Islam amat menuntut setiap individu dari kalangan umatnya untuk hidup dalam suasana yang harmoni dan sejahtera. Keharmonian dan kesejahteraan yang perlu dimiliki meliputi aspek kerohanian, jasmani atau fizikal, mental dan pemikiran serta kesejahteraan sosial. Bagi mencapai matlamat ini, mereka bertanggungjawab untuk mencari dan memelihara kesejahteraan yang dimiliki dalam setiap aspek tersebut, sama ada untuk kesejahteraan diri sendiri, keluarga, mahupun masyarakat seluruhnya. Dalam ajaran Islam, mewujudkan pemikiran yang sihat adalah asas kepada kesejahteraan mental dan fizikal serta keharmonian sosial. Pada masa yang sama juga, kekuatan kerohanian pula sewajarnya diperkukuhkan kerana ia merupakan aspek tunggak yang memandu perjalanan dan hala tuju bagi mencapai keharmonian dan kesejahteraan mental, fizikal dan sosial seseorang individu muslim itu. Sebagai satu perkara yang paling asas dalam kehidupan individu, maka pemikiran yang sihat merupakan satu tuntutan untuk diperolehi dan dipelihara oleh setiap individu muslim.
Apakah pemikiran yang sihat? Secara umumnya, pemikiran yang sihat bolehlah digambarkan sebagai pemikiran yang positif, proaktif dan produktif, yang sentiasa terdorong kepada perkara yang positif dan baik, mempunyai persepsi yang baik berkaitan kehidupan dan masyarakat keseluruhannya. Pemikiran yang sihat juga sebenarnya mampu untuk menghasilkan satu bentuk kehidupan yang lebih baik dan positif serta mengeratkan interaksi yang positif dalam kehidupan setiap anggota masyarakat. Pemikiran yang sihat pula merupakan asas untuk mencapai tahap kesihatan mental yang sempurna.
Bagaimana untuk memiliki pemikiran yang sihat berteraskan kepada ajaran yang ada dalam Islam? Pemikiran yang sihat adalah pemikiran yang sentiasa aktif untuk berfikir dan berkreativiti. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak ayat-ayat dalam al Quran yang menyuruh dan menggalakkan umatnya untuk berfikir dengan menggunakan aqal fikiran, merenung, memerhati, mengkaji dan bertadabbur. Ini menunjukkan bahawa pemikiran yang sihat itu adalah pemikiran yang sentiasa aktif dalam berfikir dan mencari kebenaran. Pemikiran yang sihat juga sentiasa mempercayai kebenaran al Quran dan bersungguh-sungguh menegakkan kebenaran itu. Bahkan, pemikiran yang sihat adalah ciri-ciri utama bagi orang-orang yang beriman. Orang-orang yang beriman itu sentiasa berfikir dan bertadabbur tentang kejadian alam dan sentiasa mengagungkan kekuasaan serta keagungan Allah dalam mencipta alam semesta ini. Aktiviti berfikir dan bertadabbur seperti ini lebih meningkatkan lagi keimanan, kepercayaan dan ketakwaan mereka kepada Allah.
Dalam disiplin kesihatan mental, pemikiran yang sihat itu wajar seiring dan harmoni dengan tingkahlaku yang baik dan positif. Malah adalah bertentangan dengan aturan tabi’i apabila amalan dan tingkahlaku yang negatif itu boleh diterima sebagai sesuatu yang normal, apatah lagi jika ia bertentangan dengan peraturan syari’at. Apa yang pasti, dalam mengenalpasti pelbagai jenis dan bentuk gangguan pemikiran manusia, di antara beberapa ciri atau simptom yang boleh dikenalpasti adalah dengan melihat kepada tingkahlaku mereka yang tidak keruan, bentuk percakapan dan perbuatan yang biasanya tidak dapat diterima oleh pemikiran yang waras. Kita semua sudah amat maklum bahawa diri kita adalah apa yang kita fikirkan. Manakala tingkahlaku, personaliti, percakapan dan perbuatan kita adalah seiring dan harmoni dengan apa yang kita fikir atau apa yang kita percayai. Lantaran itu, pemikiran yang baik dan positif akhirnya akan mencetus dan mendorong individu untuk melakukan aktiviti yang baik dan sihat, sesuai dan harmoni dengan pemikiran mereka, yang menggambarkan bahawa mereka sememangnya memiliki pemikiran yang sihat dan sejahtera.
Seterusnya, memiliki pemikiran yang sihat, diiringi dengan tingkahlaku serta amalan perbuatan yang baik dan mulia, sebagaimana yang terdapat dalam kriteria dan definisi kesihatan mental, sewajarnya perlu menurut apa yang diajarkan dalam al Quran, iaitu mendapat tarbiah dan bimbingan secara langsung yang bertujuan ke arah pengukuhan untuk pembangunan aspek psikospiritual dan kerohanian. Ini amat bertepatan dengan apa yang telah dinyatakan oleh RasululLah s.a.w bahawa asas kepada pemikiran yang sihat dan persepsi yang positif serta tingkahlaku yang berkhemah adalah bergantung kepada seketul daging di dalam satu jasad manusia, yang dikenali sebagai qalbu atau hati, yang terletaknya aqal, tempat di mana bersemayamnya ruh, yang memandu perjalanan dan hala tuju pemikiran dan tingkahlaku individu. Jika baik daging itu, maka murni dan harmonilah manusia, dan jika rosak ia, maka rosaklah seluruh jasad mereka.
Memandangkan qalbu sebagai tempat di mana terletaknya ruh, sebarang kerosakan kepada qalbu akan memberi kesan yang menggugat kestabilan dan ketenteraman ruh. Keadaan ruh yang tidak tenteram dan tidak stabil akan mencetuskan gangguan keresahan dan kebimbangan, kemurungan dan sebagainya, dan sudah pasti akan memberi kesan langsung kepada seluruh jasad. Apabila rosak jasad, maka muncullah pelbagai reaksi dan simptom fizikal dan psikospiritual yang melambangkan wujudnya fenomena psikopatologi, yang akhirnya mengancam kestabilan dan ketenteraman ruh serta jasad itu, dan akhirnya menggugat kesejahteraan nyawa. Kedudukan ruh dan jasad yang lemah akan mendedahkan manusia kepada pelbagai kemungkinan serangan oleh anasir luaran yang bersifat opotunistik yang bertujuan menambahkan lagi kerosakan kepada mereka. Lantaran itu, amat penting bagi setiap individu muslim untuk dididik dan dibimbing ke arah pengukuhan pembangunan psikospiritual dan kerohanian agar diri menjadi lebih mantap.
Tujuan syariat Islam adalah bagi memastikan agar individu yang merdeka sewajarnya memiliki pemikiran yang sihat sebagai hasil daripada tarbiah dan bimbingan pembangunan kerohanian. Dengan ini, apa jua persepsi dan penilaian mereka terhadap kehidupan dan segala aktiviti rutin harian yang dilakukan adalah berdasarkan kepada pandangan mata qalbu atau mata hati, bukan mata kepala seperti yang biasa difahami. Persepsi mereka adalah persepsi tauhid dan berdasarkan kepada persepsi al Quran dan Sunnah. Inilah jati diri mereka yang sewajarnya mereka bentuk dan pertahankan. Jati diri yang terbentuk ini adalah satu jati diri yang dinamik serta bebas dari sebarang belenggu keduniaan yang menjerat kemerdekaan mereka sebagai khalifah Allah. Mereka telah menang kerana mereka bebas dan merdeka dari pengaruh pemikiran yang salah dan bertentangan. Mereka merdeka dari sebarang gangguan kejiwaan yang mengakibatkan keresahan, kegelisahan dan kemurungan. Mereka menang dan merdeka kerana mereka adalah khalifah Allah.