Aliran pembangunan intelektual di kalangan sebahagian besar pelajar kita di institusi pengajian tinggi kelihatan agak negatif dan membimbangkan. Kecenderungan melihat sesuatu isu secara hitam putih iaitu dalam orientasi hukum dari segi baik atau tidak baiknya, salah atau benarnya, kelihatan seperti mengeluarkan fatwa dalam masalah fikah, iaitu halal atau haram, dan balasannya syurga atau neraka.
Sikap seorang intelek sepatutnya lebih banyak diwarnai oleh analisis ilmu pengetahuan, bukan aliran menghukum tanpa ilmu pengetahuan dan pemikiran yang adil dan bijak. Keadaan ini menimbulkan kebekuan ilmu dan amat berbahaya dalam perkembangan dan pembangunan intelektual kita dalam era kebangkitan sains dan teknologi yang amat kritikal pada masa kini dan masa akan datang.
Kehadiran sikap dan pendirian yang fanatik dalam menganalisis sesuatu isu secara yang amat simplistik ini pada umumnya berlaku kerana pemikiran generasi muda itu telah dicemarkan oleh aliran dan anutan fahaman politik partisan yang amat menebal di dalam jiwa mereka.
Kalaupun hal ini tidak merupakan keseluruhan sebab-musabab tercetusnya pemikiran dan pendirian sempit tersebut, namun ia telah menjadi satu fenomena yang amat jelas dalam membentuk pandangan dan persepsi anak muda yang sering mempunyai idealisme yang tinggi, yang kadang-kadang disogokkan kepada mereka sebagai satu agenda perjuangan tanpa menyedari realiti sosial, ekonomi dan politik secara menyeluruh.
Mereka sering mengomong-omongkan idealisme yang indah-indah dalam perjuangan dan cita-cita, iaitu dengan meletakkan sesuatu yang sempurna dan lengkap dalam membentuk dan membangun negara umpamanya. Tetapi dalam masa yang sama mereka tidak menyedari tentang beberapa masalah dan kenyataan yang harus dihadapi dalam proses mencapai idealisme tersebut dan bagaimana proses itu memerlukan ilmu dan hikmah yang amat tinggi terutamanya dalam mengatasi cabaran-cabaran semasa dan hambatan-hambatan yang timbul dari semasa ke semasa.
Tidak syak lagi bahawa pendirian dan cara berfikir beginilah yang sering mempengaruhi anak muda kini dan menjadi salah satu unsur yang besar dalam pembentukan minda dan sikap mereka, termasuk para pelajar yang sedang membangun daya intelektualnya.
Dalam satu majlis merayakan empat puluh empat tahun kemerdekaan negara yang diadakan dengan sekumpulan pelajar luar negara yang sedang menyambungkan pelajaran di sebuah universiti tertua dan terkemuka di dunia dalam bidang pendidikan agama, nampaknya aliran pemikiran seperti ini sedang menguasai minda sesetengah daripada mereka.
Sikap dan pandangan yang sempit ini mengongkong pemikiran mereka sehingga dalam mengukur kemerdekaan negara, isu ekonomi, perindustrian dan pembangunan sains dan teknologi, pendidikan dan sebagainya tidak mendapat penghargaan dan pengiktirafan sebagai ciri-ciri kemerdekaan negara yang penting.
Mereka kelihatan tidak berminat untuk membicarakan program peningkatan pendidikan negara, penonjolan negara dalam bidang perindustrian dan perusahaan melalui syarikat Petronas, Proton, Porla dan sebagainya. Malahan pembangunan pendidikan negara sendiri yang menimbulkan banyak isu dan persoalan tentang kuantiti dan kualiti para pelajar Islam dan Melayu yang agak kritikal.
Semua kemajuan dan pencapaian dalam bidang tersebut nampaknya merupakan pencapaian remeh-temeh yang tidak perlu dibicarakan sebagai agenda kemerdekaan, sama seperti melihat pembangunan fizikal negara yang tergambar dalam bangunan Putrajaya, Menara Berkembar Petronas dan sebagainya yang dianggap sebagai pembangunan yang tidak Islamik.
Sebaliknya, negara masih dianggap belum merdeka atau masih berada di zaman pramerdeka disebabkan oleh beberapa masalah dan gejala sosial yang melibatkan moral dan akhlak para remaja, mulai daripada gejala bohsia dan bohjan, pembuangan bayi dan seks di luar nikah, membawa kepada gejala black metal yang melibatkan para pelajar akhir-akhir ini.
Senarai kerosakan moral dan penyelewengan akhlak ini merupakan penyakit besar negara, dan teras kerosakan yang menunjukkan bahawa negara belum lagi merdeka, malah negara masih berada di zaman pra-merdeka pada pandangan mereka.
Persoalan moral dan akhlak ini merupakan ukuran utama yang mengatasi segala ukuran lain untuk menentukan sama ada negara kita telah merdeka atau masih berada di era pramerdeka. Dalam mengimani sepenuhnya dengan persepsi ini, maka segala kemajuan lain yang telah dicapai negara, termasuk kejayaan negara melepaskan diri daripada perangkap Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) atau Bank Dunia yang merupakan jentera penjajahan baru yang melibatkan sistem penindasan ekonomi dan memerangkap negara Islam dalam amalan riba yang amat tinggi, tidak mahu dimengerti dan difahami dengan sebaik-baiknya.
Bicaralah apa sahaja mengenai Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Negara, atau hak istimewa orang Melayu, isu kuota pelajar Melayu di IPT dan persoalan meritokrasi, malah kedaulatan Islam sendiri yang dilindungi oleh Perlembagaan kita, maka pembicaraan ini tidak berdaya memberikan sebarang erti apa-apa kepada mereka, dan tidak termasuk dalam kriteria negara merdeka.
Bagi mereka satu kepincangan dalam negara yang melibatkan satu masalah masyarakat telah cukup untuk menjadi bahan bagi menuding jari mencari kesalahan negara secara membuta tuli tanpa berhikmah dan berilmu sama sekali.
Sekiranya masalah moral dan salah laku masyarakat yang menjadi ukuran sama ada sebuah negara itu telah merdeka atau tidak, maka ini bererti semua negara di dunia ini belum lagi merdeka, termasuk semua negara Islam yang semuanya sedang mengalami masalah yang sama. Di samping itu apakah masalah moral merupakan masalah negara keseluruhannya, tanpa menyedari tanggungjawab institusi masyarakat lainnya seperti keluarga, pendidikan, media dan sebagainya.
Atas hujah mana sekalipun, maka pemikiran mudah berpaksikan simplistik dan logik sempit ini merupakan gejala besar yang amat berbahaya kepada pembangunan intelektual dan keilmuan generasi muda kita pada hari ini. Yang lebih membimbangkan ialah aliran ini kelihatan sedang menjalar sebagai wabak di dalam minda anak-anak muda kita, dengan disirami oleh mesej politik partisan yang amat lebat sehingga membuahkan rasa fanatik dan taksub yang amat berbahaya, dan bakal mewujudkan pertumbuhan intelektual Melayu yang amat beku dan tidak seimbang di dalam negara kita pada masa akan datang.
Para pelajar dan anak muda yang terpengaruh dengan pemikiran sehala ini seharusnya dapat memikirkan bahawa apa yang sedang mereka perjuangkan itu bukanlah merupakan perjuangan mereka, tetapi perjuangan orang politik yang sedang berusaha mendapatkan kuasa. Perjuangan mereka sebenarnya ialah perjuangan dan jihad untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dan menanamkan ciri-ciri hikmah di dalam fikiran dan minda mereka.