1. Isu Bunuh Diri di Malaysia:
Yang berhormat Menteri Kesihatan Malaysia, dalam kenyataannya di majlis perasmian Sambutan Bulan Cegah Bunuh Diri 2005, di Subang jaya baru-baru ini (Utusan Malaysia, 13 Sept. 2005) menyatakan: �Kadar peningkatan bunuh diri dianggarkan antara lapan hingga 13 orang setiap 100,000 penduduk setahun dan tujuh orang setiap hari serta lebih 2,000 kematian setahun. Kaum India merupakan golongan yang paling ramai membunuh diri, iaitu 21.1 orang bagi setiap 100,000, diikuti kaum Cina (8.6 orang setiap 100,000) dan Melayu (2.6 orang setiap 100,000).
Menurut ulasan beliau, (di antara) faktor yang menyumbangkan kepada kejadian tersebut ialah kemiskinan, kehilangan orang yang disayangi, keretakan perhubungan, seperti perceraian dan penyalahgunaan dadah. Disamping itu, kegagalan akademik, sejarah penyakit fizikal atau mental seperti kemurungan serta sejarah bunuh diri dalam keluarga, juga merupakan penyumbang kepada peningkatan kes berkenaan. Secara akar umbinya, itulah 6 faktor penyumbang yang menyebabkan berlakunya kejadian bunuh diri. Dengan pengertian yang lain, untuk merawati gejala ini perlulah ditangani secara berkesan keenam-enam faktor tersebut. Bagaimana pun, mungkin ramai yang terlupa bahawa faktor kelemahan dalam pendidikan dan pegangan agama yang lemah boleh menjadi dorongan yang utama selain dari apa yang telah disebutkan itu.
Kegagalan sistem pendidikan (tidak formal dan formal) melahirkan generasi yang mempunyai jiwa yang kental, mampu menghadapi segala macam cabaran, tidak mudah berputus asa dan berkeyakinan diri, memainkan peranan yang penting di dalam kehidupan dan tindakan seseorang apabla berdepan dengan cabaran-cabaran masa ini yang cukup kronik. Kemiskinan, kehilangan orang yang disayangi dan penyalah gunaan dadah tidak begitu gawat jika seseorang itu tidak hilang pegangannya. Kehilangan pegangan akan berlaku apabila seseorang itu hilang keyakinan diri dan rapuh pegangan agamanya. Di sini saya berpendapat sistem pendidikan tidak formal perlu ditingkatkan.
Ibubapa perlu diberi maklumat selengkapnya tentang parenting agar tunjuk ajar mereka di dalam mendidik anak-anak mempunyai kesan secukupnya dan dapat melahirkan jati diri serta pegangan agama yang betul dan mantap semasa mereka berada di dalam peringkat pembasaran awal. Tekanan hidup yang mencabar menyebabkan sebahagian ibubapa mengabaikan pendidikan anak-anak mereka dan menyerahkan penjagaan dan seliaan urusan anak-anak kepada pembantu-pembantu rumah yang taraf pendidikan mereka tidak terjamin baik dan tindakan mereka terhadap anak-anak tentunya tidak seperti yang dilakasanakan oleh ibubapa sendiri. Dengan erti kepincangan yang berlaku di dalam rumahtangga dari sudut pendidikan anak-anak harus diperbetulkan dari masa ke semasa.
Kita harus persoalkan juga apa yang disediakan oleh kerajaan melalui sistem pendidikan formal, apa disediakan oleh pusat-pusat pendidikan bukan kerajaan dalam sukatan pendidikan mereka? Jika kekurangan/kelemahan berlaku di dalam ruang pendidikan tidak formal, ditambah dengan pendidikan formal yang tidak terancang, apa yang dapat kita harapkan dari generasi yang akan dilahirkan? Ini memerlukan satu renungan mendalam, di mana letaknya kelemahan sistem pendidikan negara sekarang ini? Adakah kelemahan itu terdapat di dalam sistem itu sendiri atau jentera perlaksanaan kepada sistem itu yang tidak efisionnya?. Justeru, kita memerlukan perumbakan kepada kedua-dua sistem pendidikan itu tidak formal dan formal dalam membina generasi yang berwawasan yang sanggup menjayakan gagasan Islam Hadari tanpa lemah menghadapi segala macam rintangan dan cabaran sama ada dalam bentuk tempatan atau global.
Dalam Islam, pendidikan dimulakan dengan akidah dan akhlak. Contoh baginda Rasulullah s.a.w. membentuk generasi Hijrah adalah sumber ilham yang tidak harus diabaikan. Baginda telah berjaya melahirkan satu generasi yang kental semangatnya, beretika dan penuh ketakwaan kepada kekuasaan Allah serta mampu mengharungi apa saja cabaran dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap diri, masyarakat, negara dan agama. 13 tahun baginda berusaha kearah ini. Pada akhirnya baginda telah berjaya. Generasi inilah yang telah berjaya menegak dan mempertahankan Negara Islam yang diasaskan baginda selepas berhijrah ke Madinah.
Dalam konteks kejadian membunuh diri, Islam tidak mengharuskan sesiapapun mengambil nyawanya sendiri, kerana nyawa adalah milik Allah. Perkara ini telah dijelaskan menerusi FirmanNya: Dan Dialah yang telah menghidupkan kamu, kemudian mematikan kamu, kemudian menghidupkan kamu lagi, sesungguhnya manusia itu benar-benar mengingkari nikmat (al-Hajj, 22:66). Justeru, Islam menganggap perbuatan membunuh diri sebagai suatu kesalahan jenayah terhadap nyawa yang terangkum ke dalam kesalahan Jenayah Qisas.
2. Larangan Membunuh Diri:
Terdapat beberapa larangan dari al-Qur�an dan al-Sunnah berkaitan dengan kesalahan ini, di antaranya:
– firman Allah: Dan janganlah kamu menjatuhkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan (al-Baqarah, 2:195)
– dan firmanNya lagi: Dan janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah amat Penyayang kepada kamu (al-Nisa’, 4:29).
Di dalam Sunnah Rasulullah s.a.w. kita menemui Hadis-hadis berikut:
– baginda bersabda: Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu di dunia ini, maka dia akan diazabkan dengannya pada hari kiamat nanti (riwayat Muslim, 1:104; al-Darimi, 2:112 dan Ahmad, 4:33,34).
– sabdanya lagi: Sesiapa yang menjatuhkan dirinya dari puncak bukit kerana membunuh diri, maka dia akan berulangkali jatuh ke dalam api neraka selama-lamanya, sesiapa yang meneguk racun kerana membunuh dirinya, maka racun itu akan berada di tangannya dan dia akan meneguknya berulangkali di dalam neraka selama-lamanya, sesiapa yang membunuh dirinya dengan menggunakan besi, maka besi itu akan berada di tangannya dan dia akan memukul kepalanya dangan besi itu berulangkali di dalam neraka selama-lamanya (riwayat Muslim, 1:104; al-Darimi, 2:112 dan Ahmad, 4:33,34).
– sabdanya lagi: Sesungguhnya darah dan nyawa kamu adalah haram ke atas kamu, seperti haramnya pada hariku ini, bulanku ini dan di tempatku ini.
Berdasarkan kepada nas-nas tersebut, kita dapat membuat beberapa kesimpulan berkaitan dengan kedudukan nyawa dan sejauh mana manusia itu mempunyai hak terhadapnya:
1. Nyawa adalah milik Allah. Dialah yang menghidup atau mematikan seseorang, bukannya orang itu sendiri yang menentukan hidup matinya.
2. Membunuh diri merupakan perbuatan terkutuk yang amat dilarang Allah biarpun di dalam suasana yang lain kadang-kadang kita diwajibkan berkorban hinggakan kepada mengorbankan nyawa sendiri, tetapi ini tidaklah dikira sebagai membunuh diri kerana ada sebab-sebab lain yang lebih besar mengharuskannya, malah kadang-kadang pula diwajibkan kita berkorban seperti berjihad kerana mempertahankan agama, negara dan kehormatan diri dari serangan musuh dan sebagainya.
3. Orang yang membunuh diri akan diazabkan Allah di hari akhirat nanti, dan tidak ada sesiapapun akan terlepas dari azabNya.
Kita amat memerlukan generasi yang kental jati dirinya dalam merialisasikan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melahirkan bangsa Malaysia yang bertamadun berasaskan sejarah dan tamadun Islam lampau tanpa mengenepikan perkembangan ilmu dan teknologi semasa. Generasi seperti ini tidak akan lahir, malah mustahil akan lahir tanpa perancangan konprehensif dan telus. Suasana caca murba, dadah, Aid/HIV, salah guna kuasa, rasuah, penyelewengan dalam pelbagai sektor, budaya yang bercampur baur di antara baik dan buruk dan sebagainya, hanya akan menjadi ladang kepada kelahiran satu generasi yang lemah, murung, tidak dainamik, gagal mengambil tindakan berfaedah, tidak mengenali masa depannya dan akhirnya akan mengundang banyak lagi peristiwa membunuh diri. Justeru, program pendidikan bersepadu yang terancang, penghayatan budaya berasaskan etika agama yang murni dan kesungguhan institusi keluarga dan juga pemerintah dalam membangun golongan remaja yang berkualiti adalah pra syarat kepada kejayaan masa depan Negara dan gagasan Islam Hadari.