Suatu perjanjian biasanya terdiri daripada beberapa pernyataan antara kedua-dua belah pihak yang berbeza dari segi bentuk dan kepentingan; pihak ini mungkin menganggap separuh dari pernyataan ini sebagai penting, sedangkan yang lainnya sebagai pembantu atau kolateral kepada tujuan utama perjanjian. Segala kandungan di dalam sesebuah perjanjian adalah dinamakan sebagai syarat-syarat perjanjian. Syarat-syarat tersebut boleh terdapat secara nyata atau tersirat:
a) Syarat-syarat nyata ialah pernyataan-pernyataan yang nyata yang dibuat oleh pihak-pihak dan yang mana mereka berniat untuk terikat.
b) Syarat tersirat ialah perkara-perkara yang disiratkan oleh undang-undang sama ada ;
(i) menurut peruntukan-peruntukan statut-statut, atau
(ii) bagi memberi kesan kepada niat yang dianggap oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Apabila sesuatu penyataan itu merupakan syarat-syarat perjanjian, maka adalah perlu untuk mempertimbangkan apakah kepentingan dan kesannya yang sebenar. Apabila salah satu daripada syarat ini dilanggar, maka pendekatan tradisi Mahkamah mestilah diperoleh, iaitu daripada perjanjjian berkenaan atau niat yang telah dinyatakan oleh kedua-dua pihak, sama ada syarat perjanjian yang dilanggar itu penting kepada perjanjian atau sebaliknya.
Jika pihak berkenaan menganggap syarat perjanjian itu sebagai penting, maka ia adalah suatu syarat; pada amnya suatu syarat perjanjian yang menyentuh tentang inti perjanjian itu adalah merupakan syarat, dan syarat-syarat yang lain adalah merupakan “waranti”. Persoalan sama ada sesuatu syarat perjanjian itu merupakan suatu “syarat” atau “waranti” adalah penting sekiranya berlaku perlanggaran perjanjian. Sebarang kemungkiran “syarat”, maka pihak yang satu lagi mempunyai hak untuk membuat pilihan untuk menganggap dirinya sebagai dilepaskan daripada tanggungjawab selanjutnya di bawah perjanjian tersebut dan membuat tuntutan ganti rugi serta-merta. Jika ia tidak menggunakan hak untuk memilih untuk menganggap perjanjian itu tamat ia masih terikat dengan perjanjian, tetapi ia boleh membuat tuntutan ganti-rugi terhadap pelanggaran perjanjian pihak yang satu lagi.
Sebaliknya jika pembuat janji melanggar “waranti” dalam mana-mana perkara, penyelesaian yang boleh diperolehi oleh pihak yang satu lagi ialah dengan membuat tuntutan ganti-rugi iaitu dia tidak ada hak untuk menganggap perjanjian itu sebagai tamat. Dengan tu, pentakrifan sesuatu syarat perjanjian sama ada berupa “syarat” atau “waranti” akan menentukan penyelesaian yang ada di sisi undang-undang bagi faedah pihak yang tidak bersalah sekiranya berlaku kemungkiran terhadap syarat perjanjian tersebut.
Sama ada perkataan “syarat” atau “waranti” digunakan mestilah bergantung kepada niat pihak-pihak berkenaan yang boleh dirumuskan daripada perjanjian mereka dan daripada perkara subjek yang berkaitan dengannya. Walaubagaimanapun, terdapat juga pendekatan yang lebih moden yang diambil oleh Mahkamah iaitu menolak tanggapan bahawa setiap syarat perjanjian boleh ditakrifkankan sama ada sebagai suatu “syarat” atau suatu “waranti. Kini telah wujud kategori yang ketiga iaitu syarat “perantaraan (atau “inominat”): akibat kemungkiran syarat sedemikian(sama ada pihak yang tidak bersalah mempunyai hak untuk menganggap dirinya sebagai terlepas ataupun tidak) bergantung pada sifat dan kesan kemungkiran, dan tidak diikuti secara automatis daripada pentakrifan aku janji yang terdahulu sebagai suatu “syarat” atau suatu “waranti”.
Mengikut undang-undang perjanjian biasa yang berasaskan kepada falsafah laisser-faire, setiap individu adalah bebas untuk membuat sebarang ikatan perjanjian atas apa sahaja yang dipersetujui oleh pihak-pihak yang terlibat. Perjanjian di antara kedua-dua pihak tersebut haruslah dipatuhi setelah dipersetujui, walau macamana tidak adil sekalipun. Ini kerana perjanjian yang dibuat di antara pihak-pihak yang berkenaan adalah atas kerelaan masing-masing. Sebarang perlanggaran terhadap perjanjian akan memberi kuasa pihak yang menderita menuntut pampasan samada gantirugi atau lain-lain peruntukan di bawah undang-undang. Mahkamah pula seboleh-bolehnya akan cuba mengelak dari campurtangan terhadap perjanjian yang telah dibuat.
Namun, oleh kerana kebebasan membuat perjanjian ini tidak mengamalkan kuasa tawar menawar yang seimbang dan mengakibatkan pihak yang lemah menjadi mangsa pihak yang kuat, kebebasan ini telah sedikit sebanyak terhakis untuk mencapai keadilan sesuatu perjanjian. Undang-undang atau mahkamah harus diberi peluang memastikan agar wujud keadilan sesuatu perjanjian di antara pihak-pihak terlibat.
Dasar kebebasan dalam perjanijan ini juga wujud dalam undang-undang Islam, namun ia bukanlah mutlak. Di dalam Surah an-Nisa’:29 Allah berfirman maksudnya,”Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu” Etinya perlu keredaan bersama antara pihak-pihak yang terlibat dalam sesuatu perjanjian, namun persetujuan ini tidaklah boleh melibatkan perkara-perkara batil(yakni riba, gharar dan sebagainya). Jadi walaupun terdapat persamaan di antara undang-undang perjanjian Islam dan undang-undang perjanjian moden yang memerlukan kerelaan(consent) antara kedua-dua pihak, perbezaaannya adalah perjanjian dalam Islam mesti mencerminkan nilai nilai yang tersirat di dalam pandangan hidup Islam.
Kontrak yang melibatkan riba dan gharar tetap tidak sah walaupun dibuat dengan kerelaan pihak-pihak yang berkenaan. Terdapat juga larangan memasukkan klausa-klausa yang boleh menyebabkan sesuatu tanggungjawab perjanjian itu terkeluar dari maksud asalnya. Larangan terhadap klausa-klausa ini dikenali dengan bay’wa syart. Unsur-unsur ini juga hendaklah dielakkan oleh pihak-pihak yang berjanji. Oeh itu di dalam undang-undang perjanjian Islam kesahihan sesuatu perjanjian itu dilihat bukan setakat kepada sifat kerelaan pihak-pihak yang berjanji, tetapi juga kepada butir-butir dan bentuk bagaimana perjanjian tersebut dipersetujui.