Penemuan vaksin Covid-19 telah memberikan kelegaan dan nafas baharu kepada orang ramai di seluruh dunia. Ada kelihatan cahaya harapan yang meningkatkan keyakinan kita semua bahawa peperangan terhadap pandemik Covid-19 ini bakal berakhir secepatnya. Di samping meningkatkan tahap kesejahteraan dan keyakinan psikologi umat manusia seluruhnya, penemuan vaksin ini, turut memberi harapan kepada kestabilan dan kerancakan sistem ekonomi, seterusnya memberi peluang pekerjaan semula kepada rakyatnya yang kehilangan sumber pendapatan.
Tidak dinafikan bahawa sejak vaksin ini ditemui dan dilaksanakan, keberkesanannya telah terbukti diyakini. Beberapa laporan dari negara luar juga menunjukkan pengurangan kes baharu jangkitan bergejala dan jumlah kemasukan ke hospital serta peningkatan penyembuhan berbanding kematian. Contohnya, di negara Emeriyah Arab Bersatu, telah dilaporkan pengurangan kes bergejala yang dimasukkan di dalam wad hospital sejak vaksin tersebut diperkenalkan.
Di samping membantu dalam meningkatkan tahap kesihatan kita semua, kegusaran ekonomi turut bakal berakhir. Sehubungan dengan ini, negara telah pun melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada peringkat nasional agar semua rakyat mendapat suntikan vaksin Covid-19 secara percuma. Program ini bertujuan menjadikan sekurang-kurangnya 85 peratus rakyat yang telah menerima suntikan tersebut dapat membentuk imuniti kelompok seterusnya dapat mengawal, mengurang, dan menamatkan pandemik ini secara lebih berkesan lagi.
Sehingga kini, jumlah individu yang telah mendaftar untuk suntikan vaksin tersebut telah mencapai jumlah yang melebihi setengah juta. Harapannya agar jumlah pendaftaran ini terus meningkat lagi. Walau bagaimanapun, usaha ini memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak, khususnya dalam kalangan rakyat dan orang awam, agar imuniti kelompok dapat dicapai, seterusnya menghentikan jangkitan.
Jika ditinjau, jumlah pandaftaran untuk menerima suntikan vaksinasi dan imuniti ini menunjukkan satu trend yang memberangsangkan, dan jumlah ini perlu ditingkatkan lagi, namun, diharapkan juga jumlah mereka yang datang untuk menerima suntikan sejurus selesai mendaftar adalah turut memberangsangkan. Hal yang demikian kerana jumlah mereka yang mendaftar bukan penentu kepada jumlah mereka yang benar-benar sudi datang untuk mengambil suntikan tersebut. Keadaan ini turut berlaku di kebanyakan negara luar. Namun, diharapkan agar mereka yang mendaftar itu adalah benar-benar jujur untuk menerima dan mengambil suntikan tersebut pada hari yang bakal ditetapkan nanti.
Walaupun masyarakat seluruh dunia berasa gembira untuk mendapatkan suntikan vaksin ini, namun terdapat segelintir kelompok masyarakat yang enggan menerima suntikan tersebut. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di negara kita, malah juga berlaku di luar negara, seperti yang pernah dilaporkan di negara Ukraine pada 1 Mac 2021 lalu apabila Jabatan Kesihatan negara itu terpaksa membuang sejumlah vaksin Covid-19 yang telah diperuntukkan tetapi tidak digunakan kerana rakyatnya tidak datang untuk mengambil suntikan tersebut pada waktu yang telah ditetapkan.
Jika keadaan yang sama berlaku di negara ini, ia amat menyukarkan kerana bukan sahaja menyebabkan pembaziran, malah akan menggagalkan matlamat mewujudkan imuniti kelompok dan turut gagal menyekat jangkitan penyakit ini seperti yang diharapkan. Isu ini sewajarnya diuruskan sebaiknya pada peringkat awal lagi sebelum bertambah teruk dan menjejaskan usaha pihak kerajaan.
Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada segelintir rakyat yang didapati tidak bersedia untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19. Faktor tersebut perlu dianalisis dan ditangani secara halus memandangkan ia merupakan isu khusus berkaitan dengan pandangan dan pemikiran individu terbabit dan tidak boleh disamaratakan dengan individu lain. Kita tidak boleh menyimpulkan bahawa semua individu adalah sama. Yang boleh dilakukan adalah dengan memujuk mereka secara halus dan berhikmah tanpa menyentuh isu sensitiviti, yang sebaliknya hanya akan menjadikan mereka semakin menjauh lantas menggagalkan usaha ini. Yang kita mahukan ialah lindungi diri, lindungi semua. Kerjasama semua pihak diperlukan untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Antara faktor yang perlu ditangani ialah isu fobia terhadap vaksin Covid-19 itu sendiri. Meskipun dianggap seperti kes terpencil, namun ia sememangnya wujud dan memberi impak yang besar kepada kejayaan program imunisasi ini. Fobia vaksin ini berkaitan dengan keresahan dan kegelisahan emosi dan pemikiran individu terhadap vaksin Covid-19. Bagi mereka, situasi berkaitan pandemik ini bukan sahaja menyukarkan, malah juga menakutkan. Dalam kalangan mereka, keresahan dan kegelisahan inilah yang akhirnya menentukan tahap kesediaan mental dan emosi untuk berdepan dengan program imunisasi ini dan akhirnya mempengaruhi keputusan sama ada mereka bersedia untuk menerima program ini atau sebaliknya.
Mengapa fobia vaksin Covid-19 berlaku? Terdapat pelbagai sebab yang melingkari isu fobia vaksin. Antaranya adalah berkaitan dengan gangguan takut akan jarum yang juga dikenali sebagai trypanophobia. Ketakutan terhadap jarum suntikan merupakan satu gangguan penyakit kebimbangan yang keterlaluan. Pesakit akan diserang rasa takut secara tiba-tiba apabila berdepan dengan sebarang situasi melibatkan jarum suntikan. Pesakit tersebut akan mengalami gejala kebimbangan akut seperti panik dan cemas, muntah, sawan, mahupun pitam dan pengsan.
Begitu juga, terdapat individu yang akan mendapat serangan panik dan kegelisahan apabila melihat darah dan keadaan ini dikenali sebagai hemophobia atau takut akan darah. Selain itu, terdapat juga individu yang akan mendapat serangan panik dan ketakutan melampau apabila datang ke klinik atau hospital. Pesakit akan mengalami serangan darah tinggi yang ada kaitan dengan gejala white coat syndrome. Andai tidak sanggup berdepan dengan situasi menakutkan ini, biasanya mereka akan mengelakkan diri daripada bertembung dengan situasi tersebut. Hakikatnya, ramai juga individu yang mengalami sindrom dikenali sebagai health anxiety syndrome. Mereka berasa tidak selamat jika vaksin tersebut akan mendatangkan kesan sampingan yang teruk kemudian hari seperti akan mendapat penyakit kanser, atau mendapat kecacatan kekal ataupun akan mengubah struktur DNA mereka selamanya.
Bagi mengatasi isu ini, antara beberapa langkah utama perlu dilakukan untuk menggalakkan mereka menerima program imunisasi ini ialah memberikan pendidikan yang bermaklumat secara tepat. Dedahkan kepada mereka dengan kebaikan dan manfaat yang bakal diperoleh. Berikan sokongan secara berhikmah untuk mendapatkan rawatan khusus supaya masalah fobia dan kebimbangan yang mereka alami juga turut membantu kejayaan program imunisasi ini. Memberikan maklumat melalui pendekatan psikospiritual atau kerohanian juga memberikan impak yang berkesan dalam menjayakan program ini, namun ia memerlukan banyak kajian lagi, agar hasilnya terbukti berkesan.