Laporan Paul Lengrand dari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dianggap sebagai perintis kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat. Tetapi pembelajaran bentuk ini sebenarnya sangat tidak asing di sisi agama Islam. Kewujudan proses pembelajaran selagi hayat masih ada berlaku seiring dengan kelahiran agama Islam itu sendiri.
Agama Islam tidak bermula dengan perintah penyembahan atau ketundukan kepada Allah sebagai Pencipta manusia dan sekalian makhluk di atas muka bumi ini. Tetapi sebaliknya dimulakan dengan perintah yang berkaitan dengan pendidikan iaitu suruhan membaca sebagai salah satu wahana untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.
Agama Islam merupakan agama yang sangat teliti dan ketelitian itu bermula dari peringkat pengenalan lagi. Manusia perlu mengenali Tuhannya dengan ilmu. Selanjutnya, manusia harus terus menyusuri kehidupan ini dengan pembelajaran secara berterusan, supaya manusia bukan sahaja dapat memastikan kelangsungan hidupnya tetapi kehidupan secara bermaruah dan bermakna. Ini kerana pembelajaran begini dapat memperbaiki kehidupan seseorang melalui peningkatan kemahiran kerja, pengislahan sahsiah diri dan bertambahnya ilmu pengetahuan.
Itulah sebabnya Baginda Rasulullah SAW menjelaskan dalam Hadisnya yang diriwayatkan oleh Ibn Abd al-Barr bahawa mencari ilmu pengetahuan itu merupakan kewajiban ke atas setiap Muslim. Kewajiban mencari ilmu itu seharusnya difahami sebagai suatu proses sepanjang hayat dan bukan setakat pada tempoh atau umur tertentu.
Dalam satu episod Hadis yang lain, melalui periwayatan al-Tabrani, Abu Na’im dan Ibn Abd al-Barr, Baginda Rasulullah mengatakan bahawa tidak ada makna bagi hari yang dilalui sekiranya tidak berlaku pertambahan ilmu yang sifatnya boleh menambah nilai ketakwaan kepada dirinya. Bagi Baginda sinar mentari yang terbit pada hari itu tidak mengandungi keberkatan baginya.
Sebenarnya banyak ayat al-Quran dan Sunnah yang menggesa umat Islam untuk mencari ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Malah, bagi mereka yang memasuki dunia pencarian ilmu Allah SWT menjanjikan banyak pahala kebajikan dan kedudukan yang baik. Antara kedudukan mulia yang diberikan Allah SWT kepada golongan ilmuwan adalah sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah ayat 18 Surah Ali Imran yang menjelaskan bahawa kesaksian tentang kewujudan Allah ‘Azza wa Jalla adalah (melainkan) Diri-Nya sendiri, para malaikat dan orang-orang yang berilmu pengetahuan. Imam al-Ghazali mengatakan ayat ini sudah cukup membuktikan betapa mulia dan utama kedudukan yang diberikan Allah SWT kepada orang-orang yang berilmu.
Seharusnya kita menginsafi bahawa sama ada di akhirat nanti telah menanti anugerah dan ganjaran, ilmu yang ditimba banyak memberi manfaat kepada diri sendiri. Apabila ia memberi manfaat kepada diri, ia juga merantaikan manfaat kepada masyarakat dan juga negara. Selain tenaga warga dapat dimaksimumkan, keadaan ini akan membentuk sebuah negara yang bijaksana cekap dalam membuat pilihan dan keputusan.
Dalam proses pembelajaran sepanjang hayat laporan Delors et.al mengemukakan empat tunjang iaitu pembelajaran untuk mengetahui, pembelajaran untuk melakukan, pembelajaran untuk menjadi apa/siapa dan pembelajaran untuk tinggal bersama. Empat tunjang ini membentuk proses pembelajaran yang sempurna. Dan menurut Tough, proses pembelajaran berlaku pada setiap masa kehidupan yang dipengaruhi oleh suasana di mana kita berada sama ada secara terancang mahupun tidak terancang.
Selanjutnya banyak proses pembelajaran untuk golongan dewasa berlaku secara tidak formal dan ini memang suatu realiti dalam kehidupan manusia. Tinggal lagi dapatan ilmu tersebut bernilai tinggi dan penting ataupun berada di kedudukan yang lebih rendah.
Tanpa merujuk kepada kenyataan P Drucker sekalipun, apa yang berlaku di sekeliling kita adalah suasana serta keadaan yang sangat radikal dari sudut transformasi sosial. Keadaan ini menyebabkan perubahan-perubahan ketara terhadap tabii kerja dan gaya hidup. Perubahan ini menjadi cabaran kepada semua orang dan hanya melalui pembelajaran yang berterusan, cabaran dapat diatasi. Bukan itu sahaja, apabila ia boleh betah dengan keadaan yang telah berubah, ilmu yang dimiliki akan menjadikan cabaran itu dapat diolah semula sebagai sesuatu yang memberi manfaat dan kesenangan. Antara contoh mudah ialah, apabila terdapat hasil teknologi baru yang diperkenalkan kepada golongan pekebun yang telah berumur dan teknologi tersebut boleh memberi kesenangan kepada pekerjaan mereka.
Golongan pekebun ini mempunyai pilihan untuk membiarkan sahaja kehadiran peralatan tersebut dan meneruskan amalan secara tradisi. Akan tetapi sekiranya mereka meraikan dan memanfaatkan teknologi tersebut, sudah pasti produktiviti akan bertambah, masa dapat dijimatkan yang memberi tambahan masa berkualiti untuk keluarga serta bermasyarakat, dan seterusnya kehidupan mereka akan bertambah senang.
Bagi membentuk rakyat negara ini sebagai masyarakat yang menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai budaya, kerajaan telah meletakkan tumpuan dan keprihatinan yang tinggi terhadap perkara ini dalam Rancangan Malaysia 2006-2010. Dalam satu laporan yang disediakan oleh UNESCO terdapat cadangan untuk membangunkan masyarakat yang prihatin dalam pencarian ilmu, iaitu, semua agensi yang terdapat dalam masyarakat yang terlibat menjadi penyumbang kepada pendidikan dan perubahan pendidikan, dan, semua ahli masyarakat diberi galakan untuk melibatkan diri dalam proses pembelajaran tanpa had masa. Namun, sebagai warga yang mendakwa telah memiliki pemikiran dan jiwa yang merdeka kita sepatutnya tidak perlu menunggu saranan, dasar atau sebarang polisi untuk bertindak. Kesedaran itu sepatutnya telah menjadi darah daging dan ia diperturunkan kepada generasi muda seawal yang mungkin.