Lebih kurang dua minggu yang lalu, Menteri Kesihatan mengumumkan cadangan kerajaan untuk menggunakan pendekatan pengurangan risiko dalam mengurangkan kadar jangkitan HIV. Oleh kerana golongan yang berisiko tinggi ialah para penagih yang menyuntik dadah ke tubuh mereka, maka kaedah yang akan dilaksanakan oleh kementerian ini adalah dengan pemberian jarum suntikan, metadon dan kondom kepada golongan yang berisiko tinggi ini.
Sejak pengumuman itu, banyak pihak yang telah mengutarakan pandangan mereka terhadap pendekatan yang ingin diambil oleh Kementerian Kesihatan. Walaupun ada yang menyokong, namun rata-rata lebih ramai yang menentang.
Apa yang jelas, penentangan lebih hebat ditujukan kepada cadangan untuk memberi jarum suntikan dan kondom. Amat kurang yang memberi komen tentang metadon.
Ini mungkin kerana metadon dilihat lebih hampir dengan prinsip Islam berhubung dengan usaha-usaha untuk menangani penagihan dadah dan penyebaran virus HIV/AIDS. Perkara yang sebaliknya berlaku terhadap dua kaedah yang lain.
Pemberian jarum suntikan dilihat tidak akan menghentikan ketagihan, mahupun kesan negatif ketagihan itu sendiri. Manakala, pemberian kondom pula dikaitkan dengan kemungkinan berlakunya zina.
Jika metadon benar-benar boleh memberikan hasil positif seperti yang didakwa, maka pastinya ia adalah pendekatan yang lebih mesra penagih. Antara kesan positif yang didakwa dibawa oleh metadon adalah kerana pertama, ia diambil secara oral, kita dapat mengelakkan penyebaran virus HIV/AIDS akibat pengambilan dadah secara suntikan dan perkongsian jarum.
Kedua, metadon hanya diperlukan dalam dos yang kecil iaitu sehari sekali berbanding heroin yang perlu diambil lebih daripada sekali sehari. Keperluan ini menyebabkan penagih heroin asyik memikirkan tentang cara bagaimana untuk mendapatkan dos yang seterusnya walaupun dengan melakukan jenayah.
Prinsip
Ketiga, yang paling penting pada pandangan penulis, khususnya bila kita memperkatakan tentang prinsip Islam, penagih yang mengambil metadon akan dapat berfungsi seperti manusia normal.
Ini bererti, setelah mengambil dos metadon untuk hari tersebut, mereka dapat meneruskan kerja-kerja seharian seperti orang biasa. Mereka tidak akan kelihatan terhoyong-hayang atau tidak terurus seperti gambaran biasa yang kita lihat apabila bercakap tentang penagih dadah.
Justeru, mereka boleh menjadi warganegara yang produktif, yang bukan sahaja boleh menjaga diri sendiri, tetapi juga menyumbang kepada keluarga, komuniti, negara dan bangsa.
Jika statistik yang ada menunjukkan bahawa satu peratus daripada penduduk kita adalah penagih, bayangkan jika satu peratus penduduk ini dapat menjadi ahli masyarakat yang produktif dengan penggunaan metadon. Bayangkan pula kesannya kepada produktiviti negara.
Ternyata, banyak kesan positif yang boleh terhasil sekiranya kita merawat para penagih dengan metadon. Apa pula kaitannya dengan penyebaran HIV/AIDS? Selain tidak lagi perlu menyuntik dan berkongsi jarum, penyebaran HIV/AIDS dapat dikawal kerana penagih yang mengambil metadon adalah penagih yang lebih waras.
Dengan kewarasan tersebut, dapatlah mereka membuat keputusan-keputusan yang wajar agar tidak mengamalkan tingkah laku yang berisiko tinggi, yang membolehkan mereka dijangkiti atau menjangkitkan virus HIV/AIDS.
Berbanding dengan pemberian jarum yang tidak menghentikan ketagihan, malah memberi kesan buruk kepada kewarasan penagih, walaupun mereka mungkin akan menggunakan jarum yang bersih, dapatkah dipastikan yang mereka akan menggunakan kondom yang dibekalkan dengan cara yang wajar? Inilah yang membimbangkan ramai ahli masyarakat.
Kemampuan metadon mengembalikan kewarasan ini, bagi penulis adalah kekuatan yang perlu kita gunakan. Kewarasan manusia amat penting khususnya bila kita mahu memenuhi objektif-objektif syariah.
Jika kewarasan para penagih ini dikembalikan, maka adalah lebih mudah untuk mereka memelihara agama, akal, nyawa, harta dan keturunan mereka sendiri.
Sekiranya mereka tidak ada ilmu untuk melaksanakan perkara-perkara tersebut sekalipun, kewarasan yang ada memudahkan kita untuk membimbing dan memimpin mereka.
Yang tidak kurang pentingnya, hanya dengan kewarasan ini dapat kita laksanakan program-program pendidikan, penerapan nilai-nilai agama dan kaunseling yang merupakan pelengkap kepada kaedah pengurangan risiko ini.
Berdasarkan kepada perkara-perkara tersebut, penulis berpandangan bahawa pemberian metadon kepada para penagih adalah satu kaedah yang lebih sesuai.
Oleh kerana itulah, kita lihat, sepanjang dua minggu lalu, tiada yang memberi komen menentang kaedah ini.
Kini, hujah bahawa pendekatan yang dicadangkan ini hanya membazirkan wang rakyat telah dapat dipatahkan. Terbaru, Menteri Kesihatan mengumumkan bahawa pendekatan tersebut akan diteruskan bermula Oktober ini. Bagaimanapun, ia hanya di peringkat percubaan sahaja.
Penulis berharap, pada akhirnya, pertimbangan kita tidak hanya bergantung kepada perkiraan ringgit dan sen semata-mata. Yang lebih penting lagi ialah sejauh mana sesuatu pendekatan itu dapat memberi perubahan yang berkesan kepada kesejahteraan keseluruhan masyarakat.