MENGIKUTI berita dalam media elektronik dan akhbar di London akhir-akhir ini tidak kurang sensasinya dengan berita-berita yang tersiar di dalam media kita sendiri. Berita kehilangan nyawa wanita, Liz, yang menjadi korban lanyakkan kereta peragut beg tangannya sendiri, terus menerus menjadi bahan perbincangan dan ulasan berita pada setiap hari dan setiap ketika. Perbincangan sekarang ialah tentang pasangan muda yang telah pun ditahan polis berikutan kejadian tersebut.
Tumpuan perbincangan sekarang bagaimanapun telah beralih pula kepada peningkatan kejadian jenayah di bandar raya kosmopolitan yang menjadi tumpuan para pelancong dari seluruh dunia ini. Kejadian jenayah berlaku di mana-mana saja, termasuk di stesen-stesen kereta api (seperti yang berlaku kepada pasangan Liz), di restoran, malah di tengah-tengah bandar raya London dengan letupan bom yang dipasang oleh kumpulan pemisah Ireland Utara, IRA. Baru-baru ini satu peristiwa pergaduhan berlaku di bandar Bradford yang dihubungkan dengan ketegangan kaum antara rakyat berkulit putih dan penduduk keturunan Asia.
Ketegangan kaum seperti ini sebenarnya telah lama membara di dalam masyarakat Barat. Bandar-bandar yang didominasikan oleh penduduk dari Asia sering menghadapi masalah yang dicetuskan oleh kalangan yang agak keras dan fanatik, tidak bersikap toleransi tentang beberapa perkara yang merupakan isu sensitif bagi kedua-dua belah pihak.
Setiausaha Luar Britain, Robin Cook, baru-baru ini menyalahkan parti pembangkang yang menurutnya telah gagal merangka dasar toleransi kaum ketika mereka berkuasa dulu. Beliau mempertahankan dasar kepelbagaian etnik masyarakat British untuk pembangunan sosial dan ekonomi yang lebih baik. Beliau menolak kenyataan pembangkang yang mengatakan bahawa dasar imigran negara sekarang ini telah melemahkan kedudukan Britain sebagai negara pribumi Anglo-Saxon. Malah lebih daripada itu beliau telah menunjukkan contoh mudah tentang toleransinya iaitu dengan menyatakan bahawa makanan seperti ayam tikka masala sebenarnya telah menjadi makanan nasional bagi masyarakat United Kingdom!
Namun apa sahaja pentafsirannya, nampaknya masyarakat dunia sekarang sama ada di Timur atau di Barat sering berhadapan dengan krisis etnik dan kaum. Krisis ini sering bermula dengan peristiwa kecil-kecilan seperti bunga api yang malap sahaja, tetapi sekiranya tidak diatasi segera maka ia akan menjadi api yang amat sukar dipadamkan dan boleh memusnahkan sesebuah negara.
Bagi kita di negara ini nampaknya kita telah mendapat pengalaman yang agak banyak dalam masalah kepelbagaian kaum dan keturunan di dalam masyarakat kita. Pengalaman kita telah banyak memberi pengajaran yang baik bagi semua untuk terus menerus hidup dalam aman damai di dalam masyarakat yang mempunyai banyak isu sensitif ini. Pengalaman beginilah yang rasanya sedang dipelajari oleh masyarakat seperti masyarakat Britain ini.
Namun begitu, saya percaya bahawa toleransi kaum dan juga agama yang wujud di Britain menurut pandangan mata kasar ketika melihat kehadiran sekolah-sekolah dan bangunan masjid di seluruh United Kingdom (UK) telah memberikan sedikit persepsi positif tentang dasar terbuka kerajaan terhadap masyarakat Islam. Hal ini seharusnya dibina oleh kedua-dua belah pihak dengan lebih dinamik lagi.
Namun begitu hal inilah yang menjadi masalah bagi masyarakat kepelbagaian kaum dan agama di dunia pada hari ini, iaitu tabiat manusia yang tidak pernah puas hati dengan segala sesuatu yang mereka perolehi. Mereka sering tamak dan haloba dan mendesak serta menuntut segala-galanya untuk mereka sahaja tanpa berusaha memperkembang, meningkat serta memperluaskan sesuatu yang telah mereka peroleh dengan rasa ikhlas dan jujur.
Kembali kepada kes-kes jenayah yang berlaku di bandar besar seperti London, maka Scotland Yard pada 19 April lalu telah mengeluarkan satu laporan terbaru tentang kejadian jenayah yang berlaku di London.
Mengikut laporan itu, kejadian jenayah jalanan pada tahun 2000 telah meningkat kepada 50,000 kes, satu perangkaan paling tinggi yang pernah dicatatkan selama ini di kota London. Jenayah jalanan itu termasuklah jenayah meragut, rompakan, mencuri di rumah dan di kedai, termasuk gedung membeli-belah, peras ugut dan sebagainya. Malahan jenayah terbesar yang sering berlaku ialah jenayah rogol dan pencabulan seks.
Jika dikaji laporan tersebut, atau kejadian-kejadian jenayah yang berlaku di mana-mana sahaja dalam masyarakat manusia sekarang ini, ternyata desakan nafsu manusia tentang kebendaan dan tuntutan seks mereka merupakan dua unsur yang menyumbang kepada kejadian jenayah dan meningkatnya salah laku tersebut dari semasa ke semasa.
Oleh itu saya percaya bahawa dasar pendidikan sejagat pada masa kini untuk membentuk masyarakat manusia yang bertamadun nampaknya haruslah lebih mengutamakan pendidikan yang dapat mengawal nafsu dan tuntutan fizikal makhluk Allah yang bernama manusia ini. Pembangunan manusia yang terlepas daripada nilai-nilai moral kerohanian, akan hanya menyaksikan masyarakat manusia yang lebih ganas dan kecoh, lebih berbentuk masyarakat makhluk yang bernama haiwan.
Satu persamaan yang dapat dilihat di dalam berita akhbar di London pada akhir bulan April lalu juga tidak kurang sensasinya seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar kita tidak lama dulu walaupun tentunya agak berbeza dari segi saiz dan impaknya, iaitu tentang keganasan yang akan berlaku di kota London. Pihak-pihak yang berkenaan telah merancang akan mengadakan kacau-bilau pada 1 Mei, iaitu pada hari perayaan menyambut Hari Buruh. Segala maklumat dan perancangan untuk mengadakan sambutan berbentuk ganas itu telah pun memenuhi laman-laman web Internet, dan mesej yang telah menjalar ke seluruh negara melalui e-mel.
Aktivis yang merancang gerakan besar-besaran berbentuk radikal menentang apa yang mereka panggil sebagai gerakan antikapitalis akan menceroboh jalan raya, gedung perniagaan, restoran makanan segera McDonalds, gangguan lalu lintas dan pusat pelancongan, termasuk pusat kajian angkasa lepas British. Scotland Yard menyifatkan 1 Mei kelmarin sebagai `acara utama tahun ini’ kerana mereka nampaknya akan terpaksa bekerja keras dengan menggadaikan nyawa dan tenaga menghadapi golongan militan itu. Maka 1 Mei sememangnya telah menjelma menjadi hari paling ganas dan bahaya, bukan hanya di kota London, malahan di kota-kota besar di seluruh dunia.
Inilah yang saya katakan terdahulu bahawa kesamaan berita ini dengan berita yang disiarkan di negara kita tempoh hari amat menarik minat kita tentang tabiat dan persepsi manusia yang mempunyai falsafah dan tafsiran hidup yang berbagai-bagai. Malah yang lebih menarik lagi menurut media British, para aktivis militan ini sebenarnya telah dilatih di kem-kem latihan di Amerika Syarikat!
Semoga segala sesuatu yang kita pelajari tentang tabiat buruk dan tindakan ganas manusia maju kini akan dapat membuka minda dan pemikiran kita tentang kejadian makhluk Allah s.w.t ini yang disifatkan sebagai makhluk yang dijadikan dalam keadaan yang amat sempurna. Tetapi tindakan mereka juga sebenarnya yang membawa mereka turun ke peringkat kehinaan yang amat rendah, lebih hina daripada haiwan yang menghuni bumi Allah ini.