Apabila kita mendapat tahu ada kejadian pelajar tahfiz didera secara seksual, ia suatu tragedi yang boleh menimbulkan rasa marah oleh sesiapa pun. Tetapi rupa-rupanya di sebaliknya ada cerita yang lebih menyayat hati. Bukan semua ibu bapa atau penjaga yang terlibat benar-benar mahu pelaku perbuatan keji itu, diheret ke muka pengadilan. Rasa terkilan anak diperlakukan begitu hanya ditelan dan didiamkan begitu sahaja. Walaupun ada pihak-pihak yang prihatin dan bersungguh-sungguh memujuk ibu bapa supaya maruah si anak yang menjadi mangsa dibela dan diperjuangkan, tetapi malangnya penjaga ini tetap memilih untuk diam sejuta bahasa.
Di satu sudut yang lain pula, ada satu cerita tentang seorang anak gadis yang masih berada di bawah umur, dengan ditemani datuknya “memohon” izin mahkamah untuk berkahwin. Apabila pihak mahkamah bertanyakan tentang alasan atau sebab dia mahu berkahwin sedangkan masih di bawah umur, jawapan yang diterima hanya diam tanpa kata. Reaksi yang diberi agak mencurigakan, tidak sebagaimana gadis-gadis lain yang memang mahu (atau perlu) untuk berkahwin dengan rasa cinta dan rela. Datuk yang menemani sekadar acuh tidak acuh apabila ditanya.
Ternyata apabila diperiksa dengan teliti, rupa-rupanya di sebalik permohonan gadis itu adalah perancangan pihak yang telah menganiayanya, dan mahu menutup kesalahan yang telah dilakukan terhadapnya. Maruah gadis itu telah dirobek dan kemudiannya cuba ditutup dengan ikatan pernikahan. Benar ia satu “penyelesaian” yang mudah, tetapi terlalu keji untuk diterima oleh akal yang waras.
Dua cerita yang merentap rasa kecewa berbaur terkilan ini adalah sebahagian daripada kisah-kisah benar yang berlaku dalam masyarakat kita yang berkaitan dengan kanak-kanak atau mereka yang berada di bawah umur, yang sempat penulis kutip untuk dikongsikan bersama pembaca, semasa menghadiri satu muzakarah fiqh bertemakan “Pemerdayaan Wanita, Kanak-kanak dan Keluarga” beberapa hari yang lalu, yang dianjurkan oleh Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan rakan-rakan kerjasamanya.
Dua kisah ini menjelaskan kepada kita tentang sikap ibu bapa atau penjaga yang amat cuai, tidak peduli, tidak bersungguh-sungguh melindungi, tidak benar-benar mempertahankan serta memperjuangkan kehormatan anak-anak yang sebenarnya telah Allah jadikan mereka sebagai amanah kepada orang dewasa. Sedangkan, anak-anak adalah golongan rentan, yang amat memerlukan perlindungan dan pembelaan orang dewasa terutamanya oleh ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga.
Dalam sebuah Hadis riwayat Abu Hurairah RA, beliau berkata, “Rasulullah SAW bersabda, ‘Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (bersih). Kedua-dua orang tuanyalah yang akan menjadikannya sebagai seorang Yahudi, seorang Nasrani maupun seorang musyrik…”
Jika kita hubungkan pengertian Hadis ini dengan hasrat ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat pendidikan atau persekolahan yang baik dari pelbagai aspek, ia adalah usaha yang tulus pihak penjaga untuk menjadikan anak-anak ini sebagai manusia yang berkualiti dari sudut duniawi dan ukhrawinya. Walau bagaimanapun, kita sebagai golongan dewasa mesti memahami bahawa aspek keselamatan diri dan kesejahteraan emosi anak-anak adalah prasyarat atau aspek yang paling asas dan perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Sebagai orang dewasa juga, kita mesti menerima hakikat bahawa apabila anak-anak mula mengerti tentang kehidupan, maka mereka juga pada masa yang sama mengerti tentang makna harga diri. Kesejahteraan emosi dan harga diri adalah perkara-perkara bermakna yang akan dibawa manusia sehingga akhir hayat mereka. Minda manusia tidak akan mampu menghargai ilmu jika emosi mereka cedera, apatah lagi jika ia melibatkan salah laku dan penderaan.
Dalam hal menjaga amanah walau apapun bentuk dan jenisnya, agama Islam memang mengambil perhatian yang amat berat. Melalui sebuah Hadis daripada Ibnu Umar, betapa Baginda Rasulullah SAW menerangkan bahawa setiap diri kita ini adalah pemimpin, dan setiap daripada kita nanti akan dipersoalkan tentang perkara yang menjadi jagaan kita. Tanpa mengira kita berada di posisi atau di peringkat mana. Malah, Hadis berkenaan juga menerangkan bahawa pada kedudukan seorang hamba juga, ia akan ditanyakan tentang harta tuannya yang menjadi amanah kepadanya.
Dalam mengejar kehidupan di dunia, kita sebagai orang dewasa ada ketikanya amat cuai untuk menghayati ajaran yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah SAW betapa melayani golongan kanak-kanak dengan baik sebenarnya sebahagian daripada kemuliaan. Sehinggakan Nabi SAW menempelak seorang Sahabat yang tidak pernah mencium anaknya sendiri dengan sabda Baginda bahawa Baginda tidak akan mengangkat Sahabat berkenaan sebagai seorang pemimpin apabila perasaan kasih sayang sudah terangkat dari dalam hatinya.
Begitu juga dengan sebuah kisah bagaimana Baginda Rasulullah SAW amat meraikan anak-anak kecil seorang Sahabat yang baru sahaja meninggal dunia pada ketika itu.
Pendek kata, agama Islam melalui nas-nas dan yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW telah begitu sempurna mengajar kita untuk menjaga golongan kanak-kanak dan melindungi hak mereka. Tanggungjawab membela, mempertahankan dan memperjuangkan hak kanak-kanak, bukan sahaja terletak pada bahu ibu bapa dan ahli keluarga semata-mata. Malah, pada setiap diri kita sebagai ahli masyarakat. Dalam situasi gadis dalam cerita kedua tadi, jika hakim tidak membuat penelitian, pemeriksaan dan siasatan terperinci, barangkali nasib gadis malang tersebut akan menjadi bertambah malang dan terus tidak terbela.
Sebagai golongan dewasa kita perlu bermuhasabah, sama ada kita ini dalam golongan yang menunaikan hak kanak-kanak yang menjadi sebahagian daripada masyarakat kita, atau sebenarnya kita ini golongan dewasa yang cuai dan gagal dalam mempertahankan hak mereka. Sementara hayat masih berbaki, dan peluang masih ada, sama-samalah kita menunaikan hak mereka, dan menyumbang demi kesejahteraan kanak-kanak yang menjadi golongan pelapis generasi hari ini.