Musibah yang diturunkan Allah s.w.t. kepada manusia, walau apa jua bentuk pun termasuk bencana alam seperti gempa bumi, letupan gunung berapi, ombak besar, banjir, taufan, ribut dan sebagainya ada hikmahnya. Tujuan utama untuk membuktikan kekuasaan-Nya, menyedarkan manusia akan kealpaan, kekerdilan atau kesilapan diri. Pun begitu, hanya manusia yang benar-benar beriman serta berakal sahaja yang dapat mengambil pengajaran daripada apa yang dilihat dan disaksikannya.
Jika diteliti, bukan sedikit malapetaka yang menimpa dunia yang telah tua, lewat masa yang diungkap sebagai akhir zaman ini. Belum pun pudar ingatan terhadap korban jiwa dan harta dalam bencana tsunami 26 Disember tahun lalu serta bencana-bencana alam lain yang menyusul sesudahnya, kini perhatian tertumpu pula pada malapetaka yang melanda sebuah negara paling kaya dan memiliki kuasa ekonomi paling besar di dunia.
Apa yang nyata sama dan senada dalam peristiwa-peristiwa besar dunia ini ialah simpati, keprihatinan serta bantuan masyarakat dunia terhadap mangsa-mangsa yang terlibat. Yang berbezanya pula hanyalah reaksi serta tindak balas terhadap pemimpin negara-negara terbabit.
Ketika ombak besar tsunami melanda negara-negara Asia dan Afrika akhir tahun lalu, pemimpin-pemimpin negara-negara berkenaan, termasuk Malaysia menerima pelbagai bentuk bantuan dan sokongan yang tidak terduga.
Malang bagi Presiden George W. Bush apabila taufan Katrina melanda New Orleans pada 29 Ogos lalu, ia menjadi medan bagi masyarakat dunia menilai setiap inci tindakan kepemimpinannya; menempelak, mencemuh, mengejek dan juga menyindirnya.
Sememangnya Amerika Syarikat (AS) harus mempelajari banyak perkara daripada kedua-dua bencana yang melanda. Terpulanglah juga kepadanya untuk menelan pahit cemuhan, luahan kemarahan dan sindiran, daripada masyarakat dunia, bahkan rakyatnya sendiri. Bush patut membuka mata melihat bagaimana rakyat Islam AS sendiri lebih gagah dan agresif berbanding dengan dirinya.
Islamic Relief bersama-sama dengan beberapa buah pertubuhan Islam Amerika yang bermesyuarat dalam Persidangan Masyarakat Islam Amerika Utara (ISNA) di Chicago pada 4 September lalu mengumumkan penubuhan Muslim Hurricane Task Force bagi menyelaraskan bantuan untuk mangsa taufan Katrina.
Gabungan pertubuhan Islam ini juga berjanji akan berusaha mengumpulkan bantuan sebanyak AS$10 juta untuk mangsa taufan tersebut. Sepatah kata Setiausaha Agung ISNA, Sayyid Syeed penuh makna, “Ini merupakan tanggungjawab sebagai rakyat dan juga yang ditetapkan Islam bagi membantu jiran yang memerlukan bantuan. Masyarakat Islam Amerika berjanji akan memainkan peranan dalam membantu rakyat Amerika, tanpa mengira agama serta kepercayaan, yang menghadapi kehilangan besar; nyawa dan juga harta.”
Usaha-usaha seumpama inilah yang menggetar naluri kemanusiaan kita. Tindakan terpuji inilah juga yang membolehkan kita mempelajari sesuatu. Bahawa apabila musibah melanda sesuatu zaman atau kelompok manusia, mereka akan menyatukan pengetahuan, kudrat dan kepakaran bagi menghadapinya secara bersama.
Kemuncaknya pula, mereka akan menjadikan agama sebagai landasan bagi memusatkan segala usaha dan pengharapan untuk dibebaskan daripada belenggu ketakutan, kesulitan serta kesedihan yang tidak terperi. Inilah juga yang dapat dilihat ketika Wabak Maut Hitam (Black Death) yang meragut jutaan nyawa penduduk dunia pada kurun ke-14, sebagaimana yang diceritakan dengan teliti oleh Ibn Battutah sepanjang tempoh beliau berada di negara-negara seperti Syria, Mesir, Palestin dan Baghdad yang dilanda wabak pembunuh ini.
Khusus bagi kita di Malaysia, kisah-kisah musibah yang melanda manusia walau di bumi mana dan pada zaman apa pun, haruslah bukan sekadar menginsafkan kita. Bahkan sewajarnya ia mampu membuka minda untuk melihat diri sendiri dan sekeliling kita.
Apatah lagi sejak akhir-akhir ini, sedemikian banyak nyawa rakyat negara ini terkorban walau bukan kerana dirempuh dan diasak taufan tetapi kerana menjadi korban akibat kecuaian serta kemalangan di jalanraya. Maka dalam hal seumpama ini, perlukah sesiapa atau sesuatu dipersalahkan?