Bulan Julai telah dipilih sebagai bulan membaca peringkat kebangsaan. Bersempena dengan ini, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah menganjurkan Program Bulan Membaca Perpustakaan Negara 2002. Pastinya ada yang melihat sambutan ini secara sinis seolah-olahnya bulan ini sahaja rakyat Malaysia membaca. Namun, saya ingin mengajak semua untuk melihat bulan ini seperti bulan Ramadan, yang mana ia merupakan satu bulan untuk melatih diri.
Sebagaimana yang kita tahu, Ramadan melatih kita – bukan sahaja untuk berlapar dan dahaga, tetapi juga untuk memiliki segala sifat mulia lain dan menjauhi sifat-sifat buruk yang dilarang. Setiap dari kita berharap agar latihan itu dapat meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri kita dan natijahnya dapat dilihat walaupun setelah Ramadan lama meninggalkan kita.
Begitulah juga hendaknya kita melihat bulan membaca ini. Semoga semangat membaca yang ditanamkan dalam bulan ini, terus kekal dalam diri kita dan keluarga dan seterusnya menjadi sebahagian dari hidup kita. Sebagai seorang Islam, membaca perlu menjadi sebahagian dari diri kita memandangkan amalan ini juga amat dianjurkan oleh Islam.
Profail Membaca Rakyat Malaysia tahun 1996 memberikan kita beberapa statistik yang menarik. Statistik yang terperinci boleh didapati dari laman web www.pnm.my/new/melayu/statistik/kajian-profail.htm. Namun, saya ingin menarik perhatian pembaca kepada dua penemuan yang utama. Pertama, penemuan yang menyebut bahawa “Faktor utama mempengaruhi tahap kebolehan membaca di peringkat kanak-kanak adalah faktor keluarga. Kanak-kanak dari golongan berpendapatan tinggi mula membaca pada peringkat lebih awal berbanding dengan kanak-kanak dari golongan berpendapatan rendah”.
Walaupun sebab-sebabnya tidak dinyatakan, saya berpendapat bahawa keadaan ini berlaku kerana golongan yang berpendapatan tinggi menghantar anak-anak mereka untuk belajar membaca lebih awal berbanding mereka dari golongan berpendapatan rendah. Golongan berpendapatan rendah mungkin tidak mempu untuk memberi pendedahan yang lebih awal dan anak-anak mereka terpaksa menunggu sehingga masuk ke TADIKA atau Darjah Satu untuk mendapatkan pendedahan ini.
Penemuan kedua yang perlu disebutkan di sini ialah hanya 29% rakyat Malaysia yang menggunakan perpustakaan. Ini amat menyedihkan dan ia menunjukkan bahawa perpustakaan kita amat tidak digunakan dan ini amat merugikan kita, sebenarnya.
Walau bagaimanapun, pada awal bulan ini, Pengarah Bahagian Rujukan Malaysiana PNM menyatakan bahawa berdasarkan kepada pemerhatiannya, wujud peningkatan dalam penggunaan perpustakaan awam. Menurut beliau lagi, walaupun keahlian perpustakaan awam masih rendah jika dibandingkan dengan jumlah penduduk Malaysia, tetapi berlaku pertambahan menggalakkan dari segi keahlian dari tahun ke tahun. Bagi saya, ini satu petunjuk yang positif dan kita berharap agar keahlian ini akan bertambah lagi.
Berbalik kepada Program Bulan Membaca Perpustakaan Negara Malaysia tadi, berbagai aktiviti telah dirancangkan bagi memeriahkan sambutan ini. Antaranya Pertandingan Cereka Kartun; Pertandingan Carian Maklumat; Kempen Keahlian PNM dan Perpustakaan Awam Negeri; Program Bacaan Kegemaran Saya; Pertandingan Foto Aksi Membaca; Fun learning; dan, Pameran baca@gaya hidup.
Selain dari aktiviti-aktiviti tadi, sempena sambutan ini juga ada program lain seperti Bengkel Meneroka Maklumat, Ceramah Peluang Pendidikan dan Kerjaya di Bidang Kepustakawanan, Bengkel Keibubapaan Anak Remaja, Kempen Keahlian di Kompleks Membeli-belah, Seminar Penerbitan dan Undang-Undang, Wacana Daya Cipta Sains Melalui Pembacaan dan Pertandingan Dendangan Syair.
Oleh kerana aktiviti-aktiviti ini diatur untuk para pengguna, marilah kita bersama-sama memanfaatkannya di samping menanam tabiat membaca, baik pada diri kita sendiri, mahupun anak-anak kita.
Sepertimana yang sering kita dengar, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitu jugalah kalau kita mahu memupuk minat membaca di kalangan anak-anak. Ia perlu bermula dari kecil. Ini kerana, semasa kecil, mereka lebih mudah dibentuk, dilentur, dipengaruhi dan dibiasakan dengan sesuatu aktiviti. Tambah pula, kita tahu anak-anak mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi. Dengan rasa ingin tahu inilah kita dapat memupuk minat membaca dengan lebih mudah.
Banyak yang boleh dilakukan oleh ibubapa untuk memupuk minat membaca ini. Pertama, ibubapa boleh memulakan usaha ini dengan membacakan untuk anak-anak mereka. Dikatakan bahawa kita boleh mula membacakan kepada anak-anak ketika mereka berusia enam bulan. Pada masa ini, apa yang dibaca tidak penting. Yang penting ialah anak-anak mendengar patah-patah perkataan tersebut dan dibiasakan dengan amalan membaca. Jadi, bacakan kepada mereka apa sahaja bahan bacaan. Ini tidak sukar. Anda hanya perlu membaca kuat-kuat bahan bacaan yang anda baca. Malah, dikatakan bahawa bayi-bayi yang dibacakan pada mereka, lebih cepat bercakap berbanding bayi yang tidak dibacakan. Ini disebabkan mereka biasa mendengar perkataan-perkataan tersebut dan menangkap maksudnya. Semakin anak anda membesar, bacakan buku-buku yang lebih sesuai dengan umurnya dan minatnya.
Kedua, untuk memupuk tabiat membaca di kalangan anak-anak, ibubapa juga perlu menunjukkan yang mereka juga minat membaca. Sebagaimana yang kita tahu, anak-anak lebih mudah meniru daripada melakukan apa yang kita suruh mereka lakukan. Jadi, ibubapa perlu menunjukkan contoh tauladan yang baik dalam hal ini. Adalah amat sukar untuk menyemai minat membaca dalam persekitaran yang tidak suka membaca. Dalam kata-kata lain, ibubapa sukar menanam minat membaca di kalangan anak-anak sekiranya aktiviti utama dalam rumah itu ialah menonton televisyen. Jadi, pastikan anak-anak melihat anda lebih gemar membaca dari menonton televisyen misalnya. Barulah mereka boleh terikut-ikut dengan tabiat ini.
Ketiga, bila ibubapa ada minat membaca, maka bolehlah menyuruh anak-anak membaca. Ini kerana anak-anak tidak akan suka membaca jika ibubapa sekadar menyuruh sedangkan mereka sendiri tidak membaca. Sediakan bahan bacaan yang sesuai mengikut peringkat umur anak-anak. Pelbagaikan bahan bacaan ini termasuklah akhbar, majalah, ensiklopedia, buku cerita dan sebagainya. Bagi membolehkan anak-anak mengusai bahasa Inggeris, berikan juga bahan bacaan dalam bahasa ini. Sekiranya kedudukan kewangan keluarga anda terhad, dapatkan bahan bacaan dari kedai-kedai yang menyewakan bahan bacaan itu atau dari perpustakaan.
Keempat, kita boleh memupuk tabiat membaca di kalangan anak-anak dengan mengajak mereka berkongsi maklumat dari pembacaan mereka itu. Ini boleh dilakukan dengan bertanyakan tentang isi kandungan bahan yang dibaca. Jika buku itu merupakan satu buku cerita yang panjang, tanyakan mereka apa yang berlaku seterusnya terhadap watak-watak utama dalam cerita itu. Jika kita dapat menunjukkan bahawa kita benar-benar berminat, saya percaya, anak-anak akan menceritakan kisah seterusnya tanpa ditanya. Ini secara tidak langsung membuatkan mereka ingin terus membaca buku itu untuk dikongsikan maklumatnya dengan kita. Dengan cara ini juga, pengetahuan dan pengalaman ahli keluarga yang lain dapat diperkayakan.
Akhirnya, minat membaca juga dapat dipupuk dengan membantu anak-anak mencari jawapan kepada segala persoalan-persoalan yang mereka tanyakan. Kita tahu, anak-anak kecil ini suka bertanya. Ada soalan yang dapat kita jawab dan ada pula yang tidak dapat kita jawab. Jadi, apabila berhadapan dengan keadaan di mana kita tidak tahu jawapan terhadap soalan yang dikemukakan, akuilah. Kemudian, ajak anak itu mencari jawapannya bersama-sama, sama ada dengan mengunjungi perpustakaan dan mencarinya di dalam ensiklopedia atau mencarinya di dalam internet. Malah, kalau pun kita tahu jawapannya, kita masih boleh mengajak anak-anak mencari jawapan yang lebih terperinci lagi. Cara ini akan melatih anak-anak untuk menyelidik sesuatu maklumat dan ini akan memberi manfaat padanya untuk jangka panjang. Cara ini juga akan membaja rasa ingin tahu di kalangan mereka kerana mereka tahu setiap soalan akan diberi perhatian dan jawapannya.
Saya berpendapat dalam usaha kita untuk memupuk minat membaca di kalangan anak-anak, ianya tidak lengkap jika di masa yang sama kita tidak menyemai rasa cintakan perpustakaan dalam diri mereka. Ini kerana di dalam perpustakaan itu mengandungi berbagai bahan bacaan yang bakal memperkayakan anak-anak kita dari segi ilmu.
Sekali lagi, peranan ibubapa dalam hal ini memang penting. Malah, saya kira ibubapalah yang perlu memperkenalkan anak-anak mereka kepada perpustakaan dan bukannya menunggu guru-guru memperkenalkannya ketika mereka mula bersekolah di Darjah Satu ataupun Dua.
Sebenarnya tidak sukar untuk membuat anak-anak cintakan perpustakaan. Perpustakaan awam kita kini amat canggih. Ia bukan saja ada ruang untuk orang dewasa, malah hampir di setiap perpustakaan awam ada ruang untuk kanak-kanak bagi menggalakkan tabiat membaca di kalangan mereka. Ruangan kanak-kanak ini pula bukan hanya ada buku-buku tetapi banyak perkara lain untuk menarik minat mereka seperti TV, video dan komputer.
Di PNM misalnya, kemudahan ini telah sedia ada dan dinamakan Perpustakaan Kanak-Kanak. Ia bukan sahaja menyediakan buku-buku yang menarik tetapi juga ada Pusat Sumber Hipermedia (PSH) yang menyediakan kemudahan peralatan komputer, video dan audio untuk mengasah dan memperkembangkan kreativiti kanak-kanak melalui penggunaan teknologi komputer. Ia merangkumi sudut cerita, sudut sains, sudut seni, sudut muzik dan sudut rakaman kreatif.
Selain menyediakan bahan-bahan ini, PNM juga menganjurkan pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak seperti bercerita, melukis, mewarna, mendeklamasi sajak dan lain-lain. Bagi saya ini merupakan cara yang baik untuk mengajar kanak-kanak itu menggunakan ilmu yang mereka perolehi dari pembacaan yang dibuat.
Dilihat dari segi ini, ternyata perpustakaan bukanlah satu tempat yang membosankan bagi kanak-kanak. Yang penting, kita perlu tahu apa yang ada di sana dan bagaimana untuk menggunakannya. Malah, jika kita pandai mencarikan bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak, tidak mungkin mereka akan merasa bosan, walaupun hanya duduk membaca.
Artikel ini telah mengenengahkan beberapa perkara berkaitan dengan amalan membaca, Program Bulan Membaca dan peranan ibubapa dalam menerapkan amalan membaca dan rasa cintakan perpustakaan di kalangan anak-anak mereka. Demi untuk melahirkan masyarakat bermaklumat, saya berharap agar ibubapa dapat memainkan peranan yang lebih aktif dalam perkara ini. Bagi yang telahpun mengambil inisiatif ini, diharap dapat mempertingkatkannya lagi. Ambillah kesempatan program bulan membaca ini untuk meneguhkan komitmen kita kepada usaha yang amat bermanafaat ini. Kunjungi perpustakaan awam yang terdekat untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang telah dirancangkan.
Setelah tamat bulan membaca ini, kunjungilah perpustakaan dengan kerap untuk memberi pendedahan dan pengalaman menggunakan perpustakaan lebih awal kepada anak-anak kita. Semoga dengan cara ini kita dapat menanamkan rasa cinta mereka kepada perpustakaan dan bukannya melihat perpustakaan sebagai suatu tempat yang hanya dikunjungi oleh mereka yang di menara gading.
Akhirnya, perpustakaan awam dibina untuk kita. Maka gunakanlah kemudahan ini untuk kebaikan kita dan keluarga. Kerapkanlah kunjungan ke sana dengan menjadikannya sebagai antara destinasi hujung minggu keluarga. Dari segi kos, ia sebenarnya merupakan satu destinasi yang paling murah jika dilihat kepada manfaat yang bakal diperolehi seisi keluarga.