Syariat Islam diturunkan kepada manusia sesuai untuk semua zaman dan tempat. Al-Quran dan al-Sunnah merupakan dua sumber teragung kepada syariat Islam. Apabila baginda SAW wafat, maka kedua-dua sumber syariat ini memberi panduan kepada manusia ke jalan yang benar selagi mereka berpegang kuat kepada kedua-duanya. Ini seperti ditegaskan baginda SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Malik bin Anas.
Dengan kewafatan baginda SAW, maka para sahabat, generasi umat Islam selepasnya yang dikenali sebagai tabien, serta tabi tabien menjadi sumber rujukan masyarakat memahami ajaran Islam khasnya hukum-hakam melalui kefahaman mereka terhadap al-Quran dan al-Sunnah. Zaman pasca kewafatan nabi SAW menyaksikan pengeluaran fatwa oleh para sahabat berkembang melalui ijtihad hukum. Ia berkesinambungan sepanjang zaman sehingga sekarang.
Hukum dalam syariat Islam terbahagi kepada yang jelas dan hukum yang tidak jelas. Hukum yang jelas termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah secara terang, mempunyai makna yang satu, mudah difahami oleh manusia dan tidak ada kemungkinan ia menunjukkan makna-makna hukum yang lain. Maka di sini tidak boleh dilakukan fatwa atau ijtihad. Ini berdasarkan kaedah tidak ada ijtihad dalam hukum yang ada nas jelas. Hukumnya sudah pun jelas dalam hal ini seperti hukum solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, mengeluarkan zakat, menunaikan haji, pengharaman pembunuhan tanpa hak, kesalahan zina, minum arak dan mencuri. Kejelasan ini termasuk tuntutan syariat dalam aspek akhlak seperti bersikap adil, tolong menolong dalam perkara yang baik, melakukan hubungan silaturrahim, bersikap benar, amanah dan menunaikan janji. Semua ini telah pun jelas dan disepakati oleh ulama tentang hukum dan tuntutannya. Maka fatwa atau ijtihad tidak diperlukan kerana manusia dapat memahaminya dengan mudah.
Bahagian kedua hukum ialah hukum-hakam yang tidak jelas. Ini meliputi hukum-hakam dalam al-Quran dan al-Sunnah tetapi ia memberikan makna lebih daripada satu. Maka di sini peranan fatwa atau ijtihad diperlukan. Ini adalah untuk mengetahui hukum yang sebenar-benarnya dikehendaki oleh nas hukum berkenaan berdasarkan kepada pelbagai aspek seperti umum dan khususnya nas berkenaan, kekuatan suruhannya sama ada ia akhirnya menjadi hukum wajib, sunat atau harus mahu pun makruh. Contohnya dalam menentukan had sapu kepala ketika berwudhu dan makna quru’ dalam menentukan iddah wanita selepas penceraian.
Fatwa juga diperlukan untuk menjawab persoalan kehidupan harian yang dikemukakan oleh masyarakat. Persoalan ini tidak mempunyai hukum yang jelas daripada al-Quran dan al-Sunnah. Ia merupakan persoalan yang sentiasa berlaku dari masa ke semasa dalam kehidupan mereka.
Maka dalam situasi ini, para cendiakawan, ahli akademik, alim ulama perlu memainkan peranan mereka untuk melihat hakikat permasalahan yang timbul dan menerangkan hukumnya berdasarkan mazhab tertentu. Jika tidak ada perbahasan maka mereka perlu menggunakan daya pemikiran untuk mengeluarkan hukum berdasarkan sumber perundangan syariat, kata-kata ulama muktabar dengan syarat memenuhi maqasid syariah. Ini termasuk mengambil kira keadaan setempat, keperluan orang perseorangan yang sudah tentu berbeza di antara satu dengan yang lain, masa yang sesuai dengan isu berkenaan, bertepatan dengan uruf sehingga melayakkan hukum tertentu dikeluarkan secara fatwa.
Fatwa juga menjadi satu keperluan untuk menjawab isu dan permasalahan baharu dalam penemuan teknologi, ilmu moden yang perlu dilihat dalam konteks syariat. Ini termasuk dalam bidang perubatan seperti klon haiwan, isu masyarakat seperti isu zakat bahagian amil sama ada menjadi satu hak sepenuhnya jika tuntuan asnaf yang lain masih belum dipenuhi, bidang siayasah seperti fungsi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tidak menguntungkan umat Islam, bidang pengankutan apabila kemalangan masih menjadi-jadi walaupun pelbagai undang-undang jalanraya dikuatkuasakan, dalam bidang ekonomi seperti memperincikan pelaburan yang betul, dalam bidang pendidikan seperti pengajian secara atas talian, bidang teknikal, pelancongan dan juga sistem penyusunan masyarakat.
Maka para alim perlu menerangkan aplikasi hukum syariat dalam penemuan moden dan kehidupan semasa yang serba canggih dengan hujah rasional akal yang diperakukan oleh syariat seperti menggunakan kaedah kias, istihsan, maslahah, uruf dan termasuk berusaha menghalang kecelakaan yang lebih besar.
Fatwa dan ijtihad menjadi senjata yang kuat dalam usaha cendiakawan melebarkan dakwah kepada umat Islam dan bukan Islam melalui panduan syariat untuk rujukan umat manusia.
Melalui fatwa juga, ahli fikir Islam boleh mencadangkan perundangan yang bertepatan dengan kehendak syariat untuk menggantikan undang-undang penjajah yang sesetengahnya kurang tepat dengan tuntutan Islam tetapi masih menjadi amalan walaupun negara sudah merdeka.
Fatwa dan ijtihad akhirnya membawa umat Islam amnya dan ulama serta ahli akademik Islam khususnya kepada percambahan pemikiran dengan menggunakan kebolehan akal, melakukan kajian secara teori dan syarie, perdebatan serius di kalangan mereka untuk membawa kebaikan kepada ummah. Ia juga sebagai penunjuk bahawa syariat Islam adalah sesuai untuk semua masa dan tempat.