Sebelum soal undang-undang Syariah ini menjadi hangat kembali dengan perbahasan di Dewan Undangan Negeri Kelantan, saya telah beberapa kali mengulas mengenainya dalam ruangan ini. Antara isu yang pernah dibangkitkan ialah kedudukan dan pemakaian undang-undang Syariah dalam konteks perundangan negara. Juga persoalan pelaksanaan yang merangkum kemudahan infrastuktur untuk pelaksanaannya serta sumber manusia berkaitan pelaksanaan.
Apabila Rang Undang-Undang Syariah berkaitan jenayah dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan, kesemua perkara yang pernah saya utarakan dalam penulisan tersebut telah menjadi isu-isu yang menarik perhatian.
Walauapa pun yang diperkata tentang undang-undang jenayah Syariah ini, ia adalah satu set undang-undang yang telah sekian lama mendapat tempat dalam sistem perundangan negara. Falsafah perundangan negara juga tidak menolak falsafah jenayah Syariah; terutamanya tentang peranan agama dalam undang-undang. Dari segi falsafah atau jurisprudence undang-undang jenayah, perbahasan tentang kedudukan agama tidak akan berhenti. Selagi manusia mempunyai kepercayaan kepada agama, selagi itulah perbahasan tentangnya akan berterusan.
Dalam konteks agama Islam, undang-undang Syariah, dalam bentuk apa sekalipun, sama ada dalam bentuk undang-undang jenayah atau undang-undang persendirian dan kekeluargaan, sangat berkait rapat dengan konsep dan kepercayaan agama. Setiap orang yang percaya dan beriman kepada agama Islam tidak akan sesekali menolak undang-undang Syariah.
Namun, daripada pemerhatian saya, mereka berbeza pendapat hanya dalam soal pelaksanaannya.
Oleh itu amat tidak adil untuk orang Islam menuduh sesama sendiri tentang ‘iman’ mana-mana pihak apabila membahaskan tentang undang-undang Syariah. Tutuplah tirai pertikaian dan perbahasan yang beremosikan politik dalam hal berkaitan undang-undang Syariah, baik berkenaan jenayah atau juga kekeluargaan.
Berkenaan falsafah atau tujuan undang-undang, mungkin ada baiknya untuk khalayak, masyarakat Islam dan bukan Islam cuba mempelajari dan juga memahami kedua-dua falsafah sistem perundangan Malaysia. Ini kerana kedua-dua sistem perundangan itu adalah sistem yang diterima dalam kerangka perundangan negara. Walaupun sebenarnya undang-undang Islam hanya terpakai ke atas orang Islam, secara tidak langsung, ia juga menuntut kefahaman orang bukan Islam atas dasar tanggungjawab moral mereka menghormati undang-undang yang sah serta disokong sistem undang-undang negara.
Bagi orang-orang Islam, undang-undang syariah hendaklah dipelajari dan difahami dengan baik. Mereka hendaklah menuntut ilmu berkaitannya. Ini kerana kedangkalan ilmu dalam hal undang-undang Syariah ini akan menyebabkan kekeliruan. Kekeliruan semakin dekat kepada kecelaruan fahaman akan seterusnya menyebabkan silap faham kepada undang-undang tersebut. Silap faham ini akan selanjutnya memberikan gambaran atau imej yang tidak baik kepada undang-undang tersebut dan seterusnya akan mendatangkan fitnah kepada agama Islam secara keseluruhannya.
Dari sudut pelaksanaannya pula, undang-undang Syariah hendaklah menepati bukan sahaja hukum syarak dan persoalan fiqh yang boleh disesuaikan dengan hakikat dan realiti perundangan negara dan situasi masyarakat. Ini kerana walaupun sesetengah kesalahan dan hukuman telah jelas tertera dalam sumber hukum Islam, dari segi pelaksanaannya ia hendaklah juga disesuaikan dengan sifat Syariah yang sejagat, sepanjang zaman dan realistik (universal, contemporary dan realistic)atau dalam istilahnya waqi’iyyah.
Pelaksanaanya juga hendaklah menepati sistem perundangan negara. Sekiranya tidak, undang-undang syariah ini akan dilihat sebagai menceroboh atau tidak menghormati sistem perundangan negara. Sebagai agama dan cara hidup yang teratur sifatnya maka pelaksanaan hukum hakamnya juga hendaklah dilihat sebagai teratur dan menghormati sistem negara.
Sebagai contoh, dari sudut perundangan negara, terutamanya Perlembagaan Persekutuan, pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri-negeri amat jelas sekali. Undang-undang Syariah hanya terpakai ke atas orang-orang Islam dan undang-undang tersebut hendaklah tertakluk kepada Perlembagaan dan Akta yang diluluskan oleh Parlimen bagi tujuan pelaksanaannya. Ini adalah soal pembahagian kuasa dalam sistem perundangan negara yang perlu ditaati untuk menunjukkan bahawa undang-undang Syariah tidak sesekali menentang sistem perundangan negara.
Kecantikan Islam sebagai al-deen atau agama dan Syariah sebagai cara untuk mencapai kepada tujuan al-deen itu hendaklah juga memenuhi sifat agama Islam itu sendiri. Ini amat penting untuk dirasai dan hayati oleh semua pihak, terutamanya umat Islam. Sekiranya tidak, sudah pasti, fitnah ke atas agama Islam akan berlaku.