Mengikut Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim, kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berbanding dengan beberapa negara Islam lain dalam OIC tidak banyak perbezaannya.
Hanya Perlembagaan Republik Turki sahaja secara nyata meletakkan negaranya negara sekular. Ini terdapat dalam Perkara 2: The Republic of Turkey is a democratic, secular and social state (Republik Turki ialah negara demokratik, sekular dan sosial).
Berlainan dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan Islam ialah agama bagi Persekutuan;.
Sebelum negara ini mencapai kemerdekaan beberapa negeri Melayu seperti negeri Johor telah memasukkan agama Islam dalam Perlembagaan Negeri tersebut bertarikh 1895. Perkara 57, Perlembagaan Negeri Johor membuat peruntukan bahawa agama Islam adalah agama bagi negeri Johor dan segala jajahan takluknya. Bahkan ada pula negeri secara khusus menetapkan mazhab yang terpaku adalah Ahli Sunah Waljamaah.
Mengimbas kembali secara ringkas sejarah memartabatkan Islam dalam Perlembagaan Negara adalah suatu usaha yang gigih dibuat oleh kerajaan yang memerintah ketika itu setelah dipersetujui oleh kaum-kaum terbesar di negara ini.
Ini diperaku sendiri bekas Perdana Menteri yang kedua Tun Abdul Razak, yang dinyatakan dalam Parlimentary Debate (Perbahasan Parlimen) 1977.
Berbagai tafsiran telah diberikan kepada Perkara 3 (1). Jika dikaji secara menyeluruh terdapat beberapa peruntukan lain yang memberi kedudukan dan taraf kepada agama Islam.
Oleh demikian adakah kita dikongkong untuk memahami Islam dengan apa yang dihuraikan oleh Mahkamah iaitu Islam terbatas kepada upacara-upacara semata-mata dan angggapan bahawa negeri ini sekular, sedangkan tiada perkataan sekular dalam Perlembagaan. Cuma ungkapan itu pernah timbul dalam kertas putih yang membuat perakuan tentang kedudukan Islam. Ungkapan itu perlu dilihat dalam konteks sejarah.
Kedudukan Islam dalam perlembagaan boleh dilihat dari berbagai-bagai sudut. Peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengan Islam boleh didapati selain Perkara 3, Perkara II (1) mengenai kebebasan beragama dan secara khusus Perkara II (4) mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam. Perkara 121 (1A) kedudukan Mahkamah Syariah dalam sistem perundangan dan Perkara 12 (2) menggunakan wang dari Federal Consolidated Fund (Dana Persekutuan Yang Disatukan) untuk tujuan-tujuan pembangunan Islam.
Dalam Jadual KeSembilan Senarai 11 Senarai Negeri telah menentukan butir-butir mengenai perkara-perkara hal ehwal Islam yang terletak dalam bidangkuasa negeri.
Di antaranya adalah hukum syarak dan undang-undang diri dan keluarga orang-orang Islam, hukum syarak berhubung dengan perwarisan harta berwasiat dan tidak berwasiat, pembahagian harta dan amanah khairat, wakaf, zakat fitrah, Baitulmal, masjid, mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan, keanggotaan dan penyusunan dan acara bagi Mahkamah-Mahkamah Syariah yang hanya mempunyai bidang kuasa ke atas orang-orang Islam, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan.
Dalam Perlembagaan terdapat Perkara 4 (1) yang meletakkan perlembagaan adalah undang-undang utama mengatasi undang-undang lain. Peruntukan ini dilihat sebagai penghalang pelaksanaan Islam.
Ada pendapat mengatakan sama ada peruntukan itu benar-benar menghalang pelaksanaan Islam pada hakikatnya banyak tertakluk kepada tafsiran dan polisi-polisi yang dibuat bagi pelaksanaan Islam.
Perkembangan dalam pelaksanaan dasar penerapan nilai-nilai Islam berjalan dengan baik; bahkan pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan ada serasi dengan Islam seperti yang menyentuh etika dan nilai. Bahkan Mahkamah Sivil telah memberi tafsiran yang positif tentang kedudukan Islam. Ada ketikanya kes-kes yang melibatkan muamalah diputuskan oleh Mahkamah Sivil.
Sudah timbul hasrat atau pendapat supaya satu tribunal atau Mahkamah yang boleh membicarakan kes-kes muamalah. Mungkin telah sampai masanya ditubuhkan syariah bench di Mahkamah Sivil.
Pelaksanaan Islam di Malaysia tidak semestinya dibuat berdasarkan tafsiran mahkamah. Justeru pembangunan syiar Islam dalam aspek infrastruktur telah berlaku dengan pesatnya. Di sana sini tersergam masjid, Pusat Islam, pejabat-pejabat agama, Mahkamah Syariah – semuanya dibekalkan dengan pegawai-pegawai yang dibiaya oleh kerajaan. Bahkan seawal tahun lapan puluhan ditubuhkan Bank Islam, Takaful dan lain-lain produk dan perkhidmatan Islam. Mereka yang berurusan dengan institusi-institusi tersebut termasuk masyarakat bukan Islam. Ini membuktikan rakyat negara ini telah dapat menikmati hasil dan faedah dari pelaksanaan undang-undang Islam dalam bidang produkat, perkhidmatan dan kewangan Islam. Sebenarnya mengikut kenyataan yang terbaru oleh Gabenor Bank Negara, Malaysia ada diiktiraf sebagai pusat kewangan Islam Global.
Keunikan Islam dalam perlembagaan adalah termaktub peranan raja/sultan dan Yang di-Pertuan Agong. Raja adalah sebagai ketua agama Islam – Perkara 3 (2), (3) dan (5). Secara amnya hal ehwal agama Islam adalah teletak pada negeri kecuali Wilayah Persekutuan pada Pusat/ Parlimen. Beberapa perkembangan ke arah perubahan yang boleh meningkatkan lagi Islam dan hukum syarak sedang berlaku. Di antara perubahan tersebut adalah mengemas kini dan menyeragamkan undang-undang yang ditadbirkan oleh Mahkamah Syariah, mengadakan dasar guna sama pegawai dan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah; menubuhkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia; menubuhkan Jabatan Mufti; melengkapkan jabatan-jabatan tersebut dengan pegawai-pegawai.
Dalam usaha untuk menaiktarafkan Mahkamah Syarak dan perkembangan hukum syarak telah ditubuhkan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil. Satu unit ditubuhkan bagi tujuan ini di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Boleh disimpulkan bahawa pihak yang menyatakan sistem perlembagaan yang ada tidak memberi ruang kepada perkembangan Islam dan perundangannya tidak tepat kerana perubahan dapat dilihat berlaku secara teratur dan harmoni. Keadaan ini tidak menimbulkan keresahan kepada mana-mana pihak dan ia diterima dengan baik.