dibuktikan apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dijadikan alat mencapai agenda hegemoni berterusan mereka.
Amat malang kepada kita apabila sistem ini tidak boleh mereka pakai, seperti mana yang berlaku di Iraq baru-baru ini, sistem diketepikan dan mereka tetap dengan agenda buruk yang tersirat itu dengan cara mengetepikan PBB dan bertindak secara unilateral.
Di Turki umpamanya, umat Islam di syaratkan secara tidak langsung mengubah bias Islamik mereka sebelum ini kepada sekularisme dan membolehkan kerajaan pimpinan Mustafa Kamal Attartuk memerintah atas nama merdeka tetapi berterusan diikat oleh Barat sehingga kini dalam apa juga tindak tanduknya kecuali dalam perkara yang tidak bertentangan dengan kepentingan Barat.
Hakikat ini mudah kita fahami bila melihat secara umumnya Turki dan masyarakatnya lebih kebaratan berbanding sebelumnya. Keahlian Turki, satu-satunya negara majoriti penduduknya Islam dalam NATO juga boleh dijadikan bukti jelas hakikat ini.
Cuma sejak akhir-akhir ini kebangkitan semangat Islam itu dapat dilihat tetapi Turki masih dilihat amat berhati-hati demi mengelak berdepan dengan ancaman Barat secara terbuka.
Kita di Malaysia juga tidak terkecuali daripada ancaman berterusan Barat ini. Namun kita harus bersyukur dan merasa amat bertuah kerana kebijaksanaan dan pemikiran strategik pemimpin-pemimpin kita sejak merdeka telah membolehkan kita, walaupun diikat dengan syarat-syarat tertentu secara langsung atau tidak, memperoleh kemerdekaan daripada British pada 1957, mempertahankan kemerdekaan, membangunkan negara kita ke tahap yang ada, dan yang lebih penting secara paling berkesan mengelak Malaysia dijajah secara tidak langsung.
Kebolehan para pemimpin negara dalam mengawal dan mengatasi kegawatan politik, ekonomi dan kewangan membolehkan kita mengekalkan kemerdekaan kita.
Alhamdullilah Malaysia lebih merdeka daripada banyak negara Islam lain yang merdeka. Kemerdekaan yang terhad ini haruslah dipelihara dengan mengekalkan kestabilan politik dan ekonomi yang sedia ada di samping berusaha mempertingkatkan usaha ke arah memperkuatkan negara dan ummah setanding dengan Barat.