Pada Mac 2004, negara kita dikejutkan dengan berita seorang pelajar sekolah agama yang ditemui mati di dalam tandas akibat dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior. Terbaru, peristiwa yang sama berulang. Walaupun kali ini tidak melibatkan kehilangan nyawa, tetapi mangsa dikhuatiri mengalami kemungkinan lumpuh akibat dibelasah, dihentak ke almari dipijak belakang dengan but kadet polis oleh sekumpulan pelajar lama.
Persoalannya, mengapa kes buli ini terjadi? Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, Presiden Persatuan Psikologi Malaysia yang juga bekas Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia,Universiti Pendidikan Sultan Idris, beliau mendapati ada beberapa faktor yang menyebabkan kes buli ini terjadi. Faktor utama ialah kerana si pembuli merasa puas apabila dia berjaya menyakiti mangsa secara lisan dan juga fizikal. Dengan kata lain pembuli membuli orang lain sekadar untuk “berseronok”. Kajian Dr. Noran juga mendapati kebanyakan mereka yang terlibat dengan buli ini tidak mempunyai hubungan kekeluargaan yang kukuh dengan ibu bapa dan kebanyakan mereka datang daripada keluarga yang tidak mengambil berat pendidikan agama.
Jika dapatan kajian Dr. Noran ini mengatakan bahawa kebanyakan pembuli datang daripada keluarga yang tidak mengambil berat tentang pendidikan agama, tentu persoalan yang kedua akan bermain di minda kita iaitu mengapa kes buli turut berlakudi sekolah agama? Perlu diingatkan bahawa kedua-dua kes yang disebut di awal artikel adalah kes yang melibatkan sekolah agama dan ia mendapat liputan yang luas di media massa. Mungkin perlu ada kajian lapangan susulan untuk menjawab persoalan ini.
Apapun Islam tidak menganjurkan penindasan. Islam bererti sejahtera dan salah satu sifat orang Islam ialah dia tidak memberi masalah kepada saudara seIslamnya yang lain sepertimana sabda nabi saw yang bermaksud :
“Orang Islam ialah orang yang saudara seIslamnyamerasa aman daripada gangguan lidah dan tangannya”.
Dalam satu hadis Qudsi, daripada Abu Dzar Al-Ghifari r.a, daripada Nabi s.a.w bahawa Allah swt berfirman:
“Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya aku mengharamkan kezaliman atas diriKu, maka Aku mengharamkannya di kalangan kamu, maka janganlah kamu zalim menzalimi”.
Budaya buli merupakan satu kezaliman yang menyebabkan mangsanya akan mengalami gangguan mental dan fizikal yang berterusan. Apatah lagi jika ia berlaku di kalangan pelajar sekolah yang sepatutnya memanfaatkan masa muda mereka dengan menuntut ilmu.
Walaupun Kementerian Pelajaran mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Petugas Khas menangani samseng dan buli di sekolah pada April 2004 serta mewujudkan talian hotline, SMS, email dan sebagainya bagi membolehkan aduan dibuat, namum keberkesanannya masih belum dapat disahkan. Buktinya gejala buli masih berlaku dan kebelakangan ini makin banyak kes baru yang dimuatkan di dada akhbar.
Apa yang jelas kita sudah ada jawatankuasa khas untuk menangani masalah ini. Mungkin dari segi pelaksanaan ia memerlukan komitmen daripada semua pihak, baik di pihak keluarga, pengetua sekolah, guru,warden asrama serta para pelajar itu sendiri.
Tiada guna jika para pelajar hanya mencapai kecemerlangan daripada segi akademik sahaja sedangkan sahsiah mereka berada di dalam kegawatan. Jadi kita perlu pastikan mereka bukan sahaja cemerlang dalam pencapaian akademik, tetapi pada masa yang sama mempunyai keperibadian yang unggul.
Dalam konteks pendekatan Islam Hadhari yang dicanangkan oleh kerajaan Malaysia, isu buli ini jika tidak ditangani dengan bijaksana boleh merencatkan agenda pembangunan kerajaan. Banyak prinsip pendekatan Islam Hadhari tidak dapat difahamkan jika isu ini berpanjangan. Kita mungkin tidak dapat mewujudkan satu masyarakat Islam yang beriman dan bertakwa kepada Allah jika ada di kalangan anggota masyarakat yang tidak mengamalkan moral yang luhur. Buli bukan lahir hasil keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Ia merupakan hasil kedaifan iman di dalam sanubari individu kerana orang yang beriman dan bertakwa dia tidak memberi masalah atau menyusahkan orang lain, sebaliknya masyarakat akan merasa senang dengan kehadirannya.
Kita mungkin gagal melahirkan satu bangsa yang berjiwa merdeka jika gagal mengatasi masalah ini kerana gejala buli yang wujud dalam sistem persekolahan kita merupakan satu budaya yang diwarisi.
Anak-anak kita juga akan menghadapi kesukaran untuk menimba ilmu kerana wujudnya satu persekitaran yang tidak membantu mereka untuk belajar dalam suasana yang kondusif. Ini secara tak langsung mengganggu kelancaran prinsip Islam Hadhari yang ke-4 iaitu penguasaan ilmu pengetahuan.
Begitu juga dengan prinsip keutuhan budaya dan moral. Jika segelintir pelajar masih lagibersikap suka membuli dan tiada ikhtiar yang bersepadu untuk menyelesaikannya secara berkesan, lambat laun kita takut bangsa Malaysia akan menjadi satu bangsa yang kasar dan akan dikenali sebagai satu bangsa yang tidak beretika.
Ringkasnya, isu buli perlu ditangani melalui pendekatan yang bersifat “kulli” dan semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan ia tidak menjadi satu isu yang serius. Jadi setiap program atau garis panduan yang berkaitan dengan masalah buli perlu dipastikan keberkesanannya dan perlu ada proses pemantauan yang konsisten dari masa ke semasa oleh pihak yang berkenaan agar masalah ini tidak mengganggu kelancaran agenda pembangunan yang lain yang disusun oleh kerajaan.