Otak yang sihat terletak pada badan yang sihat. Apabila jasmani sihat, maka akan lahir juga otak yang sihat. Dalam pembentukan generasi yang cemerlang, unsur pemakanan perlu diambil kira kerana ia akan menentukan kesihatan jasmani dan akhirya akan diterjermahkan melalui otak yang sihat. Dalam meniti kehidupan, kadang- kadang manusia terlepas pandang akan kurniaan dari Ilahi yang tidak terhitung nikmatnya. Junjungan besar kita pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Bukhari; “Dua anugerah yang dikurniakan oleh Allah menyebabkan manusia tertipu ialah kesihatan yang baik dan waktu yang lapang”. Kesihatan yang dimiliki menyebabkan manusia tidak tersedar akan nikmat tersebut dan tidak menjaganya, akhirnya aset yang dimiliki tersebut terus terabai dan memberi kesan buruk kepada diri sendiri. Natijahnya, kesihatan jasmani terganggu dan kesihatan rohani juga akan tergugat.
Setiap yang sihat, perlu berusaha menjaga dan mengawal kesihatannya dengan menjaga makanan dan sistem pemakanannya. Di samping itu, latihan jasmani menjadi tuntutan supaya perjalanan darah dan urat sarafnya sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Hal ini kerana, otak yang sihat berada pada tubuh badan yang sihat. Cara hidup dan pengamalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah boleh dijadikan panduan kepada semua umat manusia kerana baginda merupakan contoh yang terbaik untuk diteladani dalam menjaga kesihatan badan. Dalam buku Tibb al Nabawi, Ibn Qayyim Al Jauziyah menyatakan bahawa semua jenis perubatan mengandungi sama ada amalan pemakanan tertentu atau pun langkah pencegahan. Oleh itu, tidak hairanlah pemakanan merupakan asas penting dalam penjagaan kesihatan sama ada untuk mencegah penyakit mahupun mengekalkan kesihatan yang berterusan.
Namun begitu, jika diimbas kembali sorotan sejarah, bagaimana tokoh- tokoh ilmuwan Islami dahulu menjadi cendikiawan yang mampu menguasai pelbagai bidang? Bagaimana kebijaksanaan mereka boleh dijadikan contoh teladan kepada generasi kita pada masa sekarang? Bagaimana keintelektualan ilmuwan Islam dahulu menjadi perintis kepada pelbagai bidang ilmu yang wujud pada masa kini? Semuanya bermula dengan contoh teladan yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW termasuklah dalam menjaga hal ehwal pemakanan yang menjadi asas penting dalam pembentukan kesihatan jasmani dan rohani yang akhirnya akan menterjermahkan kecemerlangan sesebuah masyarakat atau tamadun. Menyoroti kembali bagaimana amalan pemakanan sunnah yang boleh dijadikan contoh dan diamalkan oleh semua umat manusia sepertimana yang digariskan oleh al Ghazzali dalam Ihya’ Ulumuddin. Al Ghazzali menyenaraikan tujuh adab sebelum makan yang perlu dijaga, juga adab ketika makan agar makanan diberkati oleh Allah dan juga adab selepas makan. Garis panduan ini merangkumi tata cara yang perlu diikuti agar makanan yang kita makan diberkati dan seterusnya ia mendapat ganjaran daripada Allah. Asas adab- adab inilah yang akan membentuk peribadi, dan akhirnya kehebatan sesebuah masyarakat terserlah.
Antara tunjuk ajar tentang adab selepas makan yang digariskan oleh al Ghazzali ialah berhenti makan sebelum kenyang. Memetik sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh al- Tarmizi, Ahmad, Ibn Majah dan al- Nasai: “Tidak ada bekas yang diisikan oleh anak Adam yang lebih keji daripada perut. Cukuplah bagi anak adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Dan sekiranya ia terpaksa melakukannya juga maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya”. Jelas kepada kita, jika makan sehingga kekenyangan akan mendatangkan kemalasan dan kelembapan akal untuk berfikir serta akhirnya kemudaratan penyakit. Bukankah itu akan menyebabkan kelemahan kepada sesebuah masyarakat dan tidak akan menjadikan ummahnya berdaya saing?
Pada zaman moden ini, manusia telah mengenepikan adab- adab dan sunnah Rasulullah di dalam makan minum mereka. Maka tidak hairanlah sekiranya umat Islam kini menjadi lemah hasil daripada kelemahan tubuh badan mereka dan tidak mampu memajukan diri dengan keberhasilan akal yang cemerlang melalui tubuh yang sihat cergas. Banyak disiplin yang ditekankan dalam Islam, diabaikan oleh umat manusia.
Jika kita lihat masyarakat pada hari ini, makan dan minum secara berlebihan serta suka membazir. Berhubung dengan aspek ini, Ibn al Qayyim al Jauziyah berkata, ” Sesungguhnya perut jika dipenuhi dengan makanan akan menyempitkan ruang untuk minuman dan sekiranya perut itu dipenuhi dengan minuman, akan menyempitkan ruang untuk nafas dan terdedahlah baginya kesakitan dan keletihan dan jadilah keadaannya seperti pemikul barang yang amat berat. Dan ini merupakan punca kepada kerosakan hati dan kemalasan anggota untuk taat beribadah dan akan menggerakkan syahwat yang lazimnya disebabkan oleh kekenyangan. Sekiranya perut seseorang itu dipenuhi dengan makanan, ini akan memudaratkan hati dan badannya jika ia merupakan amalan yang berterusan. Tetapi andaikata kekenyangan ini hanya berlaku sekali sekala, maka tidaklah mengapa”. Jelas kepada kita, kemudaratan daripada makan dan minum secara berlebihan ini akhirnya berbalik kepada diri sendiri dan masyarakat. Hasil daripada kekenyangan yang melampau, seseorang tidak mampu berfikir dengan cemerlang dan tidak produktif.
Antara lain tata cara mengenai pemakanan yang boleh dijadikan panduan dalam memajukan diri dan agar tidak pasif dalam mengeluarkan buah fikiran ialah tidak tidur selepas makan. Ibn al Qayyim al Jauziyah mengutarakan: “Di antara nasihat tabib- tabib untuk mereka yang hendak menjaga kesihatan ialah berjalan beberapa langkah selepas makan malam walaupun sehingga 100 langkah dan jangan terus tidur selepas itu kerana ini boleh mendatangkan kemudaratan yang besar. Berhubung dengan hal ini, Abu Nuaim meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melarang seseorang tidur selepas makan dan sesungguhnya perbuatan itu mengeraskan hati. Tetapi, pada hari ini, berapa ramai antara kita yang tidak mempedulikan saranan Rasulullah SAW tersebut. Disebabkan ketidakprihatinan kita terhadap perkara yang dianggap remeh itu yang menyebabkan umat Islam kini lemah dan tidak mampu memajukan diri setanding dengan masyarakat lain.
Barangkali, kita tertanya- tanya, kenapa tokoh- tokoh Islam dahulu begitu hebat sehinggakan mampu menghafaz al quran, hadis- hadis dan menguasai bidang ilmu yang pelbagai. Bagaimana mungkin untuk kita mewarisi ketinggian ilmu yang dimiliki oleh mereka jika perkara asas dalam pemakanan tidak diendahkan. Belum diambilkira bagaimana dan apakah makanan yang mereka makan, tetapi tentang adab dan tata cara makan yang diamalkan oleh mereka pun belum dapat dilaksanakan sepenuhnya oleh kita pada hari ini. Usahkan memiliki ilmu seperti tokoh- tokoh terdahulu, amalan dan gaya hidup mereka pun belum mampu kita hayati sepenuhnya dalam kehidupan ini.
Apa yang termampu kita usahakan ialah melaksanakan dan menambahbaikkan amalan dan gaya pemakanan kita berlunaskan sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW agar apa yang diajar akan terus dapat diterap dalam kehidupan kita sedikit demi sedikit. Kelemahan kita pada hari ini bukanlah disebabkan agama tetapi disebabkan umat yang tidak mengamalkan ajaran yang terkandung didalamnya. Oleh itu, untuk kesinambungan kegemilangan ilmu ilmuwan Islam terdahulu, kita sebagai masyarakat dalam pandangan semasa perlulah mencontohi dan mengamalkan apa yang telah dianjurkan dalam agama seterusnya melahirkan masyarakat yang cemerlang jasmani dan rohani bukanlah omongan kosong jika kita sebagai unit asas masyarakat membuat perubahan bermula daripada diri sendiri.