KEAMANAN dalam Islam bukan bererti tiada peperangan. Keamanan itu wujud apabila tidak berlaku penindasan dan tirani (corak pemerintahan yang zalim).
Firman Allah, yang bermaksud: “Dan perangilah kerana (menegak dan mempertahankan) agama Allah akan orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan) kerana sesungguhnya, Allah tidak suka orang yang menceroboh.” (Surah al-Baqarah, ayat 190).
Islam menjelaskan, keamanan tulen hanya dapat menjadi kenyataan apabila keadilan ditegakkan. Dalam konteks dunia hari ini, persaingan senjata mencetuskan ketidakadilan yang memungkinkan peperangan berlaku di mana-mana dan bila-bila masa saja.
Islam tidak mewajibkan perang semata-mata kerana ingin atau suka berperang. Juga, agama itu tidak menghalalkan perang kerana tujuan penaklukan dan penguasaan.
Sebaliknya, perang dalam Islam bermula daripada sikap mempertahankan diri, bertepatan dengan firman Allah dalam sebahagian ayat 194, Surah al-Baqarah, yang bermaksud: “Oleh itu, sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu, maka balaslah pencerobohannya itu, seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu.”
Inilah prinsip yang dipegang oleh negara Islam dan menjadi amalan pemimpin agung Islam sejak dulu.
Keamanan dunia tidak akan dapat dicapai jika penindasan dan ketidakadilan berlaku mengikut kepentingan sesebuah negara yang membelakangkan semangat multilateral. Setiap negara berdaulat adalah entiti terpenting dalam sistem hubungan antarabangsa. Mereka memiliki hak dan tanggungjawab untuk menjaga keamanan dunia melalui prinsip keselamatan bersama yang termaktub dalam piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sehubungan itu, mekanisme perantaraan yang mengimbangi hubungan antarabangsa amat perlu dikekalkan, sama ada melalui keseimbangan kuasa besar atau mandat yang diberi kepada satu pertubuhan antarabangsa yang bertanggungjawab mengekalkan keamanan dunia seperti PBB.
Islam mewajibkan umatnya dan negara Islam untuk menjaga keamanan, kemerdekaan dan perpaduan negara.
Kewajipan ini diperkuatkan dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan jika ada dua puak daripada orang beriman yang berperang, maka damaikanlah di antara kedua-duanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara kedua-duanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah), dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Ayat itu jelas menggalakkan supaya umat Islam memainkan peranan bagi menamatkan dengan segera mana-mana pertikaian. Sekiranya kedua-dua belah pihak yang bersengketa menerima dan menghormati satu sama lain, masalah itu akan selesai. Namun, jika ada pihak yang masih ingin meneruskan permusuhan, iaitu tidak mahu mengikut pendapat umum atau enggan tunduk kepada perintah Allah, maka ia dianggap sebagai terkeluar daripada garis undang-undang antarabangsa Islam dan mencabul peraturannya.
Mengikut peraturan Islam, kumpulan negara yang bertanggungjawab membuat ketetapan berkenaan wajib bertindak memerangi negara yang ingkar itu dan memaksanya supaya patuh kembali kepada kebenaran. Selepas perdamaian dicapai, kita dianjurkan agar tidak menganiayai pihak atau negara yang memulakan pencerobohan, malah mengadilinya dengan seadil-adil mungkin.
Terdapat banyak kelemahan dalam PBB yang menyebabkan ia tidak dapat berfungsi secara berkesan. Keadaan ini bertambah buruk dengan wujudnya ketidakseimbangan kuasa besar pada peringkat antarabangsa yang tidak dapat ditangani oleh pertubuhan itu. Justeru, terbentuklah satu orde baru dunia yang dikepalai oleh Amerika Syarikat.
Orde baru ini memperlihatkan pengembalian kepada pemikiran Machiavelli iaitu mencari ‘suatu jalan yang tunggal ke arah itu (menguatkan kekuasaan dunia). Ia adalah untuk membolehkan mana-mana yang lebih kuat daripada kuasa itu menundukkan bahagian pemerintahan yang lain dengan kekerasan, dan perang, atau dengan cara apa sekalipun, tanpa perlu terikat dengan peraturan perang atau akhlak. Ini kerana kebenaran selalunya berada di sebelah pihak yang kuat, dan tujuan (matlamat) boleh menghalalkan semua cara pelaksanaan (cara).”
Penyataan ini menampakkan keserasian dengan isu keamanan dunia hari ini yang dipengaruhi oleh kuasa besar seperti Amerika. Keselamatan dunia akan sentiasa terancam akibat kerakusan entiti antarabangsa (negara) yang cuba mengenengahkan kepentingan negaranya melalui dasar luar yang bersifat unilateral.
Sebelum dunia memasuki alaf kedua, masyarakat antarabangsa dijanjikan dan dikaburkan dengan pandangan intelek dan pemimpin dunia, kononnya dunia akan mencapai keamanan sejagat pada tahap yang paling gemilang. Rupa-rupanya keamanan yang dimaksudkan ialah keamanan yang ditentukan oleh satu kuasa besar yang mengadili dunia mengikut kemahuannya.
Sekiranya sebarang keputusan atau langkah yang diambil oleh setiap entiti antarabangsa (negara, organisasi atau kumpulan) bertentangan dengan kepentingan kuasa besar tadi, yang bertindak sebagai polis dunia, maka entiti itu wajib dimusnahkan. Kononnya, tindakan itu agar keamanan dapat dikekalkan.
Keadaan sedemikian mengubah sistem politik antarabangsa yang berorientasikan kepada semangat multilateral dan kolektif dalam menangani isu bersama sejagat seperti isu keamanan, keganasan, jenayah dan antarabangsa.
Salah satu kejayaan besar dunia pasca 1945, iaitu selepas PBB ditubuhkan, ialah sedikit sebanyak peperangan di antara negara dapat ditamat dan dikurangkan. Dua faktor penting membolehkan keadaan yang agak stabil ini berlaku. Pertama, penerimaan prinsip campur tangan luar terhadap negara berdaulat adalah dilarang sama sekali. Kedua, penerimaan prinsip, kuasa kekerasan dibenarkan untuk tujuan mempertahankan diri mengikut lunas yang ditetapkan mengikut mandat PBB dan undang-undang antarabangsa demi menjaga keselamatan dan keamanan antarabangsa.
Malangnya, prinsip penting ini dipinggirkan, sekali gus menggugat keselamatan dan keamanan dunia. Contoh yang jelas ialah tindakan Amerika dan sekutunya cuba mengesahkan serangan mendadak tanpa amaran (pre-emptive strikes) dari sudut undang-undang antarabangsa sebagai taktik untuk melayakkannya mempertahankan diri daripada ‘serangan yang dianggap mengancam keselamatannya.’
Tindakan ini secara langsung menggugat keamanan dunia kerana negara lain, terutama negara Islam atau negara yang dilabelkan dalam paksi keganasan, akan hidup dalam ketakutan. Tindakan ini juga meminggirkan kuasa yang diberikan oleh negara berdaulat kepada PBB untuk menjamin keamanan dunia melalui prinsip keselamatan kolektif.
Keadaan ini akan melahirkan satu ikutan atau anarki pada masa akan datang dalam politik antarabangsa. Ini kerana negara lain akan mengambil dasar unilateral tanpa merujuk kepada sebarang perjanjian multilateral atau undang-undang antarabangsa sedia ada.
Sekiranya dasar unilateral seperti ‘pre-emptive strikes’ ini dihalalkan, maka tidak mustahil keadaan sama seperti pencerobohan dan keganasan Amerika di Iraq akan menjadi ikutan oleh negara lain seperti Pakistan, China, Israel dan Korea Utara. _ Petikan dari majalah Visi (Mei – Jun 2003) terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang berada di pasaran sekarang.