Apa yang dihajatkan dalam pembangunan mengikut acuan Islam adalah suatu yang sangat berbeza dengan pembangunan-pembangunan yang lain. Pertamanya, sejauh manapun pembangunan yang ingin dibawa, Islam tetap memelihara dan mementingkan pembangunan rohani kerana ia menjadi asas kepada pembangunan tersebut. Kedua, pembangunan Islam tidak hanya menumpukan kepada kegiatan-kegiatan fizikal dan kuatitatif sahaja kerana pembangunan jenis ini hanya akan melahirkan mereka yang menganggap dirinya sebagai kuasa besar yang lebih banyak mendatangkan bencana kepada alam dan menghakis rasa kemanusiaan.
Atas sebab itulah, selain persoalan dan tujuan pengabdian mutlak kepada Khalik yang dijelaskan oleh Islam dalam pembangunannya, maka aspek pelaksanaannya juga turut dibentangkan supaya tidak terbabas daripada tuntutan Islam serta mampu untuk mencapai cita-cita murni yang diharapkan. Untuk itu, maka Islam telah meletakan beberapa garis panduan yang perlu diikuti demi untuk mencapai cita-cita tersebut.
Pertama, pembangunan yang hendak dibina itu hendaklah dimulakan dengan pembangunan hati, supaya hati tersebut benar-benar bertunjangkan keimanan yang menjadi teras dalam pembangunan ummah. Pembangunan yang sebegini sifatnya perlulah dilakukan menerusi perancangan pendidikan samada yang formal ataupun informal. Contoh terbaik yang dimiliki dan perlu diikuti oleh umat Islam ialah apa yang telah dilakukan oleh baginda Rasullullah s.a.w. Baginda telah melaksanakan projek pembangunan hati melalui tiga cara. Pertama, menyedarkan dan berusaha mengikis sifat-sifat mazmumah (buruk) dari hati yang telah tebal dimakan keburukan. Kedua, mengisi hati yang telah sedar dan bersih itu dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji), dan ketiga meneruskan usaha mendekatkan diri dengan Allah melalui latihan dan perjuangan (mujahadah).
Salah satu proses pembangunan hati yang berkesan untuk melahirkan manusia yang insaf dan sedar ialah menerusi institusi kekeluargaan. Tiada siapa pun yang meragukan bahawa keluarga adalah asas dalam kegiatan pembangunan yang lain. Keluarga menjadi asas kepada tamadun yang dibina, asas kepada pelajaran yang cemerlang dan asas untuk mencanai akhlak-akhlak yang terpuji. Keluargalah tempat disuburkan rasa cinta dan tempat menatang kasih sayang.
Malangnya, pembangunan keluarga sekarang ini sudah pecah dan kucar kacir. Institusi mulia ini sudah tidak berfungsi dengan berkesan lagi. Akibatnya, lahirlah manusia yang juga turut kucar-kacir dan pecah jiwa dan rohaninya. Keadaan ini turut merebak ke bidang-bidang yang lain seperti akhlak, pendidikan, politik, budaya, ekonomi dan seluruh bidang hidup manusia. Kasih sayang sudah tidak ada, hormat menghormati dianggap amalan yang asing, hubungan antara keluarga renggang, berbalah dan irihati, umpat dan dendam menjadi amalan, nilai hidup bercanggah, ketuaan ibubapa dianggap menyusah dan membebankan, sebaliknya kecantikan dan kemudaan dipuja di mana-mana dan diperalatkan dalam pelbagai mediamasa.
Seperti yang dijelaskan bahawa keluarga adalah asas pembangunan-pembangunan yang lain. Keluarga yang dibina melalui perkahwinan yang sah bukan sahaja dapat mengawal dorongan nafsu dan melahirkan zuriat yang baik, tetapi juga boleh mententeram dan menenangkan hati. Ketenteraman dan ketenangan hati sangat diperlukan kerana hanya dengan suasana begitu sahajalah kerja-kerja pembangunan yang lain dapat dilaksanakan dengan baik, sama ada kerja ibadah dalam hubungan dengan Allah mahupun kerja-kerja ibadah sesama manusia dan makhluk-makhluk lain. Pendek kata, sekiranya keluarga yang dibangunkan dengan hati yang tenang dan tenteram mengikut garis panduan Islam, boleh menjamin keselamatan dan menyelesaikan banyak masalah dan kekusutan di dalam masyrakat.
Sungguhpun begitu, dalam proses pembangunan ummah, keluarga adalah tahap kedua kerana pembangunan inidividu adalah yang lebih utama dan perlu didahulukan. Syed Qutb pernah menegaskan di dalam bukunya Islam and Universal Peace bahawa, “dalam Islam inidividu memainkan peranan yang terpenting kerana ia adalah teras bagi masyarakat. Individu adalah penjelmaan kepercayaannya yang tergabung dalam jiwanya dan lahir menerusi akhlaknya.” Kita juga meyakini bahawa tidak akan ada kesejahteraan dan perdamaian dalam keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan ummah kalau individu itu sendiri tidak ada kesejahteraan dan kedamaian di dalam dirinya.
Menerusi pembangunan inidividu inilah ianya berlanjutan kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan seterusnya kepada pembangunan ummah. Demikianlah harapan-harapan murni dalam pembangunan ummah menurut Islam. Bermula dengan pengetahuan tentang segala urusan kehidupan manusia, Islam terus membangunkan manusia dengan berdasarkan tujuan dan pelaksanaan yang jelas bersumberkan al Quran dan as Sunnah. Proses pembangunan ummah mengikut cara Islam ini bukanlah satu angan-angan kosong yang menjadi impian sahaja. Sebaliknya ia adalah satu cita-cita yang mampu untuk dicapai, kerana sejarah telah pun membuktikan bahawa sistem Islam yang diterajui oleh baginda Rasullullah s.a.w telah berjaya membawa manusia ke tahap yang tertinggi untuk beberapa generasi.
Kalau demikianlah harapan-harapan dalam Islam untuk membangunkan ummah, namun tidak pula demikian kenyataannya yang berlaku dalam masyarakat Islam. Apakah sebabnya, sedangkan Islam adalah agama yang membangun yang lengkap dengan teori dan pelaksanaannya? Sebabnya banyak, dan di antara faktor asas yang menjadikannya demikian ialah manusia itu sendiri sudah lupakan Allah, dan bertolak dari situ manusia pun lupa asal usulnya, fitrah, fungsi, matlamat dan tujuan.
Keadaan yang melanda manusia ini pula ada beberapa peringkat. Ada yang menolak terus Allah dan diganti dengan tuhan-tuhan yang lain dalam berbagai bentuk. Ada pula yang mengabdikan diri pada Allah pada suatu masa dan pada suatu masa yang lain mengabdikan diri pada tuhan yang lain.� Tidak kurang juga yang namanya Islam tetapi amalannya tidak langsung melambangkan keIslaman. Oleh kerana mereka melupakan Allah, maka Allah melupakan mereka.
Segala nilai-nilai kerohanian, tuntutan-tuntutan agama, tingkah laku, moral, atau apa yang berpandukan kepada agama tidak lagi mendapat tempat dan penghargaan di dunia perniagaan, politik, seni, pendidikan, sosial, ekonomi dan segala bentuk urusan manusia. Oleh kerana segala perancangan manusia ini telah melupakan Allah, maka Allah melupakan mereka dan membiarkan mereka sibuk membangunkan kehidupan mereka sendiri. Namun segala-galanya dibangunkan di atas landasan yang rapuh.
Atas sebab itulah, meskipun kebanyakan kemajuan pembangunan sekarang kelihatan benar-benar mempesonakan, tetapi sebenarnya ia tidak membangunkan manusia sebagai seorang insan seperti yang diharapkan oleh Islam. Manusia yang dibangunkan hasil dari pembangunan yang sebegini sangat cepat dipesonakan dunia, yang sikap dan pendiriannya selalu dalam dilema, perhitungannya sering dalam keraguan, selalu bimbang dan susah hati, tidak jelas peribadi dan pembawaannya meskipun pencapaian kebendaannya mungkin pada tahap yang tinggi.
Begitulah keruntuhan ummah terus berlaku kerana tidak mengikuti proses pembangunan ummah seperti yang dicirikan oleh Islam. Persoalannya sekarang apakah cara untuk menyelesaikannya? Bagaimanakah cara yang berkesan untuk menghadapi keadaan yang sedia ada? Sebenarnya saranan-saranan yang diberi ke arah memperbaiki keadaan ini telah banyak dibuat. Antara yang penting untuk diberi perhatian ialah ilmu.
Ianya bukanlah kerana manusia tidak berilmu, tetapi kerana manusia berilmu yang salah. Ilmu yang dipelajari hanya demi untuk ilmu, untuk kepuasan dan kebebasan, untuk kegunaan duniawi semata-mata dan memenuhi tuntutan nafsu yang amarah. Konsep dan tujuan inilah yang menghasilkan berbagai ilmu yang ghairah untuk menerokai dan menguasai alam maya ini, memenuhi segala tuntutan nafsu dan kehendak fizikal dengan mengabaikan keperluan hajat utama manusia, iaitu rohaninya. Akibatnya, ilmu yang dipelajari tidak dapat membangunkan manusia, malah meruntuhkan kemanusiaan.
Inilah yang membezakan dan kelainan yang dibawa oleh Islam. Ilmu bagi Islam adalah asas pembangunan insan dan sekaligus pembangunan tamadunnya. Menerusi ilmu manusia dapat melahirkan rasa taqwa kepada Allah. Mempelajarinya pula adalah satu ibadah, mengajarnya pula menjadi sedekah, dan mengkaji dan mendalaminya pula menjadi satu jihad. Dengan itu, ilmu yang baik dan bermanfaat wajib dipelajari oleh setiap umat Islam.
Oleh hal demikian, amat penting bagi umat Islam kini menilai kembali penguasaan ilmu yang dimiliki oleh ummah. Supaya ilmu yang dimiliki mampu untuk menentukan antara keperluan hidup dengan tujuan hidup, bijak mempastikan yang benar-benar bersifat pembangunan dan yang mana pula membawa kemusnahan, berupaya memberikan penafsiran jenis pembangunan yang mesti diutamakan dan yang mana perlu dikemudiankan.