Berdasarkan hasil prauji Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima yang dijalankan pada September hingga Disember tahun lalu, sebanyak 16.7 peratus wanita bekerja meninggalkan anak-anak berusia enam tahun ke atas bersendirian di rumah tanpa pengawasan orang dewasa.
Perkara ini menjadi satu trend yang membimbangkan pada zaman sekarang. Apakah punca berlakunya perkara ini? Pengabaian terhadap anak selalu berlaku akibat desakan hidup keluarga yang menyebabkan si ibu terpaksa keluar bekerja. Sekiranya keluarga itu mampu, ibu tidak perlu keluar bekerja kerana ia adalah tugas seorang suami untuk memberi nafkah keluarga .
Dalam agama Islam, seorang suami wajib menyediakan nafkah kepada isterinya. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud : “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin (yang bertanggungjawab) terhadap kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka” (Surah an-Nisaa’ 4:34)
Seorang sahabat bernama Hakim bin Mua’wiyah bin Hidah al-Qusyairi r.a. pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasullulah SAW, “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami?” Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Memberinya makan apabila kamu makan dan memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” (Hadis riwayat Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, no. 1830).
Para suami dipertanggungjawabkan untuk menanggung perbelanjaan makan minum dan pakaian isteri dan juga anak-anak. Ini termasuklah tempat tinggal, perubatan dan ilmu yang bermanfaat. Syarak juga menetapkan kadar pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seorang suami dan suami tidak wajar membebankan dirinya melebihi kemampuannya.
Sikap saling membantu sememangnya amat digalakkan dalam kehidupan berumahtangga. Kebanyakan isteri pada hari ini sudi membantu meringankan beban suami dan sanggup sama-sama bekerja mencari nafkah untuk menyara keluarga.
Namun terdapat juga wanita yang masih hendak bekerja walaupun suaminya mampu menyediakan segala-segalanya. Mereka ini merasakan dirinya mempunyai kelebihan berbanding wanita lain apabila bekerjaya. Dia juga inginkan kehidupan yang lebih selesa daripada apa yang suami mampu berikan.
Justeru sikap memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju sesebuah keluarga. Jika isteri mengambil sikap bersederhana dalam kehidupan dan bukannya untuk berlumba-lumba dengan orang lain atau menunjuk-nunjuk, mungkin apa yang diberi oleh suami sudah memadai. Ini tentunya dapat mengelakkan berlakunya keabaian terhadap anak-anak atas desakan kerja.
Harus diingat keputusan untuk wanita keluar bekerja mencari rezeki adalah keputusan yang besar, terutama jika ia melibatkan anak-anak. Keputusan ini harus dibuat dengan teliti melihat kepada semua aspek.
Mentelaah pula pusat-pusat asuhan mengenakan bayaran yang tinggi untuk menjaga anak sepanjang waktu bekerja. Bayangkan jika pasangan itu mempunyai anak kecil lebih daripada seorang, maka sebahagian besar peruntukan akan dibelanjakan untuk membayar perkhidmatan taska semata-mata.
Bukan semua orang yang mampu dan sanggup membayar beratus-ratus ringgit sebulan hanya untuk penjagaan anak. Mereka akan memikirkan banyak lagi perbelanjaan lain yang lebih penting contohnya ansuran atau sewa rumah dan kenderaan. Dan kerana ketidakmampuan inilah juga ada wanita yang sanggup membiarkan anaknya tinggal seorang di rumah tanpa pengawasan.
Mungkin sesetengah ibu bapa beranggapan umur anak enam tahun ke atas sudah agak pandai dan boleh ditinggalkan sendirian di rumah. Hakikatnya, mereka ini masih lagi kanak-kanak, masih kecil dan belum mampu melindungi diri sendiri terhadap sebarang bentuk ancaman.
Tanpa pengawasan orang dewasa, keselamatan mereka tidak terjamin. Berbagai perkara boleh terjadi yang akan membahayakan anak-anak. Kemalangan seperti terjatuh apabila memanjat, luka atau tercedera, kebakaran mungkin berlaku. Itu tidak termasuk lagi jenayah seperti rompakan atau rogol.
Sebenarnya terdapat undang-undang yang berkaitan perkara ini. Ibu bapa boleh dipenjara jika tinggalkan anak sendirian di rumah. Ibu bapa yang meninggalkan anak berseorangan tanpa pengawasan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 33, Akta Kanak-Kanak 2001.
Sekiranya ibu bapa tinggalkan anak-anak berseorangan tanpa pengawasan, ibu bapa tersebut telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 33, Akta Kanak-Kanak 2001, kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Undang-undang kelihatan tegas terhadap sebarang pengabaian anak-anak, namun ia masih berterusan berlaku dan masalah ini masih tidak dapat dibendung. Apa yang diperlukan adalah dasar yang lebih jelas dengan mewajibkan pusat asuhan dan taska di tempat kerja.
Komitmen dan kesungguhan kerajaan diperlukan dalam menjayakan perkara ini agar majikan terpaksa akur . Selagi mana tiada kewajipan untuk menyediakan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja, majikan akan berdolak dalik dalam hal ini. Berbagai alasan akan diberikan seperti logistik dan sebagainya.
Jika kita masih bercakap dalam bentuk cita-cita dan harapan untuk menubuhkan pusat asuhan di tempat kerja, sampai bila masalah ini tidak akan selesai. Kes pengabaian anak akan terus meningkat dan menggugat keselamatan mereka. Wanita-wanita yang bekerjaya memerlukan sistem sokongan yang kuat untuk mengatasi masalah ini. Seterusnya ini dapat memastikan generasi masa depan menjadi modal insan yang lebih yakin dan cemerlang.