Angkasa menawarkan ruang yang luas untuk membuat penerokaan secara saintifik. Keupayaan menguasai ruang angkasa adalah sejajar dengan keupayaan menjaga kedaulatan bagi sesebuah negara. Dari perspektif Islam pula, penerokaan angkasa ini dapat kita lihat dalam Surah Ar-Rahman ayat ke 33 yang bermaksud “Wahai sekelian jin dan manusia, kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan dapat menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)”
Jika kita tinjau dari sudut sejarah pula, Ibnu Finas adalah merupakan orang yang terawal memperkenalkan konsep penerbangan dengan menggunakan prinsip kepakan sayap seperti yang terdapat pada burung. Percubaan beliau yang pertama menggunakan alat ciptaannya pada tahun 852 di sebuah menara masjid di Cardoba.
Namun, percubaannya yang pertama ini gagal tetapi beliau terselamat kerana beliau menggunakan baju keselamatan atau kini dikenali sebagai payung terjun. Usaha gigih beliau tidak berhenti di situ sahaja, maka pada ketika beliau berusia 65 tahun iaitu sekitar tahun 875 beliau telah melakukan percubaan yang terakhir bagi membuktikan kebenaran teori penerbangan beliau. Percubaan beliau ini dilakukan di Jabal Al-Arus iaitu di satu tempat yang terletak di Cardoba yang telah disaksikan oleh segelintir pemerhati yang beranggapan Ibn Firnas kurang waras. Walau bagaimanapun, beliau telah gagal membuat pendaratan yang sempurna dan beliau mengalami kecederaan yang parah. Ibn Firnas meninggal 12 tahun kemudiannya.
Seorang sejarawan Philip K.Hitti di dalam bukunya “History of the Arabs” telah mencatatkan “Ibnu Firnas was the first man in history to make a scientific attempt at flying”. Sebagai penghormatan ke atas usaha-usaha Ibn Firnas tersebut, National Aeronautics and Space Administration (NASA) di Amerika Syarikat turut mengiktiraf tokoh Islam ini dengan menamakan sebuah kawah di bulan dengan nama Ibnu Firnas Crater. Selain itu, sebuah lapangan terbang di utara Baghdad telah dinamakan dengan Ibnu Firnas Airport.
Usaha-usaha penerokaan teknologi angkasa ini seterusnya dikembangkan lagi dengan kejayaan Hezarfen Ahmad Celebi di Turki. Beliau telah berjaya menyeberangi selat Bosporus di Istanbul menggunakan pesawat buatannya sendiri sejauh kira-kira 3 kilometer dan berjaya mendarat dengan selamatnya.
Kini penerokaan teknologi aeroangkasa diteruskan lagi Penerokaan bidang aeroangkasa ini sebenarnya melibatkan kewangan secara besar-besaran dan memakan masa yang panjang. Negara-negara maju mengambil masa sekurang-kurangnya 50 tahun untuk mencapai pada satu tahap sekarang ini.
Malaysia juga tidak mahu ketinggalan dalam penerokaan bidang ini tetapi Malaysia tidak memilih jalan yang panjang dan kos yang tinggi sebaliknya mengambil pendekatan mudah iaitu menekankan aspek penggunaan teknologi.
Sebagai langkah awal kepada penerokaan bidang ini dalam konteks acuan Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad bekas Perdana Menteri telah meletakkan batu asas kepada bidang aeroangkasa ini dengan menganjurkan pameran LIMA (Langkawi International Maritime & Aerospace Exhibition)
Pameran LIMA yang pertama telah diadakan pada tahun 1994. Pada mulanya pameran ini bertujuan untuk menjadi platform bagi pesawat-pesawat ringan dan eksperimen berdasarkan model EAA Air Venture Oshkosh di Amerika Syarikat. Tetapi kini ianya telah berubah jauh menjadi platform terbaik bagi pengeluar dan industri yang berkaitan dengan bidang aeroangkasa dan maritim untuk mempromosikan teknologi terkini.
Apa yang menariknya untuk diketengahkan disini ialah pameran LIMA ke 13 baru-baru ini iaitu daripada 17 hingga 21 Mac 2015 telah menarik perhatian antarabangsa bukan hanya kerana penyertaan dari Rusia atau China tetapi pameran tersebut dapat menggambarkan hala tuju dasar luar Malaysia. Selain daripada kedudukan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, LIMA juga menganjurkan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), Forum Perniagaan ASEAN, Sidang Kemuncak Penerbangan ASEAN, Himpunan Belia ASEAN dan lain-lain lagi.
Tahun ini adalah sebagai penganjuran terbesar berikutan penyertaan lebih daripada 100 buah pesawat. Dunia kini telah melihat bagaimana Malaysia mampu menganjurkan pameran yang terbesar ini. Mungkin juga Malaysia adalah negara pertama di dunia yang menganjurkan pameran seumpama ini.
Malaysia berkemampuan mencapai sasarannya untuk muncul sebagai sebuah negara industri aeroangkasa menerusi Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030. Menurut Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau menegaskan, hasrat menjadi negara industri aeroangkasa itu memerlukan usaha berterusan serta tempoh yang agak lama.
“Boleh capai (hasrat itu), tetapi kena mengambil masa dan perlu menjadi negara maju pada 2020. Kalau dibandingkan dengan Singapura, mereka mempunyai angkatan tentera udara yang terbesar di ASEAN.”Singapura mempunyai pesawat yang canggih tetapi kita ambil jalan lain iaitu kita menguasai teknologi pembuatan,” katanya.
Menurut beliau lagi, “Ini LIMA terbesar sejak kita anjurkan. Apa yang menarik setengah daripada pempamer pada LIMA 2015 adalah syarikat tempatan ini adalah satu kemajuan berbanding ketika LIMA dimulakan dengan tiada satu pun penyertaan syarikat tempatan. Pencapaian itu dapat dicapai kerana rakyat tempatan telah menguasai bidang elektronik, kawalan kapal terbang dan pelbagai bidang teknologi tinggi, kata negarawan itu.
Penganjuran LIMA telah telah melonjakkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Sebuah negara yang kecil mampu menarik minat pemain-pemain industri aeroangkasa dan maritim untuk turut serta dalam pameran ini. Di sini banyak perpindahan teknologi dalam bentuk usahasama yang berlaku.
Tetapi apa yang lebih penting sekali ialah pameran ini sebenarnya dapat memberi ruang kepada rakyat Malaysia khususnya generasi akan datang untuk mengenali apakah itu teknologi aeroangkasa. Di sini juga akan bermulanya bibit-bibit minat belia dan pelajar mengenai teknologi angkasa dan disini juga satu hari nanti akan lahir saintis-saintis yang akan menjadi pakar dalam bidang ini.
Kehadiran belia dan pelajar sekolah seharusnya diberi keutamaan dan disusun aturcara yang menarik untuk mereka kerana merekalah yang akan mengambil alih pemerintahan negara dan seterusnya memastikan Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang disegani di masa akan datang khususnya dalam bidang teknologi angkasa
Penguasaan teknologi akan dapat mengangkat maruah sesebuah negara seterusnya dapat menggetarkan musuh-musuh kita “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang amu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.” (Al-Anfaal:60)