Salah satu perkara penting yang menjayakan serta meneguhkan kepemimpinan termasuklah wawasan yang terancang. Dalam hubungan ini, wawasan terhadap masa hadapan tidak boleh sama sekali dipisahkan daripada apa yang telah berlaku dalam sejarah dan juga apa yang sedang berlaku kini. Bagi umat Islam, masa hadapan yang dimaksudkan bukan sahaja membabitkan kehidupan di dunia, bahkan juga selepasnya, iaitu kehidupan di akhirat. Berbicara tentang sejarah, barangkali ada antara kita yang menganggap bahawa sejarah tidaklah begitu penting untuk diketahui dan ditelusuri, apatah lagi untuk dihayati pengajarannya.
Lebih malang lagi jika sikap ini wujud pada pemimpin kerana ternyata bahawa mereka lupa akan sifat sejarah yang sentiasa berulang, sama ada yang baik atau juga yang sebaliknya. Maka apabila mendepani kemelut sebagaimana yang pernah berlaku dalam sejarah, mereka cuba mengatasinya tanpa cuba mempelajari sesuatu daripada tindakan generasi sebelum mereka dalam usaha menyelesaikannya. Sejarah dan sifatnya yang berulang ini juga pernah diungkap dengan indahnya oleh Prof. Syed Muhamamd Naquib al-Attas dalam seloka ciptaannya, “Sifat sejarah menurut orang, ibarat pentas bermain wayang, cerita lampau dihurai dalang, pabila tamat segera diulang.” Menurut beliau lagi, kaum Muslimin tidak mungkin dapat mengulangi kegemilangan, sebagaimana yang pernah dicapai pada zaman silam seandainya mereka lupa akan sejarah, peranan, nilai-nilai yang dianuti dan juga ilmu-ilmu yang dimiliki selain kehilangan makna diri, keperibadian serta perwatakan sebenar mereka (Risalah untuk Kaum Muslimin, ISTAC, 2001).
Berbalik pada wawasan yang terancang, jika diteliti, ia sebenarnya telah sedia wujud dalam perkataan Arab, tadbir (bermaksud pentadbiran atau pengurusan) itu sendiri, yang maksudnya meliputi pandangan jauh dan kebijaksanaan. Muhammad Baqir Najm-I Thani, dalam karyanya, “Mau`izah-i Jahangiri” yang menyentuh tentang pemikiran siasah dan adab di India sewaktu pemerintahan Jahangir, salah seorang Maharaja Mughal, memetik kata-kata cendekiawan bahawa antara unsur keteguhan sesebuah negara dan kestabilan kuasa seseorang pemerintah termasuklah pertama, langkah berjaga-jaga sepenuhnya agar pemerintah berupaya menjangka atau menggambarkan keadaan masa hadapan berdasarkan cerminan apa yang wujud sekarang dan kedua, keazaman yang teguh agar kelemahan tidak sama sekali menggugat tekad serta kesungguhannya.
Rasulullah s.a.w., sebagaimana dirakam oleh catatan sirah Baginda, jelas memperlihat kewibawaannya sebagai pemimpin yang berwawasan terancang dan berpandangan jauh sehingga melewati zamannya. Lihat sahaja pada ucapan pertama Baginda kepada kaumnya yang ringkas tetapi amat berkesan lagi berpengaruh. Antaranya Baginda menawarkan sesuatu kepada mereka, yang tidak pernah ditawarkan kepada mana-mana bangsa Arab sebelum mereka dan turut menjanjikan masa hadapan yang amat gemilang kepada mereka. Sayyidina `Ali k.w. yang pada ketika itu masih kecil, turut menjadi saksi dan meriwayatkan seruan Baginda itu yang antara lain menegaskan, “Tidak kuketahui bahawa ada orang lain daripada kalangan bangsa Arab selainku yang menemui kaumnya dengan membawa risalah yang lebih mulia daripada apa yang kubawa. Aku telah membawa (risalah) yang terbaik bagi dunia ini dan kehidupan selepasnya (akhirat)…”
Di kalangan pemerintah Bani Umayyah misalnya, Khalifah `Umar ibn `Abdil `Aziz (‘Umar II – 717-720M.), merupakan contoh terbaik seorang pemimpin yang menjadikan sejarah sebagai panduan dan wawasan jauh lagi terancang sebagai dasar pemerintahannya. Sehubungan itu, baginda telah berusaha sedaya upaya menegakkan dasar pemerintahan Islam, sebagaimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. dan Khulafa’ al-Rashidin, khususnya datuk baginda, `Umar ibn al-Khattab r.a. Antara usaha penting yang dilaksanakan baginda, misalnya dari sudut kemasyarakatan ialah menggalakkan perkahwinan antara bangsa Arab dengan bukan Arab. Langkah ini bertujuan memastikan masyarakat berada dalam keadaan aman dan tenteram. Ini kerana sebelumnya, kedua-dua bangsa berkenaan sering bermusuhan antara satu sama lain dan antara sebabnya ialah dasar perkauman yang wujud dalam Kerajaan Bani Umayyah.
Dari sudut dakwah pula, baginda mengambil langkah paling berhikmah untuk memujuk golongan bukan Islam supaya menerima Islam. Justeru itu, baginda mengutus arahan kepada semua gabenor yang antara lain, menekankan (pertama), hasrat untuk membina sebuah masyarakat baharu berlandaskan keimanan dan tidak berlandaskan bangsa atau keturunan. Kedua, mewujudkan persamaan hak dan tanggungjawab bagi setiap individu yang beragama Islam, sama ada yang beketurunan Arab mahupun bukan Arab terhadap agama serta negara. Ketiga, memansuhkan jizyah (cukai) yang dikenakan atas orang bukan Arab yang beragama Islam yang diamalkan sejak zaman al-Hajjaj. Dengan kata-kata lain, sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam, jizyah hanya dikenakan atas orang bukan Islam sahaja dan apabila seseorang memeluk Islam, ia sekaligus dikecualikan daripada tanggungjawab membayar jizyah. Keempat, cukai-cukai lain seperti cukai tanah, cukai perniagaan dan zakat dikenakan atas orang bukan Arab yang beragama Islam, sama seperti orang Arab Islam, berdasarkan hak serta tanggungjawab yang juga sama. Di penghujung surat arahannya itu, baginda menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang beragama Kristian, Yahudi atau Majusi yang menyertai orang Islam dengan mendiami tempat kediaman mereka serta meninggalkan rumah kerana Islam, berpeluang menikmati semua keistimewaan dan memikul tanggungjawab yang sama, seperti umat Islam. Malah, baginda juga menegaskan kewajipan umat Islam untuk berbuat baik kepada individu yang menerima seruan Islam itu dan menganggapnya sebahagian daripada mereka.
Tindakan `Umar menghapuskan jizyah atas kaum Muslimin bukan Arab telah ditentang oleh beberapa orang gabenor, termasuk gabenor Mesir yang berpandangan bahawa tindakan tersebut boleh memberikan kesan buruk kepada kedudukan kewangan negara kerana apabila banyak orang yang memeluk Islam, maka bilangan yang membayar jizyah akan bertambah kecil. Jawapan tegas yang diberikan oleh Khalifah `Umar kepada gabenor tersebut ialah, “Hapuskan jizyah daripada orang Islam, sesungguhnya Allah mengutus Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pembawa petunjuk dan bukan sebagai pemungut cukai.”
Dengan wawasannya yang jauh lagi bijaksana, Khalifah `Umar melaksanakan pula dasar baharu bagi menjana pendapatan negara. Antaranya termasuklah melalui cukai tanah (kharaj), iaitu tanah yang diperoleh melalui penaklukan dan ia menjadi hak milik bersama umat Islam. Hasil tanaman bagi tanah-tanah ini dikenakan cukai oleh kerajaan dan tanah-tanah kharaj tidak boleh dijual beli atau diagih-agihkan kepada sesiapa pun, sama ada sebagai hadiah atau pemberian. Kedua, membezakan antara jizyah dengan kharaj. Berbeza dengan zaman pemerintahan `Abdul Malik dan al-Walid, pada zaman pemerintahan Khalifah `Umar, jizyah hanya dikenakan atas orang bukan Islam sahaja manajala kharaj dikenakan atas sesiapa sahaja yang memiliki tanah, sama ada orang Islam atau juga bukan Islam. Zakat pula hanya dikenakan atas umat Islam sahaja. Ketiga, memansuhkan segala jenis perayaan, upacara-upacara rasmi kerajaan, hadiah-hadiah kepada tetamu dan perbelanjaan lain yang menyebabkan pembaziran.
Dengan dasar ekonomi baharu inilah Khalifah `Umar telah berjaya membawa kemakmuran kepada negara sehingga sebagaimana masyhur diperkatakan, pada zaman pemerintahan baginda, tiada seorang pun yang layak menerima zakat disebabkan keselesaan hidup yang dinikmati oleh rakyatnya. Dari aspek siasah, `Khalifah `Umar menunjukkan sikap berbaik-baik dengan musuh-musuh kerajaan Bani Umayyah, bukan sahaja dari luar tetapi juga dari dalam, iaitu di kalangan orang Arab sendiri, termasuk kaum Khawarij. Khalifah `Umar mengambil pendekatan yang berbeza dengan pemerintah sebelumnya apabila baginda cuba mengadakan perbincangan dan perbahasan dengan kumpulan berkenaan. Hujah dan dalil kuat yang dikemukakan `Umar telah berjaya menyedarkan mereka dan baginda berjaya menamatkan penentangan mereka, iaitu satu-satunya pemberontakan yang dihadapi oleh baginda sepanjang tempoh pemerintahannya selama kira-kira dua setengah tahun.
Sesungguhnya peristiwa-peristiwa sejarah ini bukan sekadar rakaman peristiwa yang berlaku pada zaman silam tetapi ia mempunyai makna yang tersirat dengan mendalam di sebalik yang tersurat. Terpulang kepada kita untuk memanfaatkannya, iaitu sama ada untuk mencari panduan dalam menyelesaikan permasalahan, kemelut dan pertikaian yang timbul dalam kehidupan seharian, atau juga bagi mencipta kegemilangan serta kemajuan bahkan juga mengambil pengajaran daripada keruntuhan serta kemunduran yang pernah menimpa bangsa-bangsa silam. Perkara inilah juga yang ditekankan al-Qur’an. Bahawa manusia digesa merenung dan mengambil pengajaran daripada kemakmuran hidup kurniaan Allah s.w.t. kepada bangsa-bangsa terdahulu dan kemusnahan yang akhirnya menimpa mereka disebabkan perbuatan mereka sendiri.