Apabila Rasulullah SAW ditanya mengenai manusia bagaimana yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi agama Islam, Baginda menyatakan bahawa mereka adalah dari kalangan orang Mukmin yang berjihad di jalan Allah dengan diri dan harta mereka sendiri. Memahami maksud Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari ini menuntut kefahaman yang jitu mengenai konsep korban atau pengorbanan.
Pelbagai fadilat diperolehi apabila kita menunaikan ibadah korban yang antaranya dapat melahirkan rasa kasih sayangantara sesama manusia dan mengikis sifat tamak serta mendidik hati agar menjadi insan yang pemurah. Berdasarkan kepada ayat 9 Surah al-Hasyr Allah SWT berfirman yang membawa maksud bahawa apabila seseorang insan itu dapat memelihara dirinya daripada dipengaruhi sifat bakhil, mereka adalah kalangan manusia yang berjaya. Bagi mereka yang mengetahui fadilat ibadah korban ini, inilah sebahagian daripada usaha untuk mencapai kejayaan dalam dimensi kejayaan di sisi Allah SWT dan orang-orang yang beriman. Sehubungan dengan itu, hukama menyatakan bahawa, “Sesiapa yang mahukan kebaikan dan membaikkan kemuliaan dan ketinggian tanpa jihad dan pengorbanan, maka ia bagaikan seorang yang bermimpi kosong”. Dan kemuncak fadilat tersebut adalah ketakwaan kepada Allah SWT.
Dengan menjadikan takwa itu sebagai teras kepada kerelaan hati untuk melakukan apa sahaja demi Allah SWT, maka di situlah bermulanya keyakinan yang teguh di hati Baginda Nabi Allah Ibrahim AS untuk mengorbankan darah daging Baginda AS sendiri, iaitu Nabi Ismail AS. Di pihak putera kesayangan Nabi Allah Ibrahim, pengorbanan diri sendiri demi membuktikan ketakwaan Baginda AS sebenarnya menepati firman Allah SWT dalam Surah as-Saf, ayat 10 hingga 11 yang membawa pengertian bahawa perjuangan membela dan menegakkan agama Allah, iaitu jihad dengan menggunakan harta kekayaan yang dimiliki serta diri hamba itu sendiri merupakan pelaburan ukhrawi yang mampu menyelamatkan hamba dari azab siksaan yang pedih di akhirat nanti.
Umumnya memang diketahui bahawa manifestasi ibadah korban itu adalah pengharapan terhadap keredaan Allah SWT. Ia adalah salah satu pendekatan yang boleh dilakukan selain melakukan ibadah atau amal kebajikan yang lain. Persis ibadah haji juga, ibadah ini mempunyai latar belakang sejarah yang unik.
Ibadah korban boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan biasanya seseorang yang mempunyai hasrat membuat ibadah korban akan melaksanakannya di kariah tempat tinggal atau di tempat dia bekerja dan mencari pendapatan. Namun sejauh mana dari sudut logistik pelaksanaan ibadah ini oleh mana-mana individu Muslim merupakan pelaksanaan ibadah yang mempunyai nilai-nilai yang strategik?
Ibadah korban merupakan sebahagian daripada ibadah yang melibatkan pemberian manfaat kepada orang Islam yang lain sebagaimana membuat kebajikan seperti menunaikan kewajipan zakat atau bersedekah. Sebahagian daripada kita tidak begitu memberi perhatian yang mendalam sekalipun benar-benar berhasrat untuk melaksanakan ibadah korban. Umpamanya dari sudut pemilihan kualiti binatang yang hendak dikorbankan. Akan tetapi, sekiranya kita menghubungkan niat baik untuk beribadah atau membuat kebajikan dengan memahami intipati firman Allah SWT dalam Surah Luqman, ayat 22 yang bermaksud, “Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh“, menunjukkan bahawa Allah SWT menyarankan kepada umat-Nya yang berhasrat untuk melakukan ibadah atau sebarang kebaikan, supaya melaksanakannya secara bersungguh-sungguh agar pelaksanaan ibadah itu suatu tindakan yang benar-benar berkesan. Di situlah terletaknya kepuasan sebenar bagi mereka yang melaksanakan ibadah berkenaan. Ibarat pepatah orang-orang tua, “alang-alang mandi, biar basah“.
Seperkara lain yang perlu difikirkan ialah kumpulan sasaran atau pihak yang akan menerima daging korban. Selain ia perlu diterima dari kalangan orang-orang Islam sahaja, ada baiknya penerimaan daging korban diperluaskan lingkaran penerimanya. Selain pelaksana ibadah ini dapat melaksanakan ibadah tersebut dengan baik, adalah sesuatu yang lebih strategik jika tanggungjawab sosial ini dapat memberi manfaat kepada kalangan Muslimin yang kurang bernasib baik dan jarang menikmati sumber yang sangat kaya dengan protin, zat besi dan kebaikan-kebaikan yang lain dari aspek kesihatan.
Walau bagaimanapun sebenarnya sebahagian daripada kalangan masyarakat Islam di Malaysia telahpun menyedari keadaan ini, dan atas keinsafan terdapatnya masyarakat Islam yang kurang bernasib baik, maka diwujudkan suatu mekanisme melalui agensi-agensi tertentu, seperti Islamic Relief Malaysia yang memberi peluang kepada orang-orang Islam di Malaysia untuk melaksanakan ibadah korban di tempat-tempat yang didiami oleh penduduk Islam yang kurang bernasib baik, seterusnya dapat mengagihkan daging korban kepada penduduk Islam tersebut. Maka, atas inisiatif ini sebahagian daripada masyarakat Islam yang miskin yang tinggal di Bangladesh, Chad, India, Indonesia, Kemboja, Russia dan Vietnam dapat merasa pemberian daging korban daripada saudara seislam di Malaysia. Malah dengan sokongan kemajuan teknologi pemakanan, daging korban dapat dipelbagaikan bentuknya seperti daging di dalam tin atau daging beku supaya agihan daging korban dapat diterima oleh lebih ramai insan-insan daif di kawasan-kawasan pedalaman dan ceruk rantau dunia.
Sebagai sebuah negara yang lebih makmur dan dapat merayakan hari-hari perayaan terutamanya Aidil Fitri dan Aidil Adha dengan lebih meriah, pelaksanaan ibadah korban oleh masyarakat Islam di Malaysia di tempat-tempat yang dihuni oleh Muslimin yang mengalami kesulitan hidup, tentunya sedikit-sebanyak merupakan perkongsian kemeriahan dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang menganugerahi hari-hari tertentu sebagai hari kebesaran kepada umat Islam, yang sewajarnya dirayakan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Apabila Baginda Muhammad SAW diutuskan Allah SWT untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam, sebagaimana mafhum ayat 107 Surah al-Anbiya’, sewajarnya ayat ini juga mampu memberi pengajaran kepada orang-orang Islam yang mempunyai kemampuan untuk memberikan kegembiraan kepada saudara-saudara seagamanya melalui pendekatan-pendekatan yang telahpun disediakan oleh Islam.
Seterusnya, apabila Allah SWT menyatakan dalam Surah al-Hujuraat, ayat 10 bahawa “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, … dan bertawakallah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”, maka dagingkorban yang dapat diagihkan kepada saudara seislam yang daif mampu menjadi penghubung kasih (silaturrahim) sekalipun kedua-dua belah pihak, pelaksana ibadah korban dan penerima, tidak bertemu lantaran jarak yang memisahkan.
Cuma apa yang perlu diambil perhatian di sini oleh pihak-pihak yang terlibat, terutamanya agensi-agensi yang diberi amanah oleh mereka yang berhasrat untuk melaksanakan ibadah korban di luar negeri, agar melaksanakan amanah ini dengan baik dan benar-benar membantu individu berkenaan untuk menunaikan tuntutan agama tersebut.
Mudah-mudahan pada hari kebesaran yang sedang dirayakan umat Islam ini, dapat dipenuhi dengan perkara-perkara kebaikan dan kebajikan kerana Allah SWT menyatakan bahawa jika kita berbuat kebaikan, maka faedah kebaikan yang dilakukan adalah untuk diri kita sendiri juga(Surah al-Isra’, ayat 7).