Warga Malaysia sekali lagi menyambut Hari Kemerdekaan negara yang ke-55 pada hari 31 Ogos tahun ini. Setiap tahun pelbagai upacara untuk menyambut Hari Kemerdekaan diadakan termasuk perarakan, perhimpunan dan pelbagai lagi. Jalur Gemilang yang dikibar menjadi simbol sambutan rakyat untuk meraikan Hari Kemerdekaan. Ini sebagai memperingati kejayaan Tanah Melayu memperolehi kemerdekaan daripada kerajaan British seperti yang diusahakan oleh Tunku Abdul Rahman dan pemimpin Tanah Melayu pada ketika itu.
Dengan usaha ini akhirnya rakyat Malaysia bebas secara fizikal daripada kuasa penjajahan asing. Pada masa yang sama mereka juga perlu meraikan kemerdekaan itu bukan sahaja dari aspek fizikal bahkan juga mencukupi aspek kerohanian dan pemikiran yang akhirnya dapat membina jati diri dan membangunkan negara mengikut acuan sendiri berteraskan nilai-nilai tempatan dan agama.
Untuk menghayati sambutan Hari Kemerdekaan dalam pelbagai aspek yang positif, kita perlu sayang dan cinta kepada tanahair. Nilai-nilai sayang ini boleh diwujudkan dengan kita menilai dan menghargai nikmat dan kebahagian tinggal di negara sendiri. Di negara inilah tempat kelahiran kita, tempat membesar, tempat kita hidup dengan keluarga, masyarakat dengan aman dan tenteram mencari kehidupan. Kesuburan bumi negara ini memberi kita peluang bercucuk tanam dan menikmati hasilnya dengan berlimpah-ruah. Bentuk geografi negara yang unik dan mudah tanpa berada di dalam kawasan malapetaka seperti angin puting beliung dan gempa bumi memberi kesenangan kepada kita menjalani aktiviti ekonomi dan kehidupan.
Masyarakat pelbagai bangsa dan agama dapat hidup dengan bertolak ansur tanpa konflik yang besar yang boleh membawa kepada peperangan saudara, pengeboman di sana-sini. Masyarakat juga tidak dikejutkan dengan kejadian menembak mengejut orang awam yang tidak berdosa di kawasan-kawasan awam.
Malah Institut Ekonomi dan Keamanan, salah sebuah organisasai kumpulan pemikir dalam laporan pada 12 Jun 2012, seperti dipetik dalam majalah The Economist, telah meletakkan tahap keamanan dan keselamatan negara Malaysia di tangga ke-20 mengatasi negara Singapura dan Australia.
Hidup dalam keadaan bebas untuk menikmati keperluan asas yang mencukupi seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian dengan mudah dan selesa merupakan perkara yang masih menjadi mimpi atau angan-angan bagi sesetengah rakyat negara lain. Ini ditambahkan lagi dengan faktor konflik yang dicetuskan oleh manusia sendiri seperti yang berlaku di Timur Tengah, masyarakat yang tidak stabil seperti di Amerika Syarikat dan bencana alam yang kronik seperti kejadian gempa bumi di Jepun dan Iran.
Dengan mengimbau kembali kemanan negara yang ada, maka ini boleh membawa kita kepada sayang dan cinta kepada tanah air.
Pada masa yang sama, cinta kepada negara merupakan satu tuntutan dalam agama Islam. Ini ditunjukkan oleh baginda SAW yang telah meluahkan rasa kecintaan yang amat mendalam terhadap kota Mekah ketika terpaksa berhijrah dari Mekah ke Madinah.
Dalam hadis imam Tirmizi seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas nabi SAW bersabda; “Betapa engkau (kota Mekah) negeri yang terbaik, dan engkau yang amat aku cintai, jika kerana bukan kaumku yang mengusir aku daripada bumi engkau, maka sudah tentu aku tidak akan pergi melainkan kekal tinggal di bumi engkau”.
Bagi orang Islam, untuk benar-benar mencintai tanahair maka mereka perlu kembali kepada ajaran Islam. Dengan menghayati ajaran agama maka ia dapat memberi petunjuk dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk mencintai, menghargai dunia dan bumi tempat tinggal mereka untuk beribadat. Ini kerana bumi tempat tinggal atau tanahair mereka itulah menjadi tempat untuk mereka beramal membuat kebajikan untuk hari kemudian.
Di tanahair juga, manusia dapat memenuhi sebahagian besar tanggungjawab mereka sebagai khalifah Allah SWT untuk memakmurkan bumi. Dalam surah Hud, Allah SWT telah menyatakan melalui dailog nabi Soleh a.s. “Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya”.
Dengan timbul rasa cinta kepada tanahair, maka warga negara akan terus memperjuangkan keamanan dan kemakmuran negara daripada anasir luar dan penjajahan tidak kira dalam bentuk fizikal atau pun juga dalam bentuk pemikiran. Hidup dengan menghormati dan menjaga hak-hak orang lain seperti hak individu, jiran, masyarakat kampung, bandar, dan warga negara keseluruhannya perlu dijaga agar tidak timbul unsur pergaduhan dan permusuhan yang boleh mengucar-kacirkan tanahair tercinta.
Warga Malaysia yang ada rasa cinta kepada tanahair sudah tentu akan menyambut Hari Kemerdekaan dengan lebih bermakna dan dengan wawasan tersemat di sanubari untuk terus membina dan memakmurkan negara Malaysia.