SERANGAN ke atas Amerika Syarikat (AS) pada 11 September yang lalu mengakibatkan masyarakat Islam sentiasa berada dalam keadaan bertahan dan surut ke belakang. Orang Islam pada umumnya menjadi sasaran serangan dari segenap penjuru dunia, sama ada secara kekerasan, atau serangan psikologi, serangan mulut dan kata-kata sinikal.
Malah orang Islam sentiasa dipandang penuh waspada dan ragu-ragu. Imej Osama bin Laden telah dipahat begitu sebati di atas wajah orang Islam dan pertubuhan Islam, dengan tanggapan bahawa orang Islam adalah Osama dan pertubuhan mereka juga adalah pertubuhan militan yang sentiasa mengintai-intai masa untuk mengganas dan melakukan kemusnahan.
Satu berita mengatakan bahawa sebuah pertubuhan pelajar Islam di India, iaitu Pergerakan Pelajar Islam India (Students Islamic Movement of India – SIM) telah diharamkan oleh kerajaan negara itu kerana disyaki mempunyai hubungan dengan gerakan pengganas Osama melalui jaringan Al- Qaeda.
Pergerakan Abu Sayyaf yang berpangkalan di selatan Filipina sejak akhir-akhir ini dihubungkan begitu kuat dengan pergerakan Osama dan jaringannya Al-Qaeda. Hal yang sama juga telah ditonjolkan terhadap gerakan-gerakan Islam lain dari seluruh dunia, bahawa pergerakan itu bertunjangkan keganasan yang dibawakan oleh kumpulan pengganas antarabangsa yang secara langsung atau tidak langsung didakwa mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.
Dengan itu masyarakat Islam menjadi masyarakat yang defensif, serba salah, marah yang bercampur dengan rasa malu dan terhina. Tetapi dalam masa yang sama, orang Islam tidak dapat menolak kenyataan bahawa dalam masyarakat mereka juga terdapat banyak gerakan radikal dan militan.
Gerakan ini sering mengambil jalan kekerasan tanpa mengikut undang-undang untuk mencapai objektif masing-masing, sama ada untuk melakukan kekerasan sesama sendiri, atau mencari mangsanya di luar kawasan sendiri.
Gerakan militan yang berlaku di dalam negara-negara yang tidak mengamalkan dasar demokrasi dan menekan hak rakyat serta mencabul hak asasi manusia, mungkin dapat diberikan justifikasinya, walaupun cara ini sebenarnya tidak menunjukkan ketamadunan manusia dan peradabannya.
Tetapi gerakan keganasan yang berlaku di dalam negara sendiri yang mengamalkan pemerintahan demokrasi dan memberi kebebasan kepada rakyatnya, tentulah merupakan gerakan ganas yang tidak seharusnya berlaku. Mengapa mengambil jalan keganasan sedangkan cara-cara aman melalui proses demokrasi amat luas terbuka di hadapan semua orang untuk dipergunakannya.
Sebenarnya banyak peristiwa yang menekan masyarakat serta pergerakan Islam sedang berlaku di empat penjuru alam yang tidak dilaporkan. Ramai orang Islam yang sebenarnya berjuang secara halal juga telah ditangkap dan dikurung, yang tidak juga dilaporkan untuk pengetahuan umum.
Hal ini berlaku kerana bayang-bayang Osama dan Al-Qaedanya sering menghantui kerajaan dan pihak berkuasa yang sedang diserang oleh perasaan takut dan gerun itu, maka mereka sering mencari jalan keluar untuk meringankan ketakutan mereka dengan bertindak mencari mangsanya, yang sering juga terkena ke atas mangsa yang tidak bersalah. Mereka telah bertindak menembak dan menyerang sasaran yang salah kerana keadaan telah menjadi amat kelam kabut.
Namun apa saja yang berlaku, nampaknya masyarakat Islam akan mengambil masa yang amat panjang untuk mengubah penyakit yang terlalu parah ini. Umat Islam akan terus menerus diburu sepanjang zaman oleh anasir-anasir yang sentiasa melihat imej keganasan terpahat dengan hebatnya dalam semua pergerakan Islam.�
Imej Islam yang amat negatif ini akan terus terpampang dan terserlah pada semua wajah orang Islam, walau pun pada hakikatnya gerakan radikal dan keganasan itu hanya dilakukan oleh segelintir umat Islam, sama seperti yang dilakukan oleh penganut agama lain juga.
Satu persoalan yang amat sukar bagi kita untuk menjawabnya ialah, bagaimanakah masyarakat Islam dapat dibebaskan daripada unsur-unsur keganasan dan kekerasan? Bagaimanakah pula caranya untuk mengikis imej militan dan radikal daripada masyarakat kita seterusnya?
Persoalan ini amat sukar dijawab kerana masyarakat Islam sudah dicemari dengan imej negatif ini, dan punca pencemarannya pula terlalu banyak dan sukar difahami dalam beberapa keadaan yang tertentu.
Keseluruhan masyarakat Islam sendiri tidak pernah mencuba untuk mencari punca keganasan orang Islam, apa lagi mencari penyelesaiannya secara bersepadu di antara negara-negara Islam itu sendiri. Masyarakat Islam lebih banyak diajar untuk mencari kesalahan orang lain dan dididik untuk membenci dan menuding jari kepada orang lain serta pihak-pihak yang tertentu sejak dari peringkat tadika lagi.
Oleh itu sekiranya berlaku sesuatu yang tidak baik dan tidak sesuai dengan ajaran dan nilai-nilai Islam maka kesalahan itu sering diletakkan ke atas bahu orang lain. Maka dalam pencemaran imej Islam ini juga, kesalahannya sering diletakkan ke atas unsur-unsur luaran, walaupun kesalahan itu sebahagiannya adalah disebabkan oleh keadaan masyarakat Islam itu sendiri.
Umum mengetahui bahawa timbulnya gerakan radikal Islam antara lainnya disebabkan oleh beberapa dasar kerajaan AS terhadap orang Islam seperti pandangan negatif secara stereotaip terhadap dunia Islam tanpa membezakan kepelbagaiannya, atau dasarnya yang menekan serta menindas perjuangan umat Islam yang memperjuangkan haknya yang halal untuk membebaskan negara dan umatnya yang sekian lama menderita dan tertekan.
Namun begitu apakah kita selama-lamanya akan terus menerus menyalahkan hakikat ini tanpa berusaha untuk memperkuatkan diri bagi mengatasi masalah itu dan menyusun barisan antara negara-negara Islam secara sepadu bagi menentang dasar luar AS yang tidak adil itu secara teratur dan bertamadun.
Memang diakui bahawa proses ini akan memakan masa yang panjang untuk direalisasikan. Namun satu perkara yang mungkin dapat dilakukan, terutamanya berpusat di dalam negara kita ini, bahawa kita haruslah mempunyai agenda jangka panjang dan jangka pendek dalam mendidik generasi baru kita agar menjadi umat yang berilmu, berperadaban dan bertamadun, yang membenci sifat keganasan dan kekerasan serta tingkah laku yang tidak beradab dan beretika.
Kita mestilah membebaskan masyarakat kita daripada unsur-unsur militan dan radikal dengan menumpukan kepada ajaran Islam yang sebenarnya di semua peringkat pengajian secara formal dan tidak formal. Kerana Islam sememangnya memerangi kekerasan dan keganasan, perbuatan dan tingkah laku yang tidak bersopan dan berakhlak.
Islam mencintai perdamaian dan kesejahteraan, oleh itu masyarakat Islam haruslah berusaha menegakkan perdamaian ini secara berilmu dan bermaruah, di samping memperkuatkan diri untuk memerangi ancaman luaran dengan cara membina tamadun sendiri yang kukuh dan kuat.