BANYAK peristiwa berdarah yang sedang berlaku di dalam dunia pada hari ini yang melibatkan negara dan orang Islam. Peristiwa ini sesungguhnya amat mendukacitakan kita, kerana ia berlaku ketika dunia sedang berada di akhir abad dan di akhir alaf yang telah menyaksikan kebangkitan negara Islam dan umat Islam membebaskan diri daripada penjajahan politik dan ekonomi, sungguhpun banyak di antaranya yang menghadapi berbagai-bagai kemelut pemikiran yang melibatkan kekacauan sikap dan pandangan.
Kekacauan dan pergeseran berdarah yang berlaku di dalam negara Islam dan masyarakat Islam pada masa ini sesungguhnya menyentuh maruah dan reputasi kesucian Islam dan umat Islam sendiri.
Peristiwa berdarah yang berlaku di negara jiran kita umpamanya melibatkan kehilangan nyawa yang dibayar akibat daripada berbagai-bagai kemelut dalaman dan luaran yang tidak terurus dengan baik.
Kocakan emosi dan perasaan, terutamanya di kalangan orang orang muda yang panas darahnya, menyebabkan banyak perkara yang tidak terkawal, peraturan dan undang-undang yang dicabuli dengan sewenang-wenangnya, sehingga negara kelihatan seperti layang-layang terputus talinya.
Sesungguhnya kekacauan yang berbentuk keganasan tidak dapat memprojekkan satu imej yang baik, terutamanya jika dipandang daripada perspektif agama yang sentiasa melambangkan perdamaian, toleransi dan permuafakatan yang berteraskan kepada perundingan dan jalan keamanan.
Umat Islam tidak sanggup lagi menghadapi kekacauan yang selama ini sering dihubungkan dengan gerakan melampau golongan radikal Islam, yang dipanggil golongan fundamentalis, ekstremis dan sebagainya oleh pihak musuh Islam.
Imej Islam yang sering dikaitkan dengan pertempuran berdarah, keganasan terhadap orang-orang yang tidak berdosa dan berbagai-bagai tuduhan lain lagi, terutamanya oleh musuh Islam di dalam politik dan media, tidak dapat kita kikiskan berhabis-habisan sekiranya realiti dalam masyarakat Islam masih menonjolkan imej negatif itu, dan masih secara terang-terangan memprojekkan orang Islam sebagai orang orang yang amat emosional dan mudah mengikut perasaan melulu.
Memang ada ketikanya orang Islam menjadi emosional dan hilang pertimbangannya kerana terdapat tekanan dan penindasan yang tertentu, terutamanya dari pihak penjajahan moden seperti yang berlaku di Palestin dan di beberapa buah negara Balkan, tetapi cara penentangan yang dilakukan dan sasaran yang menjadi mangsanya kelihatan tidak tepat dan tidak mempunyai struktur yang strategik sesuai dengan dasar perjuangan moden dan bertamadun.
Malah dalam keadaan terdesak begini pun orang Islam lebih rela berpecah sesama sendiri yang hanya menguntungkan pihak musuh dan penjajah baru yang sememangnya menginginkan perpecahan orang Islam.
Kejadian terbaru yang amat mendukacitakan kita di dalam dunia Islam ialah pembunuhan yang berlaku sesama orang Islam kerana perselisihan mazhab agama. Penyembelihan sesama Islam yang berlaku di Pakistan merupakan satu tragedi yang mengaibkan air muka agama dan penganutnya. Perlukah diselewengkan konsep perpecahan mazhab di kalangan umat Islam, dalam konteks ini, di antara Ahli Sunah Waljamaah dan Syiah, sehingga para pengikutnya melakukan ”jihad” sendiri-sendiri dan menyerang serta membunuh para penganut lain atas alasan perpecahan mazhab?
Rujuklah kepada ajaran Islam di dalam kitab suci al-Quran, Sunah Rasulullah s.a.w dan berbagai-bagai sumber warisan ulama Islam, maka kita tidak akan ketemu sebarang alasan untuk menghalalkan pembunuhan sesama sendiri, atau mengambil langkah ganas yang keras dan melampaui had semata-mata kerana ingin menegakkan satu perjuangan sempit dan fanatik melulu. Hal ini menjadi lebih menyedihkan kerana alasan yang digunakan untuk membolehkan pembunuhan itu sering kali dihubungkan dengan ”perjuangan” agama.
Kalau ia benar-benar ”perjuangan” agama, apakah sasaran keganasan itu benar-benar merupakan ”musuh” agama pula yang boleh dibunuh dan dicederakan? Islam mempunyai panduan yang jelas siapakah musuh sebenarnya kepada Islam yang boleh dihukum dengan hukuman-hukuman tertentu.
Islam tidaklah merupakan satu agama yang kejam sehingga membenarkan penganutnya membunuh orang secara sewenang-senangnya. Malah dalam apa keadaan sekali pun Islam tetap mempunyai undang-undang dan peraturan yang keseluruhannya menuju kepada keadilan dan perdamaian.
Kita mengetahui bahawa satu idaman manusia yang paling mahal dan sukar dicapai dalam abad dan alaf baru ialah perdamaian dan keamanan. Seperti yang telah saya sentuhkan di dalam ruangan ini minggu lalu, bahawa dunia abad dua puluh dan alaf kedua telah menyaksikan kepelbagaian peperangan dan keganasan yang meragut lebih daripada dua ratus juta nyawa manusia. Manusia menjadi korban Peperangan Dunia Pertama dan Kedua, perang saudara disebabkan perbezaan kaum, etnik, agama dan lain-lain.
Manusia menjadi umat yang dilanda kelaparan, penyakit, kesengsaraan, yatim piatu, kehilangan orang-orang yang disayangi, semata-mata kerana ada orang yang tidak berperikemanusiaan, tamak, fanatik dan sebagainya.
Maka dalam masyarakat Islam, kita merasa cukup tersepit dengan dasar penjajahan di berbagai-bagai negara Islam, yang terakhirnya, di Bosnia, Kosovo dan kini di Chechnya, di mana orang-orang Islam didera, dibunuh, dihalau dari rumah tangga dan negaranya.
Apakah dalam penderitaan yang tidak berkesudahan ini pun kita masih mahu bercakaran dan bertelagah sesama sendiri tanpa sebab konkrit dan rasional? Apakah persepsi sendiri yang penuh diwarnai dengan sikap angkuh dan sombong itu perlu diperjuangkan mengatasi segala perjuangan suci demi untuk kepentingan agama dan umat yang lebih tinggi dan menyeluruh?
Syukurlah kalau kita rakyat Malaysia, dan umat Islam khususnya, masih memahami kedudukan kita sebenarnya, dan masih mahu mengambil jalan damai dan aman seperti yang dituntut agama kita dalam memperjuangkan apa sahaja agenda kita, terutamanya agenda agama yang sebenarnya adalah merupakan agenda umat Islam keseluruhannya di negara kita.
Kita tidak perlu mengetepikan undang-undang, peraturan, tatasusila bangsa dan budaya sendiri dalam menuntut hak masing-masing. Peliharalah tradisi umat Islam di negara kita yang selama ini sentiasa mengambil jalan damai dan aman, tenang dan tenteram dalam segala pergerakan dan perjuangan kita.
Oleh kerana perdamaian dan keamanan menjadi idaman semua orang di dunia ini, maka kita haruslah bersyukur kerana kita masih dapat menikmati dan mengecapi kemanisan hidup yang aman damai itu.
Sebaliknya, segala sesuatu yang membawa kepada tergugatnya keamanan dan keharmonian itu haruslah dielakkan oleh semua golongan dan lapisan rakyat.
Kita selamanya tidak akan menghargai keamanan yang dituntut oleh agama sekiranya kita tidak pernah merasa bagaimana pahitnya hidup di dalam peperangan dan kekacauan. Sebab itulah, sebarang tanda-tanda keganasan dan kekacauan yang berlaku di negara kita, terutamanya atas nama perjuangan agama, amat merisaukan orang awam dan membimbangkan kita semua, malah amat tidak sejajar dengan ajaran dan etika agama kita sendiri.