Sebagai manusia, kita bertanggungjawab menjadikan kehidupan kita sebagai sesuatu yang bermakna dengan mewujudkan cita-cita dan matlamat unggul, dan berusaha dengan bijak dan bersungguh-sungguh demi mencapainya. Tanpa menafikan bahawa makna kehidupan adalah untuk menikmati keindahan yang terdapat di dalamnya.
Apa pun yang perlu kita lakukan atau apabila kita mempunyai kehendak, membuat perancangan adalah perkara yang sangat perlu. Contohnya apabila seseorang berhasrat untuk melaksanakan ibadah haji, sebagai suatu tanggungjawab yang dilaksanakan oleh setiap Muslim sekiranya berkemampuan, perancangan yang tersusun perlu diwujudkan. Bermula dari membuat tabungan, mempelajari cara untuk beribadah haji sehinggalah kepada sekecil-kecil perkara seperti hal penjagaan harta yang ditinggal semasa berada di tanah suci.
Perancangan tersusun perlu dibentuk supaya matlamat-matlamat dalam kehidupan dapat dicapai dengan jayanya dan ia menjadikan kehidupan yang dilalui merupakan kehidupan yang selesa dan tenang. Sebaliknya, manusia yang mempunyai kehendak tertentu tetapi tidak membuat perancangan akan sentiasa berada dalam keadaan kelam-kabut, sentiasa kekurangan wang malah mungkin hutang juga sentiasa bertambah.
Sehubungan itu, perancangan amat berkait rapat dengan faktor masa. Merancang dengan teliti akan menjadikan masa digunakan secara optimum dan tidak berlaku pembaziran. Sebagai seorang Muslim kita seharusnya dapat menerima kata-kata Hassan al-Banna yang menyatakan bahawa tanggungjawab seorang Muslim itu lebih banyak berbanding masa yang dimilikinya. Hatta terdapat pepatah Cina yang mengatakan masa itu emas tetapi emas tidak mampu untuk membeli masa. Betapa ini menunjukkan masa adalah sesuatu yang sangat berharga dalam kehidupan. Begitu juga dengan pepatah Arab yang bermaksud bahawa sesungguhnya masa itu ibarat pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya, dia akan memotong kamu.
Antara ciri-ciri manusia yang beriman ialah mereka tahu untuk menghargai masa. Penghargaan terhadap masa akan menyebabkan seseorang tidak akan melakukan perkara yang sia-sia apatah lagi perkara-perkara yang merugikan bagi diri, agama dan masyarakatnya. Keimanan seseorang akan melahirkan matlamat dan cita-cita yang jelas. Cita-cita, hasrat atau matlamat yang jelas tidak akan terbiar tanpa sebarang usaha. Usaha tersebut adalah himpunan tindakan bijaksana yang semuanya disusun dengan kemas mengikut kesesuaian urutan masa dan keadaan.
Dalam pada itu, setiap orang tentu memiliki matlamat yang unggul dalam tempoh tertentu yang memakan masa; atau perancangan jangka panjang. Dan sebenarnya, perancangan jangka panjang adalah matlamat utama (ultimate goal) kepada perancangan-perancangan jangka pendek seseorang. Ibarat mereka yang bercita-cita hendak mendaki ke puncak Gunung Everest, mereka akan mempunyai kem-kem induk (base camps) pada ketinggian tertentu untuk menjana tenaga dan membuat persediaan untuk mara ke peringkat atau ketinggian seterusnya. Barulah akhirnya mereka bermati-matian mengerah tenaga untuk menyempurnakan pendakian sebagai puncak cita-cita yang sebenar.
Perancangan seharusnya bersifat terancang sebagai suatu daya fikir membina persediaan dan pendekatan usaha secara teratur. Perancangan seharusnya bersifat lentur supaya peralatan atau sumber yang dimiliki atau yang digunakan oleh perancang boleh disesuaikan penggunaannya mengikut perubahan keadaan. Perancangan yang berkesan juga seharusnya memiliki modal yang berekonomi atau berhemat sifatnya.
Matlamat juga seharusnya jelas dan bersifat munasabah. Bagi seorang Muslim matlamat itu secara mudahnya adalah matlamat-matlamat yang selari dengan tujuan Syariah. Ini kerana kehidupan di dunia ini akan berakhir dengan menuju hari akhirat; sebagai tempat dan waktu perhitungan dosa pahala manusia. Perancangan itu juga perlu melalui aliran yang tidak bercanggah dengan agama dan norma-norma masyarakat. Syariah telah memberi garis panduan dan kaedah-kaedah tertentu yang boleh diambil dan digunakan, dan ia tidak seharusnya melangkaui lingkungan yang ditetapkan. Maka untuk melaksanakan ibadah atau hendak mencari kejayaan dunia, kita tidak boleh menggunakan barangan curi, menipu, berjudi atau sepertinya.
Lima pesanan serangkai yang disampaikan Baginda Rasulullah SAW kepada umat Baginda; sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati, yang selalu didendangkan kepada kita sejak kita mula mengenal dunia sebenarnya adalah asas paling baik dalam kita membina sebarang perancangan untuk mencapai matlamat kehidupan yang diredai Allah SWT. Maka antara yang kita boleh rumuskan di sini; perancangan dan matlamat harus seiring sifatnya, iaitu bersifat syarii. Malah, tentunya Allah memberi kedudukan dan martabat yang lebih tinggi kepada usaha kita sekiranya matlamat yang hendak dicapai itu merupakan matlamat yang memberi kebaikan bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada orang lain juga.
Sebagai kesimpulan kepada perbincangan ini, kita harus menggunakan peluang dan juga kesempatan yang ada untuk mencipta cita-cita atau matlamat yang murni. Demi mencapai matlamat tersebut, maka seharusnya perancangan yang baik dan teratur dibina supaya kita tidak akan merasa kesal apabila peluang atau kemudahan sudah tiada. Dari satu sudut yang lain, jangan pula kita menyesali peluang dan kemudahan yang kita biarkan sebelum ini sehingga kekesalan tersebut menjadikan hati kita berat untuk bertindak. Jadikan ia sempadan agar pada masa akan datang kita tidak mengulanginya, malah adalah lebih bijak sekiranya kita menjadikannya sebagai pencetus untuk bertindak dengan lebih deras supaya kita dapat menebus semula kesilapan masa lalu. Sambutlah kedatangan setiap hari esok dengan doa dan harapan agar Allah memberikan kita kebaikan di dunia dan di akhirat.