Jurang komunikasi dan aliran pengetahuan yang terpisah antara golongan yang berada dalam bidang sains dan agama telah mengakibatkan beberapa fenomena yang membimbangkan dalam masyarakat pada masa kini. Antara fenomena yang dilihat ketara dan sering berlaku adalah penyebaran fahaman pseudosains.
Pseduosains merupakan suatu amalan yang mendakwa sesuatu dapatan yang diperoleh bersifat saintifik, namun kaedah yang digunakan untuk memperoleh dapatan tersebut tidak bertepatan dengan kaedah saintifik yang sebenar. Hal tersebut menjadikan dapatan tersebut diragui dari sudut kesahihannya. Namun, pendekatan seumpama ini dilihat kian berluasa dan tersebar dalam kalangan masyarakat.
Antara contoh yang dilihat berleluasa ialah: (1) bertambahnya golongan yang menolak imunisasi dengan menggunakan hujah yang tidak selari dengan kaedah saintifik, (2) pemasaran produk-produk makanan tambahan dengan dakwaan faedah-faedah yang tidak masuk akal, dan (3) peranan doula dalam amalan kelahiran di rumah yang tidak selamat. Perkara ini dilihat serius apabila pendukung kepada budaya sebegini terdiri daripada golongan menyandarkan pendirian kepada hujah agama.
Selain budaya pseudosains, turut berlaku pendekatan pseudo-maqasid dalam kalangan Muslim pada masa kini. Ia merupakan pendekatan yang mengaplikasikan prinsip-prinsip maqasid syariah ke atas sesuatu isu-isu sehingga melampaui kaedah-kaedah dan hukum-hukum yang muktamad dalam Islam. Pendekatan seumpama ini mendahulukan aplikasi sains dan teknologi atas dasar maqasid syariah sehingga mengabaikan nas-nas syarak.
Terdapat banyak faktor yang mendorong kepada fenomena ini. Antara faktor tersebut ialah keterpisahan disiplin agama dan sains terutamanya dalam sektor pendidikan. Berlaku keterpisahan yang jelas antara pengajian agama dan sains semenjak daripada bangku sekolah hingga ke pendidikan tertinggi. Keterpisahan ini mengakibatkan fenomena yang tidak sinergi antara mereka yang terlibat dengan disiplin agama dan sains seperti yang telah dinyatakan sebelum ini
Dalam kerangka kefahaman Islam, keterpisahan antara disiplin ilmu agama dan sains perlu dielakkan. Berhubung perkara ini, Islam menegaskan prinsip kesatuan antara ilmu naqli dan aqli sepanjang proses akademik. Berdasarkan prinsip kesatuan ini, Islam tidak menolak dan mengabaikan kaedah saintifik dalam proses akademik. Bahkan, ilmu-ilmu agama yang dibangunkan oleh para ulama pada masa dahulu seperti ilmu usuluddin, usul fikah, hadis dan falsafah Islam adalah berasaskan kaedah yang bersifat logik dan saintifik.
Pada masa yang sama, kesatuan ilmu agama dan sains merupakan sumber kekuatan spiritual dan etika dalam diri setiap manusia. Landasan yang disediakan oleh kaedah-kaedah agama memberi panduan kepada setiap pembuatan keputusan dan pengaplikasian ilmu sains agar ia dapat memberi manfaat dan mengelak mudarat.
Menyedari akan kepentingan kesatuan ilmu agama dan sains, terdapat inisiatif dalam kalangan sarjana Muslim untuk membangunkan semula integrasi antara agama dan sains terutamanya dalam kurikulum pendidikan. Ia diusahakan dengan hasrat agar produk-produk sektor pendidikan yang dilahirkan mempunyai keunggulan sahsiah berserta tasawwur Islam yang jelas dalam berdepan dengan perkembangan arus sains dan teknologi pada masa akan datang.
Kesedaran dan usaha ini diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan kurikulum dan modul pendidikan yang menggabungkan ilmu agama dan sains. Banyak institusi yang giat melaksanakan kaedah penididikan sebegini. Namun, usaha-usaha pelaksanaan ini berlaku secara berasingan daripada satu dengan yang lain. Bagi memastikan usaha-usaha yang terpencil memberi impak yang besar kepada keseluruhan sektor pendidikan, ia perlu dibawa ke arus perdana.
Sebagai langkah mengarusperdanakan usaha-usaha pengintegrasian yang dilaksanakan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menganjurkan satu persidangan meja bulat dengan tema “Mengintegrasikan Agama dan Sains dalam Kurikulum Pendidikan.” Persidangan ini telah dianjurkan pada 11 Februari 2019 bertempat di Dewan Besar, Institut Kefahaman Islam Malaysia.
Persidangan meja bulat tersebut dianjurkan bertujuan untuk (1) memetakan usaha-usaha berkaitan pengintegrasian agama dan sains dalam pendidikan di Malaysia, (2) mengenal pasti modul-modul untuk mengintegrasikan agama dan sains dalam pendidikan, dan (3) membincangkan kaedah-kaedah untuk menanam nilai ke dalam sains melalui pendidikan.
Dalam persidangan tersebut, beberapa modul dan kaedah pengintegrasian agama dan sains dalam kurikulum pendidikan telah diwacanakan. Antaranya ialah: (1) “Modul Biodai” sebagai kaedah mengitegrasikan ilmu agama ke dalam pengajaran subjek biologi, (2) penerapan aspek sains kesihatan ke dalam pengajaran subjek pendidikan Islam, dan (3) kaedah Islamisasi dalam pengajaran ilmu perubatan dalam pengajaran.
Kesemua modul dan kaedah yang diwacanakan merupakan usaha-usaha yang murni. Para peserta yang terdiri daripada penyelidik, pensyarah, guru dan pegawai kerajaan melahirkan rasa gembira dengan usaha pengingtegrasian agama dan sains dalam pendidikan terutamanya untuk menambah baik mutu akhlak pelajar pada masa kini.
Namun, dalam langkah untuk melaksanakan integrasi agama dan sains dalam kurikulum pendidikan pada skala yang lebih besar, pelbagai langkah susulan perlu dirangka dengan melibatkan pelbagai pihak yang berkepentingan.
Oleh yang demikian, pakar-pakar terutamanya yang berada dalam bidang penyelidikan perlu berinteraksi secara rapat dengan guru-guru yang melaksanakan modul pengajaran yang mengintegrasikan agama dan sains. Interaksi ini penting untuk memastikan agar para penyelidik dapat menyalurkan input untuk memperkasa agenda integrasi agama dan sains dalam kurikulum pendidikan.
Selain itu, para pembuat dasar juga memainkan peranan yang besar dalam usaha integrasi ini, terutamanya dalam membantu memudahkan urusan kerjasama dan penyelerasan berhubung perkara ini.
Akhir sekali, keyakinan dan kepercayaan pihak yang berada dalam bidang agama dan sains terhadap agenda integrasi ini penting bagi memastikan ia dapat dilaksanakan. Jurang komunikasi antara kedua-dua pihak ini perlu diatasi sebagai langkah yang utama sebelum menyemaikan kesepaduan ilmu agama dan sains dalam kurikulum pendidikan.