Perjalanan agung Rasulullah SAW dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa dan seterusnya ke Sidratul Muntaha merupakan satu tanda kebesaran Allah SWT dan juga mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW. Peristiwa ini dirakamkan di dalam Al-Quran melalui Surah Al-Isra’ di mana Allah SWT berfirman: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Al-Isra’, 17: 1).
Peristiwa israk mikraj ini mengandungi terlalu banyak pengajaran yang perlu diamati dan diambil iktibar oleh umat Islam. Ketika menceritakan pengalaman Baginda SAW kepada penduduk Mekah, ada dalam kalangan kaum Quraisy Mekah yang mentertawakan dan memperlekehkan. Ada juga segelintir dalam kalangan pengikut Rasulullah SAW sendiri yang murtad kembali. Namun mereka yang teguh aqidahnya tetap utuh di belakang Rasulullah SAW seperti yang dipamerkan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang tetap tegas dan yakin akan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Seharusnya, israk mikraj juga menjadi pengukuh kepada tautan ukhuwah antara umat Islam kerana keteguhan aqidah yang terbina melalui mukjizat ini menjadikan kita lebih kuat kerana memiliki keyakinan yang sama. Hubungan antara umat Islam yang saban hari diuji dengan pelbagai bentuk cabaran dan fitnah, jika tidak ditangani dengan baik, mampu menjadi bibit perpecahan dan mendatangkan musibah kepada umat. Perpecahan inilah yang amat diidamkan oleh musuh-musuh Islam.
Asas kepada ukhuwah di antara umat Islam ialah aqidah. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:
Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama; dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui. (At Taubah, 9 : 11)
Menurut Abdullah Nashih Ulwan, ukhuwah Islamiyah adalah tautan roh yang menghasilkan rasa kasih sayang yang mendalam dan kukuh, hormat, perlakuan yang santun dan lembut terhadap insan lain atas dasar iman dan takwa. Ia mampu menyatukan hati-hati dalam kalangan umat Islam. Adalah amat penting supaya titik persamaan dalam kalangan umat Islam itu diraikan dan sebarang perkara yang mampu membawa kepada bibit perpecahan ummah dielakkan dan jika ada, perlu diurus dengan sebaiknya agar tidak menjadi barah yang akan membinasakan ummah dan merosakkan imej Islam itu sendiri. Malangnya, saban hari, kita dipamerkan dengan pertelingkahan dan perbalahan dalam kalangan umat Islam. Bukan hanya dalam kalangan pemimpin politik, malahan ahli jawatankuasa masjid di peringkat kariah pun ada yang berbalah sehinggakan masjid yang sepatutnya menjadi tempat untuk memperkukuhkan ukhuwah berubah menjadi medan perpecahan.
Umat Islam perlu sedar bahawa memelihara tali persaudaraan dan memperkukuhkan ukhuwah serta rasa kebersamaan dituntut dalam agama. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Ali Imran, 3: 103)
Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.
(Hadis Riwayat oleh Bukhari dan Muslim)
Di dalam satu hadis yang merujuk kepada perkara yang sama, An-Nu’man bin Basyir RA, berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan seseorang Mukmin sesama Mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama satu badan. Apabila ada salah satu anggota badan yang menanggung kesakitan, maka seluruh badannya akan turut terjaga (tidak akan tidur) dan terasa panas (merasakan sakitnya).”
(Hadis Riwayat Al Bukhari dan Muslim).
Tanggungjawab memperkukuhkan ukhuwah ini terletak di atas pundak setiap umat Islam. Namun begitu, adalah amat penting jika pemimpin-pemimpin Islam itu sendiri menjadi teladan terbaik dalam usaha ini. Pemimpin di pelbagai peringkat, sama ada pemimpin negara dan masyarakat, perlu menyahut agenda pengukuhan ini agar Islam dilihat sebagai agama yang mampu menyatukan pengikutnya. Sebagai individu Muslim, kita seharusnya menyuburkan ketakwaan kita kepada Allah SWT agar kita sedar bahawa apa yang kita zahir kan dalam urusan di dunia ini, hanyalah bertujuan untuk mencari reda Allah SWT di akhirat kelak. Binalah rasa kasih sayang dan kebersamaan antara kita agar keutuhan ini mampu menjelmakan kepimpinan Islam yang adil dan dihormati terhadap masyarakat secara keseluruhan. Dengan ini, barulah Islam itu lebih dihormati oleh orang lain kerana berupaya melahirkan umat yang kukuh persaudaraannya dan kesatuannya berasaskan kekuatan aqidah dan nilai-nilai murni dalam agama.