Kita telahpun berada hampir di penghujung Syawal yang mulia. Hari ini juga kita berada dalam bulan sambutan Kemerdekaan bagi Malaysia yang ke-57 tahun. Syawal yang kita nikmati pada hari ini merupakan Syawal yang sederhana dengan memperingati tragedi yang menimpa pesawat Malaysia MH 370 dan MH 17 serta Perang 10 Ramadhan di Gaza.
Malaysia sebuah negara berdaulat yang merdeka, namun telah menjadi mangsa kepada peperangan negara lain. Akibatnya nyawa manusia yang tidak berdosa menjadi mangsa. Bahkan secara jujurnya kita tidak mampu melakukan apa-apa sama ada melalui sekatan ekonomi, pemulauan dan seumpamanya melainkan menggesa agar siasatan yang adil dijalankan segera.
Begitu juga keadaan bagi negara Palestin di Gaza khususnya, sebuah negara yang sekian lama wujud namun masih lagi dijajah secara ketenteraan pada zaman moden dan diplomasi hari ini. Akibatnya sedikit demi sedikit tanah Palestin hilang dari peta dunia dengan masyarakat dunia umumnya hanya memerhati. Lebih malang jiran terdekat, yakni saudara seagama dan sebangsa memilih hanya untuk berdiam diri bahkan menghalang bantuan untuk disalurkan tanpa alasan yang kukuh.
Selain kesedihan yang menyelubungi hati, ketiga-tiga peristiwa ini menjadi iktibar akan hakikat ‘kemerdekaan’ bagi sesebuah negara. Sekalipun sesebuah negara itu telah mencapai kemerdekaan, kelemahan dalam ekonomi, ketenteraan, perpaduan dan politik boleh menjejaskan hakikat ‘kemerdekaan’ tersebut.
Saiz sesebuah negara termasuklah populasinya juga boleh menjadi faktor kekuatan negara tersebut. Hal demikian merujuk kepada modal insan yang ramai yang boleh menyumbang kepada kekuatan sesebuah negara. Sungguhpun demikian, terdapat perkara-perkara lain yang boleh menjadi ‘tulang belakang’ sesebuah negara bagi menjamin kemerdekaan dan hak kedaulatannya.
Mengambil contoh jiran terdekat kita Singapura dengan populasi sekitar 5.4 juta penduduk lebih kurang lima kali lebih kecil dari saiz populasi di Malaysia muncul sebagai kuasa besar ekonomi di rantau ini. Di antara faktor yang menyumbang kepada keadaan ini adalah disebabkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, faktor nilai tambah dalam produktiviti, penawaran pendapatan tinggi dan hubungan ekonomi antarabangsa yang kukuh.
Mempunyai keadaan geografi dan kepelbagaian kaum dan agama yang hampir sama dengan Malaysia, SIngapura mengambil pendekatan tegas dalam menjaga keharmonian perpaduan mereka menerusi dasar kenegaraan, pendidikan dan undang-undang. Faktor-faktor inilah telah menjadikan Singapura muncul sebagai satu negara yang kuat dari segi ekonomi dan masyarakatnya sekaligus kedaulatan negaranya dihormati.
Sekalipun berkongsi hampir sama ciri-ciri negara dan penduduknya, tidak boleh dinafikan perbezaan dari segi sejarah, kontrak sosial dan nilai masyarakat yang menjadikan Malaysia sedikit unik berbanding Singapura. Namun begitu beberapa ciri positif boleh kita teladani daripada jiran terhampir terutama dari segi ekonomi bagi mengukuhkan nilai ‘kemerdekaan’ yang kita miliki hari ini.
Keunikan Malaysia yang mempunyai pelbagai agama dan kaum seharusnya menjadi kekuatan kepada negara bukan sebaliknya. Malangnya pada hari ini kita melihat terdapat pelbagai isu dan insiden merentasi kaum dan agama yang bagaikan sengaja ditimbulkan sekaligus meniup api kebencian dan prejudis dalam masyarakat. Perbuatan menghina agama, mengaitkan pesalah dengan agama dan bangsanya dan diskriminasi bangsa semakin berleluasa dan menjadi trend oleh sebahagian ahli masyarakat.
Keadaan bertambah buruk apabila perpecahan dalam kalangan bangsa sendiri semakin diamalkan terutama sekali oleh umat Islam. Insiden yang memalukan ini menunjukkan kita tidak lagi meletakkan agama sebagai penyatuan. Sebaliknya memilih hawa nafsu untuk dijadikan panduan dalam kehidupan.
Allah telah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 3 yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyyah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara.
Ayat di atas menunjukkan betapa perlunya perpaduan dalam kalangan umat Islam atas nama agama. Bahkan Islam juga mengehendaki umatnya untuk mengekalkan perpaduan dalam masyarakat setempat tanpa mengira agama dan bangsa. Asas perpaduan bermula dengan unit yang paling kecil yakni keluarga seterusnya dalam masyarakat dan kepimpinan negara.
Kita boleh memiliki pelbagai pandangan dan pilihan namun kita semua boleh bersetuju untuk tidak bersetuju tentang sesuatu perkara. Prinsip hormat-menghormati dan sentiasa berpegang teguh kepada semangat kekitaan boleh menjamin kesepaduan masyarakat sekalipun berada dalam situasi yang tegang.
Sesungguhnya Malaysia masih lagi perlu berusaha mencapai kekuatan ekonomi, politik, dasar kenegaraan dan masyarakat untuk menjadi banteng pertahanan kedaulatan. Jika ketiga-tiga peristiwa ini masih belum mampu menjadi iktibar untuk mengikat hati rakyat Malaysia untuk bersatu-padu, maka sesungguhnya sukarlah bagi generasi masa hadapan untuk merasai nikmat ‘kemerdekaan’ yang hakiki.