Keutamaan dalam memelihara dan mendidik anak-anak sebenarnya adalah satu tuntutan dalam Islam. Ia berkaitan secara langsung dengan tujuan memelihara kemaslahatan nyawa dan kehidupan insan serta kesejahteraan masyarakat dan Negara. Ia juga akhirnya akan mengangkat darjat dan kedudukan serta kemuliaan manusia kerana keupayaan mereka dalam mengekalkan kewujudan mereka secara sebaiknya. Berhubung dengan perkara ini, Islam itu pada asasnya telah memberi gambaran kepada seluruh alam semesta dan kepada seluruh umat manusia bahawa manusia itu telah dijadikan dalam keadaan yang paling sempurna.
Malahan, menjadi tanggungjawab kepada manusia untuk menyedari hakikat ini. Ia juga menjadi satu tanggungjawab kepada mereka untuk memelihara dan mengekalkan serta meneruskan status dan kedudukan mereka sebagai makhluk yang sempurna dari segi kejadian mereka. Ini adalah amanah yang Allah telah diberikan kepada mereka. Ini juga bertepatan dengan firman Allah dalam surah at Tin, ayat 4 yang bermaksud ‘sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya’. Mengapa manusia itu dikatakan sebagai makhluk yang terbaik dari segi kejadiannya berbanding dengan pelbagai makhluk lain?
Berhubung dengan perkara ini, keupayaan mereka untuk berfikir merupakan satu anugerah Ilahi yang terhebat dan tiada tandingan. Anugerah otak sebagai satu organ yang dikurniakan itulah yang membezakan manusia dengan binatang. Ini kerana, otak itu berfungsi sebagai satu alat untuk berfikir yang tidak dimiliki oleh makhluk lain selain umat manusia. Jika dilihat, manusia dan binatang sama-sama memiliki otak, namun, kedua-dua makhluk ini menggunakan otak mereka dengan cara yang amat berbeza.
Manusia mampu menggunakan otaknya untuk berfikir dan menguruskan pemikirannya. Berbanding dengan binatang, kemampuan untuk berfikir itu tidak wujud, atau jika ada, seperti yang dipercayai oleh sesetengah pengkaji haiwan, sudah pasti ia mempunyai status pemikiran yang lebih rendah dari segi fungsi, berbanding dengan keupayaan berfikir oleh otak manusia. Keupayaan manusia untuk menggunakan fungsi pemikiran otaknya dengan cara yang terbaik dan wajar adalah satu syarat, iaitu syarat yang bukan sekadar membezakan kedudukan antara manusia dengan binatang, malah dengan keupayaan berfikir itu jugalah yang akan mengangkat dan membina kemuliaan mereka berbanding makhluk lain. Ini kerana fungsi otak dan keupayaan pemikiran oleh golongan manusia itu dipandu oleh aqalnya. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi ada menyatakan perkara yang sama seperti mana yang telah diceritakan oleh Saidatina Aisyah r.a.
Saidatina Aisyah r.a ketika bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w perihal bagaimanakah seseorang itu mendapat keutamaan dan kemuliaan dunia lalu Baginda menjawab, dengan aqalnya. Apabila ditanya lagi, bagaimana pula seseorang itu boleh mendapat keutamaan akhirat, lantas Baginda menjawab lagi, dengan aqalnya. Aisyah bertanya lagi, bukankah seseorang itu mendapat keutamaan itu bergantung kepada kadar amalnya? Rasulullah s.a.w lantas menjawabnya iaitu seseorang itu beramal mengikut kadar aqalnya.
Hadis ini menunjukkan bahawa aqal yang akan menentu dan memandu pemikiran manusia. Menurut Imam al Ghazali, aqal merupakan sumber bagi segala cetusan ilmu dan hasil pemikiran manusia. Aqal juga yang akan menentukan tahap amalan dan perbuatan yang manusia itu lakukan. Jika ingin memperbaiki amalan dan meningkatkan kualiti kehidupan, maka kualiti aqalnyalah yang perlu dipertingkatkan terlebih dahulu. Hakikatnya, aqal dan fungsi otak memang tidak dapat dipisahkan. Malahan kedua-duanya saling berkait rapat dan sentiasa mempengaruhi antara satu sama lain. Pemikiran dipandu oleh aqal manakala aqal pula dipandu dan dibimbing oleh keimanan dan panduan dari ajaran Islam yang menyeru kepada kebaikan dan menjauhi kefasikan. Aqal sebagai satu anugerah amat wajar untuk dipelihara dan dikekalkan peranan serta keupayaannya. Malahan, Islam turut menuntut agar kemaslahatan aqal ini sentiasa terpelihara sepanjang masa.
Peranan aqal dalam mewujudkan kehidupan yang baik untuk manusia perlu disingkap. Malahan, salah satu aspek penggunaan aqal dalam memandu hala tuju pemikiran manusia ialah keupayaan mereka untuk mewujudkan kehidupan yang selamat untuk kanak-kanak. Isu pengaruh aqal dalam mempengaruhi pemikiran dan tindakan manusia dalam kes-kes penderaan dan kezaliman terhadap kanak-kanak amatlah jarang diperkatakan dan seperti tidak wujud serta amat asing sekali untuk dibincangkan. Seolah-olah seperti satu perkara yang taboo atau tiada perkaitan di antara mereka. Walhal,jika dilihat daripada beberapa hadis dan ayat-ayat al Quran, peranan aqal amat penting dan berkait rapat dengan fungsi otak serta pemikiran manusia.
Oleh yang demikian, masyarakat perlu difahamkan berkaitan hukum hakam dan kesalahan serta hukuman secara syar’i yang terpakai jika berlaku pengabaian terhadap fungsi aqal dan otak mereka. Mungkin masyarakat sudah terfikir bahawa sekaranglah masanya untuk mewujudkan satu perincian hukuman secara syar’i yang boleh dilaksanakan jika terdapat mana-mana individu yang melakukan perlanggaran terhadap tuntutan maqasid syariah, walaupun pada dasarnya tuntutan maqasid syariah itu bagi memelihara kemaslahatan manusia.
Selain itu, ajaran Islam terhadap hak-hak kanak-kanak perlu didedahkan secara meluas kepada masyarakat umum. Penderaan dan pengabaian ke atas kanak-kanak yang berlaku ketika ini kerana masyarakat tidak mengerti apakah kanak-kanak turut mempunyai hak dan apakah hak-hak mereka yang perlu dihormati dan disantuni oleh masyarakat. Walaupun secara fizikalnya mereka sekadar berbadan kecil, namun masyarakat perlu didedahkan bahawa kanak-kanak masih mempunyai hak mereka yang tersendiri, dan menjadi tanggungjawab kepada masyarakat untuk memberikan ruang dan hak kepada kanak-kanak itu. Kanak-kanak mempunyai hak untuk dihormati, dan dimuliakan secara adil dan baik. Mereka juga mempunyai hak untuk hidup dan tinggal dalam suasana yang aman dan bersih. Mereka mempunyai hak untuk menyuarakan tuntutan terhadap hak-hak mereka. Namun cuma tidak mampu untuk bersuara menuntut hak-hak mereka itu, dan ini tidak bermakna bahawa hak-hak mereka tidak wujud atau mereka tidak mempunyai hak serta hak mereka dinafikan begitu sahaja. Oleh itu, kesedaran bahawa kanak-kanak mempunyai hak-hak tertentu perlu disebarluaskan dalam masyarakat.
Seterusnya, peranan ibubapa dan penjaga serta ahli keluarga di dalam memelihara dan mewujudkan kehidupan yang baik serta persekitaran yang selamat untuk anak-anak perlu ditekankan pada sepanjang masa. Inilah proses yang perlu dilaksanakan bagi mengekalkan kehidupan yang harmoni yang mana asasnya ialah untuk mengekalkan martabat dan kedudukan manusia pada tahap yang tinggi dalam memelihara kesinambungan kehidupan mereka. Ia bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al Isra’ ayat 70 yang bermaksud ‘dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkat mereka di darat dan di lautan, Kami berikan mereka rezeki dari yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan’.