Penyedut minuman plastik mendapat perhatian mutakhir ini. Kemuncaknya ialah apabila terdapat berita yang melaporkan bahawa penyedut minuman akan diharamkan di semua premis perniagaan menjual makanan dan minuman bagi mengurangkan pencemaran berasaskan plastik dan memulihara alam sekitar di negara ini. Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dijangka memulakan langkah ini pada 1 Januari 2019 manakala pengharaman sepenuhnya di Malaysia akan bermula pada 2020. Ini bermakna, penyedut minuman plastik hanya akan diberikan apabila diminta pelanggan.
Usaha pengharaman ini mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat Malaysia. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang membantah. Ada juga yang menganggap usaha ini sia-sia. Malah, ramai juga yang mempersendakan dan menjadikannya sebagai bahan lelucon.
Penyedut minuman plastik-ia kecil, berwarna-warni dan dilihat sebagai tidak memudaratkan, malah membantu individu menikmati minuman dengan selesa. Oleh itu, bagaimana mungkin ia boleh menjadi bahaya?
Kata orang, “kecil-kecil cili padi,” yang kecil jangan disangka lemah. Sesuatu yang kecil juga boleh memberi kesan yang besar. Inilah yang ditunjukkan oleh penyedut minuman plastik. Walau pun ia kecil dan membantu manusia, namun kesannya kepada persekitaran adalah besar.
Apabila bercakap tentang kesan kepada persekitaran, sebenarnya ramai ahli masyarakat tidak dapat mengaitkan masalah tersebut secara langsung dalam kehidupan mereka. Ini berlaku kerana masalah yang disebutkan itu tidak benar-benar dapat dirasai dan kelihatannya tidak pula mengganggu kehidupan seharian. Lagi pun, di Malaysia jarang sekali berlaku bencana alam sekitar yang memberi kesan besar dalam kehidupan masyarakatnya. Namun, berbaloikah sikap menunggu berlakunya bencana seperti ini?
Kesan penggunaan plastik sememangnya tidak dirasakan secara langsung oleh ahli masyarakat. Ini kerana, kesan tersebut (termasuklah kesan penggunaan plastik secara umum) kebanyakkannya “dinikmati” oleh hidupan lain seperti haiwan terutamanya di lautan.
Pernahkah anda melihat sebuah video cubaan mengeluarkan penyedut minuman plastik yang tersekat di dalam rongga hidung seekor penyu? Dapatkah anda melihat kesakitan yang ditanggung penyu tersebut? Cuba bayangkan betapa seksanya hidup sang penyu sebelum penyedut minuman plastik tersebut dikeluarkan.
Kehidupan laut merupakan makhluk yang paling terkesan dengan pencemaran plastik seperti penyedut minuman plastik. Kebanyakan plastik yang dibuang merata-rata atau tidak diuruskan dengan baik, akan berakhir di lautan. Plastik itu akan disalah anggap sebagai makanan oleh hidupan lautan. Bayangkan kesan pencemaran plastik ini kepada hidupan tersebut. Apatah lagi ada dalam keadaan jumlah plastik dijangka mengatasi jumlah ikan di lautan pada 2050. Malah plastik juga akan kekal lama dalam alam ini kerana ia mengambil masa 200 tahun untuk terurai.
Walaupun hidupan laut menerima kesan paling besar daripada pencemaran plastik, namun ini tidak bermakna hidupan lain tidak akan merasa impaknya. Plastik juga berbahaya kepada kesihatan manusia terutamanya apabila mikro plastik boleh dikesan dalam rantaian makanan. Selain itu, plastik juga boleh merosakkan kualiti air dan tanah terutamanya apabila bahan kimia daripada plastik diserap ke dalam dua sumber alam itu. Bagi sumber udara juga tidak terkecuali. Pembakaran plastik boleh membebaskan pelbagai gas berbahaya ke udara dan ini juga tidak baik untuk kesihatan manusia dan boleh menyumbang kepada pemanasan global. Malah, plastik yang dibuang merata-rata boleh menyekat aliran air dan akhirnya membawa masalah banjir.
Penggunaan plastik secara berleluasa juga tidak kos efektif kerana kebanyakan plastik, termasuklah penyedut minuman plastik, dihasilkan daripada polipropilena (polypropylene), sejenis plastik yang dihasilkan daripada petroleum. Harus diingat bahawa petroleum adalah satu sumber semulajadi yang tidak boleh diperbaharui dan ketika ini, ketersediaan sumber tersebut semakin terhad.
Oleh itu, amat penting untuk kita mula mengurangkan dan seterusnya menghentikan penggunaan semua jenis plastik termasuklah penyedut minuman plastik. Ketika ini, penggunaan penyedut minuman plastik begitu berleluasa. Jika secara kasar kita menganggarkan setiap penduduk Malaysia yang berjumlah 32 juta orang ketika ini menggunakan dan kemudian membuang tanpa mengitar semula satu penyedut minuman setiap hari, maka bayangkanlah betapa banyaknya penyedut minuman plastik yang akan bertimbun di tapak pelupusan atau persekitaran jika ianya dibuang merata-rata. Anggaran ini hanya melibatkan sekali penggunaan sedangkan hakikatnya ramai dalam kalangan kita yang menggunakan lebih daripada satu penyedut minuman setiap hari.
Maka, marilah kita sama-sama menyokong usaha menghentikan pengunaan penyedut minuman plastik. Apa yang boleh dilakukan ialah menggunakan penyedut minuman alternatif. Tahukah anda terdapat penyedut minuman yang dibuat daripada keluli tahan karat, buluh mahupun kaca? Penyedut minuman jenis ini, walaupun sedikit mahal berbanding penyedut minuman plastik, namun ia lebih menjimatkan untuk jangka masa panjang kerana boleh digunakan berkali-kali dan tidak meninggalkan kesan buruk kepada persekitaran.
Penyediaan penyedut minuman alternatif merupakan sebahagian daripada penyelesaian masalah. Apa yang lebih penting lagi ialah perubahan cara berfikir, nilai dan budaya masyarakat terhadap penyedut minuman plastik dan penggunaan semua jenis plastik amnya. Jadilah pengguna yang berhemah dan istiqamah dalam memastikan kejayaan usaha menghentikan pencemaran plastik dengan cara tidak lagi meminta penyedut minuman plastik, membawa penyedut minuman alternatif setiap masa dan berkongsi pengalaman serta menyokong sepenuhnya usaha mengurangkan penggunaan penyedut minuman plastik.
Hentikanlah mempersenda serta memperlekeh usaha ini. Usaha ini adalah tanggungjawab dan bukannya sebuah “cerita komedi.”