KITA kini berada dalam bulan kemerdekaan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita menyambut kemerdekaan selama sebulan. Pelbagai program telah dirancang bertujuan untuk melahirkan rasa syukur terhadap kemerdekaan yang telah dicapai sejak 47 tahun lalu di samping menimbulkan semangat kasih dan cintakan tanah air.
Lima program utama menjadi satu kemestian bagi sambutan ini iaitu pelancaran bulan kemerdekaan; khutbah khas; program ibadat mengikut agama; di ambang merdeka, perbarisan dan perarakan; dan, majlis penutup bulan kemerdekaan.
Usaha kerajaan untuk memanjangkan sambutan kemerdekaan ini tentulah dialu-alukan. Kemerdekaan yang dahulu disambut sehari saja, sudah pasti tidak memadai untuk menanamkan rasa cintakan negara di kalangan rakyat.
Kini, apabila sambutannya berlanjutan selama sebulan, 15 hari sebelum dan selepas tarikh keramat 31 Ogos – sudah pasti lebih banyak yang dapat dicapai berbanding dengan sambutan sehari.
Satu acara yang telah sebati dengan jiwa kita dalam bulan kemerdekaan ini ialah mengibarkan Jalur Gemilang. Begitu juga penganjuran program-program yang bertujuan untuk meningkatkan semangat patriotik di kalangan masyarakat seperti mencipta atau menyanyikan lagu-lagu patriotik dan mendeklamasi sajak.
Walaupun semua program ini dapat menimbulkan sedikit sebanyak semangat cintakan tanah air, namun, kita perlu memikirkan cara-cara lain untuk memastikan rakyat negara ini memahami erti kemerdekaan dan cintakan tanah airnya sendiri.
Ini kerana, walaupun program-program tersebut menyedarkan kita tentang kemerdekaan dan betapa sukar ia dicapai di samping dapat menimbulkan rasa dan semangat cintakan negara melalui lagu-lagu yang berkumandang, namun, kesannya hanya sepanjang bulan ini semata-mata.
Menjelang akhir bulan Ogos, kita kembali seperti biasa meninggalkan Bulan Kemerdekaan untuk disambut kembali pada tahun hadapan.
Seperti mana yang kita tahu, penjajahan fizikal adalah satu perkara manakala penjajahan minda adalah satu perkara lain yang menuntut lebih banyak perhatian. Merdeka daripada penjajahan fizikal memerlukan pengorbanan darah.
Alhamdulillah, kita telah melepasi tahap itu. Tetapi, bagaimana dengan penjajahan minda? Apakah ia dapat dihapuskan dengan acara-acara yang telah dirancang sepanjang bulan kemerdekaan ini?
Menyorot kembali kisah Rasulullah s.a.w. dengan para sahabat selepas pulang dari medan pertempuran. Mereka bersorak gembira tetapi Rasulullah s.a.w. mengingatkan mereka bahawa sesungguhnya mereka baru kembali dari satu jihad kecil dan kini berhadapan dengan jihad yang lebih besar iaitu jihad melawan hawa nafsu. Kisah ini menunjukkan betapa menentang sesuatu yang berbentuk fizikal adalah mudah, namun melawan sesuatu yang tidak nampak seperti nafsu adalah lebih sukar lagi.
Dalam konteks kemerdekaan ini, kalau boleh disamakan dengan kisah di atas, ia menunjukkan bahawa memerdekakan diri dari penjajahan fizikal adalah secara relatifnya lebih mudah dari memerdekakan minda yang terjajah. Oleh itu, perkara ini memerlukan perhatian kita semua.
Memang benar bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang cemerlang sekali dalam mengisi kemerdekaannya. Tetapi bagaimana dengan pengisian minda rakyatnya, khususnya generasi muda?
Ramai yang merasakan bahawa generasi muda negara ini tidak dapat menghayati erti kemerdekaan kerana mereka dilahirkan sesudah kemerdekaan itu dicapai. Perkara ini kerap diutarakan oleh ramai pihak. Malangnya, tidak ramai yang memikirkan tentang apa yang mesti dan perlu kita lakukan untuk memastikan mereka mengerti erti kemerdekaan yang sebenarnya.
Cuba kita lihat acara-acara yang dirancangkan sepanjang bulan kemerdekaan ini. Apakah antara acara-acara itu yang khusus untuk remaja? Dapatkah generasi muda memahami erti kemerdekaan melalui pengibaran Jalur Gemilang? Atau melalui konsert di ambang merdeka? Atau dengan menyertai perbarisan dan perarakan? Pada masa yang sama, apakah acara-acara ini dapat menanamkan rasa cintakan negara di kalangan mereka?
Maka, perlu ada usaha yang lebih jitu untuk memastikan perkara ini berlaku. Penganjuran seminar khusus untuk remaja tentang hal ini di bulan kemerdekaan adalah penting. Jika pelbagai seminar dianjurkan sempena Hari Wanita, Hari Keluarga, Hari Alam Sekitar dan sebagainya, mengapa kita tidak berlumba-lumba mengadakan seminar tentang penghayatan kemerdekaan sempena Hari Kebangsaan ini? Usaha negeri Melaka menganjurkan Simposium Penghayatan Kemerdekaan pada tahun lalu adalah sesuatu yang perlu dicontohi oleh pihak lain.
Sebenarnya, erti kemerdekaan, rasa cintakan negara dan pembentukan jati diri bangsa perlu ditanamkan dalam diri kita sepanjang masa. Untuk generasi muda, ia akan tercapai melalui pendidikan. Memang kita ada mata pelajaran Sejarah, tetapi apakah mata pelajaran ini berjaya mendidik generasi muda tentang erti kemerdekaan? Apakah mata pelajaran ini berjaya mewujudkan rasa cintakan negara di kalangan mereka? Ataukah mata pelajaran ini hanya mengajar mereka untuk mengingati tarikh dan peristiwa?
Oleh itu, dengan semangat menyambut kedatangan ulang tahun kemerdekaan yang ke-47 ini, kita perlu memikirkan dengan lebih serius tentang bagaimana untuk melahirkan rakyat yang merdeka dalam erti kata yang sebenarnya. Ini lebih relevan lagi dalam konteks di mana Islam menuntut agar umatnya menyiapkan diri dari segala segi untuk menentang musuh-musuhnya.
Kelengkapan senjata adalah satu aspek dalam persiapan ini. Namun, dalam mempersiapkan sumber tenaga manusianya, individu-individu yang merdeka jiwa dan mindanya serta memiliki jati diri bangsa adalah tidak kurang pentingnya.