GAGASAN Islam Hadhari umpama benih yang perlu dijaga, dipelihara dan dibaja. Penanamnya hendaklah seorang yang mempunyai sikap peduli, komitmen dan pengalaman tinggi. Selain itu, ia memerlukan persekitaran sihat dan segar untuk tumbuh merimbun dan berbuah.
Justeru, kepemimpinan dan masyarakat yang bersih adalah wadah sebenar kepada kejayaan Islam Hadhari.
Kepemimpinan ialah satu cara mengorganisasikan kegiatan manusia melalui pemusatan kuasa untuk mencapai matlamat kehidupan bermasyarakat. Ibn Taimiyyah mengatakan, ia adalah tuntutan utama agama.
Kenyataan itu tidak bercanggah dengan pendapat al-Mawardi sebelumnya yang menyebut: “Sistem khilafah itu bertanggungjawab memelihara agama dan mengurus urusan kebajikan rakyat. Orang yang terbabit dalam pengurusan di peringkat tinggi dipanggil pemimpin. Pemimpin negara Islam pada peringkat awalnya digelar sebagai al-khalifah, amir al-mu’minin dan al-imam.”
Dalam Islam, kepemimpinan dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu kepemimpinan diri, keluarga dan masyarakat.
Kepemimpinan diri adalah peringkat pertama bagi seseorang sebelum memimpin orang lain. Setiap Muslim dikehendaki memimpin dirinya melakukan perkara makruf dan menegahnya daripada melakukan perkara mungkar seperti yang diperintah Allah dan rasul-Nya. Ia dikira sebagai tanggungjawab tertinggi yang dituntut Pencipta ke atas hamba-Nya.
Kepemimpinan keluarga dibebankan ke atas suami yang menjadi ketua keluarganya.
Kepemimpinan masyarakat pula merujuk kepada kedudukan manusia yang juga makhluk sosial yang berkembang, berdaya maju, kreatif dan inovatif. Tetapi, manusia mempunyai sifat negatif yang kadang-kadang menjadikan mereka hilang pertimbangan.
Justeru, mereka amat memerlukan pemimpin agar dapat menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat.
Untuk mencapai matlamat di atas, pemimpin mestilah dipilih dari kalangan orang yang paling berwibawa dan berkelayakan. Penyerahan kuasa kepada orang yang tidak berkelayakan dikira sebagai mengkhianati Allah dan rasul-Nya.
Seorang pemimpin dikehendaki menjaga dirinya daripada melakukan perbuatan mungkar, menunaikan kewajipan syarak, melaksanakan semua amanah dan tugas dengan baik dan adil. Dirinya adalah role model kepada rakyat. Begitu juga mereka yang dilantik sebagai pembantunya seperti menteri, ketua jabatan dan pegawai kanan hendaklah menjadi teladan kepada rakyat.
Dalam Islam, kepemimpinan negara bertanggungjawab memelihara agama dan mengurus kebajikan rakyat berdasarkan al-Quran dan sunnah. Ia kemudian dikembangkan menerusi ijtihad bagi memenuhi tuntutan semasa.
Abu Ya`la menyimpulkan tugas pemimpin dalam beberapa perkara. Ia termasuk memelihara agama dengan mengembangkan ajarannya, melaksanakan peraturan dalam semua aspek kehidupan rakyat, mengajak mereka mentaati Allah dan rasul-Nya.
Perkara lain ialah mengatur kehidupan mereka dengan penuh adil, menghapuskan semua bentuk kemungkaran serta memelihara keamanan dan ketenteraman negara. ‘
Pemimpin juga dalam melaksanakan tanggungjawabnya hendaklah bermusyawarah dengan pembantunya dalam apa juga isu yang memerlukan perkongsian pandangan.
Pemimpin hendaklah memastikan dirinya dan pegawainya mempunyai keperibadian baik, sabar, penyantun, mampu menenangkan keadaan, takwa dan memiliki semua sifat keunggulan lain.
Memiliki sikap sebegini bukan saja menyebabkan mereka dihormati, malah menjadi ‘role model’ kepada semua. Justeru, pemerintah adalah teladan terbaik untuk rakyatnya.
Dalam konteks ini, kita dapati pepatah Arab ada menyebut: Rakyat akan terikut dengan agama pemerintah mereka.
Dalam kaitan menjana Islam Hadhari dan menjamin kejayaan kepada gagasan ini, usaha hendaklah dibuat, dalam struktur pelaksanaannya pada peringkat masyarakat dan negara dengan menghapuskan semua kemungkaran yang ada.
Kerana apa saja bentuk kemungkaran sama ada pada peringkat pemerintah atau rakyat, jika dibiarkan, akan menjadi racun yang boleh menghancurkan gagasan Islam Hadhari.
INFO
Ciri pemimpin mengikut Imam al-Ghazali
* Mempunyai daya intelek tajam.
* Berpengetahuan dan mampu berfungsi.
* Memiliki keberanian.
* Bersifat sayangkan rakyat,
* Jauh pandangan.
* Tegas.
* Mempunyai keazaman tinggi dan benar.
* Berpengetahuan mengenai keadaan negara dan sejarah.
* Dapat memastikan pegawai, ketua dan wakilnya (yang dilantik) menjalankan tugas mereka dengan baik dan sempurna
Sifat pemimpin mengikut Ibn Khaldun
* Suka memaafkan kesalahan.
* Suka melindungi pihak yang lemah.
* Murah hati pada tetamu.
* Memelihara golongan miskin.
* Sabar dalam kesusahan.
* Jujur dalam kata-kata dan gerak laku.
* Hormati agama, ulama, guru dan orang tua.
* Tidak bersifat sombong.
* Suka mendengar teguran.
* Mempunyai semangat jemaah (berkumpulan).
* Menghargai dan hormati kawan.
* Menempatkan orang layak pada tempat perlu dan sesuai serta menjauhi kehidupan mewah.