Isu Gaza dan Palestin yang begitu mendapat perhatian kita ini mengimbau semula kaitan antara sains, teknologi dan saintis di dalam memupuk keamanan. Benarkah saintis sebagai kumpulan yang mencipta berbagai teknologi di atas nama “keobjektifan yang hakiki” tidak mempedulikan hal-hal kemanusiaan yang dianggap oleh mereka perkiraan politik yang subjektif. Sekurang-kurangnya inilah pandangan para pengkritik sains dan teknologi (S&T), khasnya dalam aspek penggunaan S&T yang membawa impak negatif kepada kehidupan seperti peperangan. Apapun sudut pandangan yang mendominasi para saintis dan para pengkritik mereka, hakikatnya adalah, apabila berlaku keganasan seperti yang kita hadapi di Gaza dan Palestin, S&T adalah mekanisma yang jelas digunakan di dalam peperangan dan kemusnahan yang berlaku. Di Malaysia sendiri sudah ada di antara media-media sosial yang “mengutuk S&T” dalam konteks negatif yang sedemikian. Dalam situasi yang sebegini kita tidak mahu masyarakat khasnya umat Islam keliru tentang S&T. Realitinya adalah S&T sebenarnya sebati dengan Islam dan Al-Quran itu sendiri. Walaupun tidak diterima pada mulanya seperti semasa era kolonial khasnya, hari ini ahli sejarah barat (bukan Islam) sendiri mewarwarkan sejarah berkembangnya S&T moden itu bermula dengan tamadun Islam itu sendiri. Dari tamadun inilah yang di antaranya berpusat di Andalusia (Sepanyol dan Sicily hari ini) munculnya berbagai ilmu S&T yang bersifat mesra alam dan melestarikan tamadun dan kemanusiaan. Namun hari ini sifat S&T yang asal tersebut telah tercemar sebahagiannya lantaran pandangan alam yang menjadi pendorong kepada S&T telah berubah daripada yang berlandaskan bimbingan akhlak dan etika dari Maha Pencipta kepada yang tidak bertuhan. Di tangan golongan kedua ini jadilah S&T alat mendapatkan kuasa dan keuntungan tanpa batas. Hujah inilah yang sebenarnya yang juga menjadi bahan bantahan para pengkritik sains barat seperti Jacques Derrida yang menekankan pengaruh politik ke atas sains. Bagi pihak sains, saintis seperti Paul Gross dan Norman Levitt pula menuduh para pengkritik mereka sebagai golongan yang tidak memahami sains dan teori-teorinya. Konflik pandangan antara dua kumpulan ini digelar peperangan sains/‘Sains Wars‘ dan berakhir dengan pemikiran yang menganggap sains dan nilai serta sains dan kemanusiaan sebagai “The Two Cultures” iaitu dua budaya yang berbeza yang tidak mungkin ada titik pertemuannya. Di dalam pandangan Islam, ilmu aqli (sains) dan naqli (wahyu) adalah sumber nilai dan akhlak yang tidak pernah terpisah dan hakikat ini perlu direalisasikan semula hari ini oleh para saintis. Apapun perbahasan intelektual tentang sama ada sains dan saintis mempunyai conscience/kesedaran, realitinya di dalam konteks semasa ialah ketenteraan merupakan bidang yang paling lumayan menerima dana untuk membuat kajian di negara-negara seperti Amerika dan Israel untuk tujuan mengekal dan menambahkan kuasa serta menambah dan menakluk sumber-sumber alam seperti air, tanah, minyak dan lain-lain dengan cara yang tidak adil. Kenyataan ini tidak sesekali menafikan manfaat yang begitu besar yang diberi oleh sains pada manusia, namun kezaliman yang berlaku di Gaza dan Palestin sememangnya berlaku melalui S&T. Dalam konteks Gaza dan Palestin, pengaruh besar S&T dapat dilihat melalui perkara-perkara berikut; kos operasi ketenteraan di Gaza selama serangan 30 hari dianggarkan USD 2.5 Billion, lebih 2000 orang rakyat Gaza meninggal dunia dan lebih 10,000 orang awam tercedera. Di pihak Israel pula hanya 50 orang tercedera (hanya 2 orang awam yang lainnya anggota tentera). Di antara sebab jumlah mangsa di sebelah Israel lebih rendah ialah mereka menggunakan teknologi robotik dan drone/kenderaan tanpa pemandu di dalam operasi ketenteraan mereka. Penggunaan berbagai teknologi canggih di samping dua teknologi ini amat mengurangkan risiko kematian anggota tentera di samping memudahkan mereka menyelinap masuk melakukan tinjauan di kawasan yang dikawal Hamas. Penggunaan teknologi canggih juga membolehkan mereka memantau keadaan di Gaza dan Palestin di ruang udara, air, tanah dan juga di bawah tanah. Kesimpulannya S&T telah menyumbang kepada keganasan di Gaza. Tetapi, seperti juga bidang-bidang ilmu yang lain seperti undang-undang dan ekonomi misalannya dan seperti yang telah disebut sebelum ini; pokoknya ialah, bukan S&T yang patut dipersalahkan tetapi nilai yang menjadi asas/pendorong penggunaan S&T tersebut. Natijahnya, umat Islam dan masyarakat-masyarakat yang menghormati nilai-nilai kemanusiaan harus memastikan S&T berada di landasan yang betul. Sebenarnya memang wujud kumpulan-kumpulan saintis yang mempunyai pegangan ini dan saintis Muslim seharusnya mencontohi mereka dan bekerjasama dengan mereka. Di antara kumpulan saintis yang memperjuangkan keamanan dengan cara memastikan S&T seperti bahan nuklear yang digunakan untuk senjata peperangan disekat penggunaannya termasuklah SANA (Scientists Against Nuclear Arms), INESAP (International Network of Engineers and Scientists Against Proliferation), IWMDC (International Weapons of Mass Destruction Commission), IPPNW (International Physicians for the Prevention of Nuclear War) dan WFSW (World Federation of Scientific Workers) misalnya. Organisasi-organisasi ini pula mempunyai jaringan kerjasama dengan persatuan-persatuan profesional yang berkaitan dengan S&T yang lain seperti International Radio and Television Organization. Aktiviti-aktiviti kumpulan-kumpulan ini termasuklah mengadakan kongres dan protes terhadap kezaliman-kezaliman seperti yang berlaku di Gaza dan Palestin.
Terkini, melalui sebuah jurnal saintifik perubatan yang sangat masyhur iaitu ‘The Lancet‘ telah disiarkan sebuah artikel yang bertajuk “An Open Letter to the People of Gaza” (Surat Terbuka bagi Pihak Penduduk Gaza) pada 23 Julai 2014. Jurnal atau majalah “The Lancet” ini amat dihormati dan mempengaruhi fikiran ratusan ribu saintis di seluruh dunia. Artikel Surat Terbuka tersebut telah ditulis oleh saintis Paola Mandusa dan Ian Chalmers bagi pihak 24 orang rakan-rakan saintis mereka bagi menerangkan bagaimana sebagai saintis profesional, mereka amat mengutuk tindakan dan serangan Israel ke atas Gaza. Mereka menjelaskan kezaliman yang berlaku patut dikutuk oleh semua pihak dan mitos yang dipropagandakan oleh Israel bahawa serangan mereka tersebut ialah di atas dasar mempertahankan diri adalah satu penipuan. Artikel ini juga turut membutirkan berbagai fakta dan maklumat tentang penderitaan jasmani, emosi dan psikologi sosial serta ekonomi rakyat Gaza dan Palestin. Paola dan rakan-rakan amat merasakan rintihan rakyat Gaza yang menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai apa-apa lagi – pilihan yang ada pada mereka hanyalah untuk terus berjuang untuk hak untuk hidup atau mati dalam proses mencuba. Artikel ini turut menggaris-bawahkan bahawa hanya 5 peratus daripada rakan saintis mereka di Israel yang menandatangani rayuan kepada kerajaan Israel untuk menghentikan operasi ketenteraan atas Gaza tersebut. Kepada Paola dan rakan-rakan ini bererti bahawa 95% saintis Israel yang lainnya menyokong pembunuhan beramai-ramai di Gaza tersebut. Mereka juga amat menyesali peranan negara-negara Eropah dan Amerika Utara di dalam kemusnahan ini serta kegagalan sekali lagi institusi dan organisasi antarabangsa untuk menghentikan kezaliman ini. Sebenarnya bukti menunjukkan seluruh dunia mengutuk tindakan Israel seperti yang tertera di dalam berbagai laman sesawang. Gambar-gambar ratusan protes di pelbagai bandaraya utama di negara-negara Afrika, Australia, Eropah, Asia dan Amerika Selatan dan Amerika sendiri boleh dilihat dengan mudah di laman media. Sebagai kesimpulan, masyarakat amnya dan saintis khasnya perlulah memainkan peranan yang lebih aktif di dalam memastikan S&T bukan menjadi alat pemusnah seperti yang berlaku di Gaza.
“Dan ada di antara manusia yang membantah tentang Allah tanpa pengetahuan, tanpa petunjuk, dan tanpa mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran.” (Surah Al-Hajj: Ayat 8)