PERDANA Menteri ketika merasmikan sambutan Hari Pengguna 2004, bulan lalu, menekankan pentingnya kita melahirkan sebuah masyarakat celik pengguna.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seterusnya menyarankan supaya kita sebagai pengguna perlu mengambil sikap lebih `cerewet’ dan membuat pilihan bijak dalam menentukan barangan serta perkhidmatan yang dibeli atau dilanggani. Ia bukan sekadar menepati keperluan dan kehendak kita, bahkan menjadi pemangkin kepada pengeluaran serta penghasilan produk bermutu tinggi secara lebih beretika oleh pengeluar dan pengusaha tempatan.
Sekiranya, masyarakat mementingkan keluaran sebegini, maka tidak akan wujud lagi ruang yang dapat diambil kesempatan oleh pengeluar dan pengusaha untuk menawarkan produk bermutu rendah. Mereka juga tidak akan berpeluang mengeluarkan barangan secara tidak jujur, tidak amanah serta menyalahi peraturan dan undang-undang.
Persoalannya di sini, apakah peranan dan tanggungjawab kita sebagai pengguna Muslim? Apakah sekadar sebagai pembeli dan pengguna yang hanya menerima segala macam bentuk barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan dalam pasaran? Atau kitalah yang seharusnya menentukan bentuk penawaran barangan dan perkhidmatan itu, melalui kuasa membeli kita?
Selain sebagai pengguna dan pembeli, kita perlu sedar bahawa ada peranan yang amat besar sebagai masyarakat Islam. Ia disebabkan adanya permintaan luas dan potensi pasaran besar, maka kita seharusnya beralih daripada mentaliti sebagai `pembeli dan pengguna’ kepada `pengusaha dan pengeluar’.
Ini perlu dilakukan tanpa meletakkan pergantungan kepada orang lain untuk menghasilkan barangan yang menjadi keperluan kita sebagai Muslim.
Untuk itu, kita sewajarnya memahami bahawa peranan dan tanggungjawab sebagai pengguna tidak hanya terletak kepada seseorang. Malah, jika dilakukan secara kolektif, mampu untuk menghasilkan sesuatu yang lebih besar iaitu sebagai penjana kepada pertumbuhan ekonomi ummah.
Umat Islam perlu mengetahui, memahami dan seterusnya menyedari peranan kita sebagai pengguna. Perkara ini penting supaya segala peluang dan potensi yang ada tidak dipersia-sia dan dibiarkan begitu saja. Kita perlu mengambil langkah atau usaha proaktif untuk bersama-sama terbabit dalam menentukan permintaan dan penawaran. Akhirnya, menguasai pasaran.
Jadi, bagi memahami isu itu, elok ditinjau beberapa perkara berkaitan kita sebagai pengguna Muslim.
Pertama, kita perlu membeli dan menggunakan barangan tulen. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengadakan kempen `Belilah Yang Ori’ untuk memupuk kesedaran dan rasa tanggungjawab supaya sentiasa membeli produk yang dipastikan dan dijamin ketulenannya.
Kita menyedari, banyak produk tiruan dalam pasaran di negara ini.Barangan itu dihasilkan secara menyalahi peraturan dan undang-undang bagi mengaut keuntungan mudah.
Sebagai pengguna, jika kita hanya melihat kepada keuntungan jangka pendek, tentu barangan sedemikian kelihatan begitu menarik. Perkara itu disebabkan ia dijual pada harga terlalu murah berbanding produk asli.
Tetapi cuba kita sama-sama renungkan dan fikirkan kesan jangka panjangnya. Selain dihasilkan secara haram tanpa mendapat keizinan dan kebenaran pemegang hakciptanya, ia mampu memudaratkan pengguna.
Contohnya, cakera padat video cetak rompak, bukan saja tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem Malaysia, malah mungkin mengandungi unsur yang dilarang oleh agama.
Perkara kedua, kita sebagai pengguna Muslim seharusnya menyokong pengeluaran produk tempatan yang dihasilkan sepenuhnya oleh pengusaha tempatan.
Perkara ini kerana ia akan membawa kepada pengamalan `ekonomi kendiri’ di kalangan pengusaha tempatan baik dalam bidang pertanian, penternakan, perikanan, pertukangan, pengeluaran dan pembuatan produk. Ia termasuk sama ada dalam bentuk barangan mentah atau barangan siap untuk kegunaan pembeli dan masyarakat secara amnya.
Amalan membeli barangan keluaran tempatan tentu akan membantu serta menggalakkan pengusaha dan pengeluar bersaiz sederhana dan kecil untuk memperluaskan potensi pasaran produk keluaran mereka. Ia seterusnya, membolehkan mereka menjadi lebih berdaya saing dan berdaya maju dalam pasaran domestik.
Satu tabiat yang harus disemai oleh semua pengguna Muslim adalah berbelanja secara tunai dan mengurangkan penggunaan kad kredit. Perkara sedemikian kerana kebanyakan pengusaha dan peniaga tempatan ini tidak menyediakan kemudahan pembelian secara kredit.
Pembelian secara tunai ini bukan saja memudahkan peniaga tempatan, malah membantu mereka mengekalkan aliran tunai sebagai modal pusingan bagi perniagaan mereka. Selain itu, pengaliran keluar mata wang kita ke negara lain akan dapat dielakkan kerana penggunaan produk import akan dapat dikurangkan.
Perkara seterusnya yang harus diberikan perhatian oleh pengguna Muslim adalah supaya sentiasa menggunakan produk yang bukan saja berkualiti, bahkan halal di sisi syariat dan undang-undang. Jika kita sebagai pengguna sentiasa memberikan penekanan terhadap aspek kualiti setiap barangan yang dibeli, maka pihak pengeluar juga akan mematuhi segala keperluan dan kehendak yang diletakkan sebagai syarat oleh pembeli. Mereka perlu memastikan supaya mutu barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan itu sentiasa terjamin dan konsisten.
Dalam hal ini, Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Makanlah serta minumlah, dan bersedekahlah, dan juga pakailah (pakaian yang baik-baik serta berhiaslah), asalkan jangan kerana bermegah-megah dan menyombong, dan jangan pula melampau-lampau; kerana Allah suka melihat kesan nikmat-nikmatNya kepada hamba-Nya.” (Hadis riwayat Ibnu Maajah dan An-Nasa’i)
Selain kualiti, barangan yang dibeli dan diguna oleh kita sebagai pengguna Muslim hendaklah dipastikan halal melalui pengesahan dan pengiktirafan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, melalui persijilan dan logo “Halal Malaysia”.
Selain sebagai sokongan kepada pengeluar dan pengusaha barangan pengguna beragama Islam, kita sebenarnya menggalakkan pengusaha lain turut menghasilkan produk halal.
Dengan ini, masyarakat Islam, khasnya dan pengguna amnya, akan mendapat kesejahteraan bersama daripada penawaran barangan yang dihasilkan menurut lunas Islam sepenuhnya. Allah berfirman bermaksud : “Wahai orang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, kika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 172)