ABAD dua puluh menyaksikan kehancuran dan kebinasaan yang amat dahsyat dalam sejarah umat manusia.
Dalam bidang sosial dan politik dunia menyaksikan kehilangan nyawa kira-kira 200 juta manusia, lelaki, perempuan, tua, muda dan anak-anak kecil akibat daripada pertelagahan ketenteraan, peperangan, dan konflik politik yang membawa kepada pembunuhan.
Sekurang-kurangnya tiga jenis peperangan besar yang menghancurkan nyawa dan nilai-nilai kemanusiaan telah berlaku kepada dunia pada abad dua puluh.
Perang Dunia Pertama dan Kedua, dan Perang Dingin yang berlaku di antara dua kuasa besar yang mengheret Dunia Ketiga turut terlibat dan terkena padahnya.
Banyak peperangan lain yang berlaku di samping tiga jenis peperangan besar itu akibat daripada penindasan politik, ekonomi dan intelektual oleh kuasa-kuasa penjajah Barat dan Timur, pergaduhan etnik, konflik agama, perang saudara, yang semuanya mengakibatkan kehilangan nyawa, keruntuhan moral, dan pencemaran alam sekitar yang amat serius.
Dunia yang semakin meningkat dalam bidang ilmu pengetahuan dan maju dari segi sains dan teknologi, kelihatan semakin menurun dari segi moral dan penghayatan nilai-nilai kemanusiaan dan keagamaan. Manusia menjadi terlalu rakus dan bernafsu, fanatik dan perkauman.
Harapan untuk abad baru dan alaf baru bagi dunia keseluruhannya terletak kepada sedikit cahaya yang terpancar daripada tiga perkara berikut;
- Demokrasi
- Budaya
- Alam sekitar
Sekiranya manusia benar-benar dapat mematangkan pandangan, pengurusan dan pengisian ketiga-tiga dimensi ini dalam kehidupan mereka, maka harapan untuk manusia hidup dalam aman, harmoni dan produktif adalah agak cerah dan cemerlang.
Kemenangan demokrasi ke atas kuasa diktator di negara-negara bekas Soviet Union merupakan kemenangan orang ramai dan rakyat jelata untuk menentukan masa depan mereka sendiri dalam kehidupan politik, sosial, ekonomi dan hak mereka sebagai manusia yang bebas. Bagaimanapun konsep dan pelaksanaan demokrasi dalam dunia baru haruslah bersesuaian dengan nilai dan ideologi serta kepercayaan setempat supaya dengan ini tidak timbul sebarang persoalan tentang kewibawaan dan kedaulatan sesebuah negara, terutamanya negara yang sedang membangun.
Pembentukan budaya dan tradisi hidup manusia sendiri adalah amat penting untuk mencipta sebuah kehidupan yang mempunyai integriti, bermaruah dan bernilai tinggi. Penjajahan budaya dan nilai dari dunia luar haruslah ditangani dengan sebaik-baiknya oleh institusi-institusi bangsa dalam membentuk budaya murni yang berasaskan kepada keperibadian bangsa sendiri.
Pemeliharaan alam sekitar juga merupakan suatu tugas manusia dalam abad baru memandangkan kepada kerosakan dan pencemaran alam yang berlaku dengan hebat selama ini, yang juga mengorbankan banyak nyawa akibat keruntuhan bangunan dan tanah, kehakisan bukit dan gunung, pencemaran air dan udara, kemusnahan tanaman dan hasil lautan yang menjadi makanan manusia.
Bagaimanapun, syukur kepada Allah s.w.t nampaknya kita di Malaysia tidak terlalu banyak terlibat dengan peristiwa yang mengorbankan nyawa manusia dan maruah kita sebagai bangsa yang berdaulat dan merdeka.
Kalau banyak negara mengalami penjajahan semula dari segi kewangan dan ketenteraan, termasuk negara jiran kita, yang dengan itu mereka kehilangan wibawa, terutamanya kehilangan pegangan terhadap syarikat, bank dan lain-lain kepada orang asing, juga kehilangan maruah diri dengan penguasaan orang terhadap kuasa politik dan tentera negara sendiri, namun kita masih tetap dapat berdiri megah di atas puncak dunia dengan kekuatan dan kebijaksanaan kita sendiri.
Firman Allah s.w.t yang menyebutkan bahawa, ”Telah berlaku kerosakan di daratan dan di lautan akibat usaha tangan manusia sendiri” amatlah relevan sekali dengan situasi menggawatkan yang berlaku kepada dunia sekarang ini.
Kadang-kadang manusia tidak dapat menggunakan kematangannya berfikir, atau tidak jauh pandangannya, maka berlakulah keburukan kepada dirinya sendiri, dan ketika dirinya ditimpa malang maka ia akan mencuba untuk mencari kesalahan orang lain dalam usaha menggambarkan kepada dunia bahawa dirinya adalah benar dan tidak bersalah, walaupun tidak banyak orang yang akan mempercayainya.
Demikianlah, apa yang berlaku kepada dunia menjelang abad baru ini, manusia masih berperang dan bersengketa sehingga mengorbankan nyawa, harta benda dan maruah sendiri. Banyak negara di dunia ini yang terpaksa membayar dengan nyawa dan maruah kerana kesilapan sendiri, iaitu seperti menerima hutang dari dana kewangan antarabangsa, dan akibat daripada penerimaan dana yang dibuat dengan amat mendesak ini, maka timbullah pula tekanan ekonomi dan politik, sehingga akhirnya kuasa asing juga yang akan menekan ekonomi dan politik negara yang ”berhutang” wang dan budi kepada penjajah-penjajah baru dunia moden ini.
Kita haruslah bersyukur seterusnya bahawa syarikat dan bank kita, harta benda kita, politik dan pertahanan kita, seterusnya maruah kita masih dapat kita pertahankan dengan kuat.
Semua kekayaan harta dan moral kita itu masih berada di tangan orang kita sendiri, tanpa diganggu gugat oleh pihak luar, yang selama ini mencuba dengan bersungguh-sungguh untuk mereka menguasainya.
Agama kita masih dapat kita daulatkan dan dapat kita amalkan dengan bebas. Berbagai-bagai tekanan dan cabaran yang telah dilakukan kepada keutuhan agama kita melalui gerakan-gerakan setempat dan antara bangsa, sama ada secara terang atau sulit, bertujuan untuk melemahkan kita, iaitu mengelirukan pandangan kita tentang agama, atau mewujudkan perpecahan di kalangan masyarakat kita.
Musuh kita sering mengintai-intai peluang untuk mencari orang-orang yang mudah berlatah di kalangan kita untuk mereka eksploitasi dan mereka pergunakan. Jadi kita haruslah berhati-hati, jangan kerana mengharapkan simpati dan pertolongan jangka pendek, akhirnya kita melatah dengan menggadaikan agama, umat dan maruah sendiri kepada musuh-musuh kita yang dikenali dengan nama musuh di dalam selimut itu.
Agama kita memberi kelonggaran untuk kita bertoleransi kepada orang lain. Tetapi toleransi itu punya sempadan dan had yang tertentu. Al-Quran menjelaskan bahawa Allah tidak melarang kita berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memusuhi kita kerana agama, dan selama mana mereka tidak berusaha untuk merampas rumah tangga dan negara kita.
Kalau mereka melakukan sebaliknya iaitu memusuhi agama kita dan ingin merampas rumah tangga dan negara kita, sama ada secara terang atau rahsia, maka Allah s.w.t melarang kita untuk berbuat baik atau bersekongkol dengan mereka.
Hal ini jelas merupakan amaran Allah s.w.t kepada kita dalam menghadapi perkembangan-perkembangan terbaru di dalam masyarakat, terutamanya bagi kita di negara ini yang mempunyai kedudukan agama dan bilangan umat yang amat berbeza daripada negara lain di dunia ini agar kita lebih waspada dan berpandangan jauh.
Rasulullah s.a.w sendiri, telah menunjukkan ketegasan yang amat sangat ketika berhadapan dengan sikap permusuhan dan pakatan khianat kaum Yahudi di Madinah yang mengancam keselamatan dan nyawa Baginda sendiri. Baginda bertindak keras kepada mereka termasuk melemahkan kehidupan mereka dengan mengenakan tekanan yang penuh strategik dalam bekalan makanan dan sebagainya.
Kita haruslah insaf dengan ketibaan abad dan alaf baru, supaya semua yang berlaku kepada dunia menjadi pengajaran yang amat baik kepada kita. Kita tentu tidak mahu membakar kelambu semata-mata kerana marahkan nyamuk seekor, dan kita pun tidak mahu memekik melolong sehingga menjadi seperti golongan orang yang menang sorak, kampung tergadai.