Masihkah kita ingat ketika jerebu melanda negara kita baru-baru ini?. Dengan pandangan yang kabur dan terhad, nafas menjadi sesak kerana habuk dan bau yang tidak menyenangkan, semua amalan menjadi terbatas dan serba tidak kena. Begitulah keadaan sekiranya sesuatu keputusan dibuat tanpa pengetahuan dan keutamaan yang jelas.
Suasana ini tidak jauh bezanya dengan kemelut yang berlaku di dalam Proton, MAS, Tabung Haji dan Bank Islam dalam usaha kerajaan menerapkan pembangunan modal insan dan Islam Hadhari. Keadaan seolah-olah menjadi satu cabaran untuk kita mencari jalan penyelesaiannya.
Ketika masing-masing sibuk merungut dan memberi pandangan, ciri penting pemantauan rapi dibiarkan tanpa diperhalusi. Sudah tiba masanya perundingan diberi pendekatan baru supaya kecelaruan yang berlaku dapat diatasi.
Perundingan amat penting dijadikan sebagai satu budaya memandangkan keadaan yang berlaku dalam masyarakat sekarang.
Sekiranya kita meneliti hikmah al-Quran diturunkan, kita akan dapati bahawa al-Quran menggunakan pendekatan perundingan dalam memimpin manusia ke arah kebenaran. Ayat-ayat al-Quran diturunkan sedikit demi sedikit selama 23 tahun dalam suasana tertentu dan mempunyai sebab-sebab penurunan atau `asbab al-nuzul’.
Para pentafsir perlu mengetahui banyak ilmu pengetahuan secara terperinci dalam membuat pentafsiran dan perkara ini tidak mampu ada di dalam kebanyakan orang kecuali dengan usaha yang gigih dan istiqamah mencari pengetahuan yang mendalam.
Sebuah hadis menyebut bahawa “Barang siapa menghuraikan tentang al-Quran tanpa ilmu pengetahuan, maka sedia baginya tempat di dalam neraka.” (At-Tarmizi).
Begitu juga pendekatan Rasulullah s.a.w dalam usaha menyampaikan seruan Islam. Dengan sifat baginda iaitu siddiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fathonah (bijaksana), perundingan baginda Rasulullah s.a.w dalam mengajak manusia yang pelbagai latar belakang mencapai ke tahap yang amat gemilang.
Tersebarnya Islam ke seluruh pelosok dunia bukan kerana harta atau kedudukan yang Rasulullah ada, tetapi kerana kejayaan perundingan yang dilakukan oleh baginda. Berbeza sekali dengan keadaan umat sekarang; harta dan kedudukan dijadikan paksi bukannya ilmu pengetahuan. Secara tidak langsung, segala amalan seharian menitikberatkan ciri-ciri kebendaan bukannya ilmu atau hikmah.
Walaupun berniaga itu digalakkan dan merupakan 9/10 daripada pintu rezeki, tetapi harus diingat bagaimana perniagaan dijalankan di zaman Rasulullah s.a.w. Rasulullah menggunakan pendekatan kebenaran, amanah, menyampaikan dan bijaksana. Berniaga mempunyai kemungkinan yang besar, jadi perlu diingat bahawa akibah berniaga juga tinggi sekiranya akhlaknya diabaikan.
Ketempangan dan kegagalan perniagaan dialami kebanyakan pengusaha. Banyak pendekatan diusulkan sebagai mencari jalan penyelesaian. Namun, belum ada satu jawapan yang dikatakan meliputi dan mengkhusus ke arah permasalahan sebenar atau dengan erti kata lain `ketidakpastian itu adalah sesuatu yang pasti.’
Kemungkinan yang pasti ialah semua urusan kehidupan perlu mengguna pakai tasawur perundingan yang sebenar. Kefahaman dan kepakaran akan membebaskan kita daripada bertindak dengan cara yang sempit dan terhad dalam menghadapi dan melaksanakan tanggungjawab.
Perundingan tidak boleh terbabas dari landasan yang telah digariskan. Begitu juga dengan saranan Islam supaya merujuk sesuatu perkara kepada orang yang ahli dalam bidangnya (an-Nahl:43). Maksud `ahli’ di sini adalah kelayakan dari segi ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan urusan berkenaan yang bersifat tepat dan wajar.
Perundingan merupakan satu bidang yang luas dan tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja.
Kerajaan telah menggubal dan melaksanakan pelbagai perancangan untuk membangunkan kemahiran berniaga di kalangan bumiputera untuk menyeimbangkan ekonomi masyarakat. Namun, rancangan ini masih menjadi ciri-ciri rancangan-rancangan Malaysia yang seterusnya kalau individu bumiputera sendiri lemah dalam menguasai dan memahami apa dan bagaimana sesuatu perundingan perlu dibuat.
Berniaga sebenarnya adalah satu urusan rundingan di antara penjual dan pembeli. Perundingan merupakan pendekatan utama untuk menarik pembeli membeli hasil yang ditawarkan.
Kecemerlangan perkhidmatan yang ditawarkan dalam apa saja urusan bergantung kepada cara perundingan yang digunakan. Sekiranya lemah pendekatan dibuat, pelanggan akan merasa hambar untuk berurusan walaupun pelanggan dan penjual mempunyai persamaan tertentu.
Bagi mereka yang telah membudayakan perundingan sebagai sebahagian daripada ciri penting kehidupan, tidak menjadi masalah walau di mana dan apa saja bidang yang diceburi. Perundingan adalah satu kemahiran dalam menguasai pelaksanaan memberi pandangan, khidmat nasihat pakar atau melaksanakan urusan dengan baik. Perundingan yang matang akan memberi kepuasan dan kerelaan kepada pembeli untuk melaksanakan urusan.
Perbezaan pendekatan ini ketara sekali di antara orang yang berusaha mencari jalan dengan orang yang berusaha mencari alasan. Oleh yang demikian, bagi menjamin kejayaan perundingan, kelayakan-kelayakan tertentu perlu dihalusi dan digariskan.
Pandangan tidak pentingnya perundingan sudah menjadi satu perkara biasa. Malangnya kesan inilah yang boleh menggagalkan hasrat untuk memindahkan teknologi dari pelabur-pelabur luar negara ke Malaysia. Keadaan ini dikaitkan dengan kurangnya sokongan dan subsidi sedangkan perkara sebenar adalah sebaliknya.