Malaysia telah menjadikan tahun 2010 sebagai Tahun Inovasi dan Kreativiti. Penekanan kepada aspek inovasi dan kreativiti terutama di peringkat nasional amat penting kerana ia menggalakkan daya saing negara. Tahun Inovasi ini bukan sekadar slogan, namun pengertian inovasi amat luas dan perlu diterjemahkan dalam seluruh aspek kehidupan yang membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat.
Barangkali ada yang tidak sedar kemunculan produk seperti iPhone, Blackberry, Twitter, Facebook dan YouTube serta kebangkitan Google adalah hasil cetusan idea inovatif masyarakat Barat yang telah menukar cara penggunaan media dan berkomunikasi hari ini. Antara negara-negara maju menghasilkan produk inovasi dan kreativiti seperti Jepun, Finland dan Amerika Syarikat (AS). Oleh itu, kita juga mesti menghasilkan impak yang kreatif dalam ekonomi global yang berdaya saing. Janganlah kita membiarkan diri ketinggalan di belakang atau hanya duduk di takuk lama. Justeru, kita perlu berubah. Perubahan di sini bermakna kita bersedia untuk memperbaiki diri, organisasi dan sanggup bersaing.
Menurut Prof. Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujang, dalam bukunya ‘Budaya Inovasi: Prasyarat Model Baru Ekonomi,’ menyatakan bahawa kreativiti membabitkan pemikiran, idea dan gagasan baru. Manakala inovasi pula menjurus kepada penambahbaikan dan penyesuaian kepada pemikiran, idea yang sedia ada sehingga memberi nilai tambah baru yang boleh diguna pakai dan dimanfaatkan serta boleh dijadikan sebagai produk atau perkhidmatan yang boleh dikomersialkan. Oleh itu, bagi membudayakan inovasi dan kreativiti ini, ia tidak boleh dihadkan kepada sesuatu kelompok masyarakat sahaja, sebaliknya inovasi itu perlu difahamai dan diamalkan oleh seluruh lapisan masyarakat dalam pelbagai bidang kepakaran masing-masing.
Begitu juga, perkembangan sesebuah organisasi banyak bergantung kepada tiga faktor utama, iaitu strategi, struktur dan budaya organisasi berkenaan. Strategi dalam konteks inovasi ialah mencari kaedah terbaik untuk mencapai matlamat organisasi. Melaluinya, usaha membudayakan inovasi dan kreativiti boleh diterapkan dalam kalangan pekerja organisasi agar setiap pekerja berkebolehan menjana idea baru untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya. Mungkin kita boleh katakan kejayaan organisasi seharusnya tidak lagi dinilai berdasarkan kepada program-program rutin seperti yang dilakukan setiap tahun. Sebaliknya, ukuran kejayaan kita perlu didasarkan kepada sejauhmana keupayaan kita memperkenalkan perubahan, idea-idea baru dan program-program baru yang menjurus kepada strategi yang dijalankan.
Namun demikian, dalam rangka persediaan membudayakan inovasi dan kreativiti ini struktur organisasi perlu disesuaikan dengan perancangan atau strategi yang telah disusun atur. Tiada guna jika strategi disusun rapi dan cantik tetapi struktur organisasi tidak mampu untuk melaksanakannya. Jika struktur organisasi disusun dengan baik menepati bidang tugas masing-masing maka ia secara tidak langsung dapat menghasilkan banyak idea yang mendorong melincinkan lagi perjalanan dan matlamat organisasi. Tambahan pula, sekiranya organisasi juga memberi ruang dan peluang serta kebebasan untuk mereka melontarkan pandangan terhadap kerjaya dalam organisasinya maka pekerja akan dapat memberi idea yang bernas dalam ruang yang disediakan.
Bahkan struktur organisasi yang baik perlu ditunjangi oleh seorang pemimpin yang juga baik dan cekap. Maka di sini peranan pemimpin adalah sangat penting. Setiap pemimpin mempunyai kuasa dalam menggerakkan dan memajukan organisasi. Kegigihan pemimpin memajukan organisasi akan menjadi contoh kepada pekerja lalu menukar cara bekerja organisasi berkaitan supaya lebih tekun dan efektif dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Kerjasama antara pemimpin dan pekerja dalam organisasi akan menjadikan sikap positif mereka terhadap kerja sekaligus dapat membudayakan amalan inovasi dan kreativiti di tempat kerja.
Faktor seterusnya ialah pembudayaan inovasi dan kreativiti memerlukan kepada budaya organisasi yang bertitik tolak dari kefahaman penghayatan ilmu yang segar. Maka adalah menjadi kewajipan kepada pemimpin mahupun pengurus organisasi untuk melaksanakan penghayatan ilmu dalam kalangan kakitangannya untuk meningkatkan serta mengembangkan budaya inovasi tersebut. Ini bermakna setiap warga kerja organisasi mesti sentiasa berlumba-lumba untuk mendapatkan ilmu pengetahuan sebagai teras dalam menjayakan inovasi dan kreativiti. Organisasi akan menjadi lebih cekap, hebat dan efisien jika semua warga kerjanya mempunyai kemahiran sebagai nilai tambah seterusnya menjadi pemangkin kepada perubahan organisasi.
Sehubungan itu, bagi mencapai matlamat tersebut, salah satunya melalui perlaksanaan pembangunan dan penyelidikan (R&D). Melalui aktiviti R&D yang berterusan dan komprehensif dalam pelbagai disiplin ilmu baru, sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan kita kepada negara luar. Di sini adalah penting bagi para pekerja organisasi berkongsi kepelbagaian ilmu dalam usaha meneroka dan menyelidik bidang baru dalam konteks inovasi ini.
Selain itu, dalam membudayakan inovasi dan kreativiti ini, ukuran seperti budaya bekerja berpasukan dan melaksanakan mekanisme syura atau musyawarah adalah dilihat sebagai aspek penting dalam membantu organisasi cemerlang. Seharusnya medan bermesyuarat ini dapat mencungkil banyak idea baru dalam kalangan pekerjanya. Bukan itu sahaja, melalui perbincangan ini juga maka beberapa perkara baru juga dapat diterjemahkan dan diselesaikan dengan cepat dan mudah dalam organisasi.
Namun, keupayaan berfikir secara kreatif dan inovatif, memperkenalkan dan melaksanakan idea-idea baru tidak akan membawa sebarang manfaat sekiranya pekerja dalam organisasi yang berkaitan tidak memiliki nilai-nilai integriti yang tinggi. Konsep Integriti dalam bahasa yang mudah ialah memiliki keperibadian mulia yakni nilai-nilai yang unggul pada diri individu dan organisasi. Keperibadian mulia ini termasuklah sifat amanah, rajin, bertanggungjawab, menepati masa, berdisiplin dan semua sifat-sifat positif dalam diri seseorang individu. Ini bermakna nilai kreatif dan inovatif juga merupakan ciri-ciri integriti yang perlu dipupuk dalam oragnisasi seawal mungkin. Ini penting agar pekerja dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan baik.
Kesimpulannya, pembudayaan inovasi dan kreativiti dalam organisasi adalah penentu utama bagi mewujudkan pembaharuan pentadbiran yang inovatif, kreatif dan cekap untuk terus bergerak maju kehadapan di samping melonjakkan negara ke peringkat lebih tinggi supaya dapat bersaing dengan negara maju.