Pentas Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2009 menyaksikan berbagai rencam pedagang dan pembeli serta pelbagai barangan dan perkhidmatan dalam pasaran halal. Ada yang gembira kerana mendapat kontrak niaga, tidak kurang juga ada yang pulang dengan perasaan hampa dan terdapat juga syarikat yang tidak dapat memasuki negara kerana ancaman penyakit berjangkit. Yang paling menyedihkan ialah ada syarikat yang dapat masuk pameran tetapi merintih kerana menanggung kos penyewaan tapak pameran ditambah pula dengan kos pengangkutan, penginapan dan penyimpanan. Nampaknya, seolah-olah menjadi penyedia dan penyelenggara tapak pameran lebih menguntungkan, sama seperti memperdagangkan piawaian halal untuk tujuan niaga tanpa menghirau kewibawaan halal itu sendiri. Budaya menaja pameran halal kemudiannya giat disambung oleh agensi-agensi lain di seluruh negara. Mungkin telah tiba masanya kita merencana kembali arahtuju industri halal yang makin condong ini.
MIHAS bukan tempat untuk menjual tetapi salah satu acara antarabangsa untuk memasarkan barangan dan perkhidmatan yang halal. Membina pasaran dan menjual adalah dua perkara yang amat berbeza sekali. Memang mudah kalau kita mengupah orang untuk melakukan sesuatu tetapi kita mestilah mengekalkan kawalan ke atasnya. Penubuhan sektretariat bukannya bertujuan semata-mata untuk melantik penyedia pameran tetapi mengurus keseluruhannya supaya selari dengan matlamat perusahaan halal dan dalam masa yang sama tidak mengorbankan kewibawaannya. Kepada peniaga, mengambil bahagian bukan untuk tujuan menjual barangan tetapi menjadikannya sebagai medan perantara yang bakal menemukan matlamat urusniaga di antara sesama peniaga. Marilah kita cuba bezakan di antara pameran MIHAS dengan pasar malam.
MIHAS adalah satu jenama Malaysia dan menjadi tempat untuk memperkenalkan jenama barangan Malaysia kepada seluruh dunia. Maklumbalas yang diterima dari peniaga terutama pengusaha tempatan ialah kadar sewaan ruang pameran yang terlalu tinggi menyebabkan peniaga menumpukan kepada jumlah jualan untuk mengimbangi kerugian berbanding membentuk rangkai pasaran. Manakala keluh pengusaha luar negara yang datang, melihatkan betapa pendekatan Islam di Malaysia terlalu terbuka sehingga mengabaikan sudut aurat, hakmilik pameran dan keagongan Islam sendiri apabila melihat pengendali pameran bukan dari mereka yang selayaknya atau orang Islam sendiri. Justeru, kenapa mereka perlu menghiraukan aurat atau menjaga penampilan yang lebih halal?. Apa yang kita harapkan kalau kita abaikan pengurusan pameran? Memang ‘halal’ memberi makna kepada mereka, tetapi tidak kepada tuntutan Islam yang lain kerana kefahaman mereka berbeza. Yang menjadi dalang kepada kemusnahan imej inilah yang perlu dipertanggungjawabkan.
Begitu juga dengan persoalan dalam persijilan halal. Halal bukannya satu perniagaan tetapi merupakan satu piawaian. Pola fikrah pengurusan persijilan perlu dianjak dari menghitung jumlah syarikat atau barangan yang disijilkan kepada usaha mengangkat kewibawaan halal itu sendiri. Soal wang memang tidak akan selesai. Makin dikejar, makin pantas ia berlari. Dibimbangi penyakit ini menular kepada rasuah halal yang akhirnya masyarakat sendiri tertipu. Mengangkat industri halal tidak dinafikan memanglah bagus tetapi mengangkat martabat kewibawaan halal tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Sudah sampai masanya pengurusan halal dilembagakan supaya kawalan dan penguatkuasaan menjadi lebih telus dan meyakinkan. Kelonggaran peruntukan undang-undang membuka ruang yang amat besar kepada penganiayaan pengguna Islam dan penyalahgunaan persijilan.
Seiring dengan penstrukturan ekonomi, politik dan kemasyarakatan yang rancak diusahakan sekarang, amatlah wajar sekali kita melihat kembali di mana letaknya kewibawaan industri ini. Rombakan bukan sahaja ke atas struktur yang sedia ada tetapi meliputi wadah baru mengangkat kembali keyakinan kepada persijilan halal di Malaysia. Usaha sebegini memanglah sukar dilakukan dan kadang-kadang mendapat berbagai tentangan tetapi tidak memadai bagi kita melalaikannya. Sempadan-sempadan industri yang kita ingin buka perlu menampakkan kemampuan kita menguasainya. Mengekalkan kewibawaan industri halal adalah tanggungjawab kita. Kita tidak boleh membiarkan orang yang tidak berkenaan masuk ke dalam rumah atau laman kita memberitahu apa yang kita boleh dan tidak boleh lakukan. Kita tidak mahu kerana kurang prihatin, akhirnya tanpa disedari kita seolah-olah menjadi tali barut yang menyusahkan pengguna Islam sendiri.
Tahap keyakinan persijilan makin hari makin luntur bukan sahaja di kalangan rakyat tempatan malah masyarakat antarabangsa. Berapa banyak barangan halal di Malaysia yang jika diselidiki sebenarnya tidak halal. Itu belum dikira dari sudut ‘halalan thoyyiba’ yang menyentuh tentang mutu. Mutu kandungan yang digunakan untuk membuat barangan yang terdiri dari bahan kimia yang membahayakan pengguna seperti pengawet, perisa atau pewarna yang berbahaya. Tahap kewaspadaan pengguna yang mencari barangan halal perlu ditingkatkan. Sebagai menyahut tanggungjawab ini, badan pemantau perlu disegerakan. Mereka boleh memasuki gedung-gedung membeli belah dan melihat sendiri satu persatu apa yang berlaku ke atas semua barangan yang telah diiktiraf halal. Adakah kandungannya kekal seperti semasa permohonan dibuat atau telah berlaku perubahan.
Kalau dulu tumpuan diberikan kepada kulit luar (yang berbentuk kosmetik), sekarang kita perlu lihat secara mendalam. Telah begitu lama Malaysia mementingkan penampilan keislamannya sebagai jenama untuk dilariskan, kini mungkin telah tiba masanya kita untuk balik kepada asas semula. Melangkah masuk ke muka ruang pameran cukup untuk menceritakan bahawa Islam ditinggalkan sedang mercu tanda halal dinaikkan untuk menarik amalan urusniaga. Nampaknya, pihak yang terbabit perlu dahulu dihalalkan barulah masyarakat akan yakin dengan pensijilan halal yang kita canangi. Kalau ada pihak yang tidak yakin dengan Islam tetapi sanggup berhalal-halal kerana ingin melariskan pasaran barangan mereka, kenapa mereka tidak sanggup untuk mematuhi hal-hal lain yang lebih perlu seperti perkara berkenaan aurat dan sebagainya yang juga penting dan sebahagian dari Islam?
Sekiranya masyarakat Islam sendiri telah mengalpakan faham halal sebenar sehingga mampu dijadikan sebagai sasaran serangan kembali ke atas ummah, apa faedahnya industri ini kepada ummah? Sekiranya pengurusan persijilan tidak mampu memastikan kewibawaan persijilan, eloklah jalan keluar dicari sebelum keadaan menjadi dharurat. Lihat saja pemilihan penganjur pameran, terbayang kepada kita bagaimana MIHAS yang dipilih menggambarkan betapa kekaburan berlaku dalam faham halal secara keseluruhannya. Agama Islam bukan sahaja terhad kepada halal, tetapi mencakupi keseluruhan kehidupan manusia seharian.
Halal yang merupakan ketetapan utama kepada kepenggunaan kini telah diiktiraf dan dipiawaikan bagi tujuan persijilan di seluruh dunia. Selain penetapan di peringkat persekutuan, terdapat juga pengiktirafan di peringkat negeri. Persijilan telah dijadikan satu peluang perniagaan yang menguntungkan. Ketegasan yang makin luntur ditambah dengan keinginan untuk mengaut keuntungan, menjadikan badan persijilan menjadi makin lemah dan tidak dapat memberi keyakinan kepada pengguna. Akibatnya, pengguna menjadi bingung dengan mutu dan tahap piawaian. Pengguna bukannya menghadapi masalah kerana tiadanya logo halal tetapi kegusaran kepada sejauh mana barangan tersebut betul-betul mematuhi piawaian halal yang dikehendaki oleh Islam. Berasaskan kepada keperluan ini, pihak-pihak berwajib perlu menubuhkan badan yang mengawas dan memantau piawaian halal yang telah ditetapkan di peringkat negara dan antarabangsa. Badan pelaksana amanah piawaian ini, perlu menanggung tanggungjawab mematuhi kehendak tertentu bagi menjamin kewibawaan piawaian ini begitu juga memantau syarikat yang diiktiraf halal bersesama menjaga piawaian halal ini supaya dapat mengangkat kembali Islam di tempat yang selayaknya dan bukan dijadikan kenderaan mengaut keuntungan.