Perlindungan terhadap diri ataupun nyawa adalah salah satu matlamat Syariah. Itulah sebabnya manusia diharamkan daripada membunuh kecuali dengan alasan yang benar. Perbezaan agama juga bukanlah alasan yang membenarkan seseorang Muslim untuk membunuh orang bukan Islam sebagaimana dalam sebuah Hadis yang bermaksud, “Barang siapa yang membunuh ahli zimmah (orang bukan Islam yang berada di bawah jaminan pemerintah Islam), maka akulah yang akan menjadi penjaminnya di akhirat nanti”.
Islam meletakkan nyawa sebagai suatu yang sangat berharga. Maka kehilangan nyawa seseorang disebabkan tindakan atau pertimbangan yang salah sangat dipandang berat oleh agama. Atas dasar keadilan kepada mangsa maka Shariah memperkenalkan hukuman qisas bagi memastikan pembelaan berlaku. Hukuman ini bermaksud pembunuhan yang berlaku sama ada dimaafkan oleh keluarga mangsa dibalas dengan hukum bunuh, atau dengan bayaran wang pampasan (blood money).
Walau bagaimanapun jenayah qisas memberikan pilihan kepada waris mangsa sama ada hendak memilih ‘bunuh balas bunuh’, menuntut ganti rugi atau memaafkan kesalahan tersebut tanpa sebarang syarat. Sambungan ayat 33 Surah al-Israa’ memberi natijah bahawa waris mangsa memiliki pilihan atau kekuasaan tersebut.
Apabila berlaku pembunuhan dalam sesebuah keluarga ia merupakan suatu jenayah kehilangan yang sangat mengejutkan dan sebenarnya tidak boleh ditaksirkan secara wang ringgit. Ia turut memberi kesan dari segi dalaman diri dan kemasyarakatan. Apatah lagi sekiranya mangsa yang dibunuh merupakan seorang ahli keluarga yang penting dan memberi pendapatan kepada keluarganya.
Tuntutan ganti rugi adalah pilihan yang bersifat amali terutamanya bagi kes bunuh yang melibatkan ahli keluarga yang mencari nafkah atau pendapatan kepada keluarga. Ganti rugi yang diterima oleh ahli waris membenarkan mereka untuk meneruskan kehidupan walaupun mungkin tidak sempurna sebagaimana sebelumnya.
Taksiran ganti rugi yang digariskan oleh Shariah, secara dasarnya merujuk kepada sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud yang bermaksud, “Sesungguhnya pada mereka yang dibunuh dengan separuh sengaja iaitu yang dibunuh dengan kayu atau tongkat atau batu, seratus ekor unta”. Dan inilah yang dipegang oleh Mazhab Shafi’i sebagai asas bagi pembayaran ganti rugi yang diistilahkan sebagai diyat. Walau bagaimanapun menurut Mazhab Maliki dan Hanafi, diyat juga boleh dibayar sama ada dengan emas seribu dinar ataupun perak 12,000 dirham.
Taksiran ini boleh dilihat dengan lebih jelas apabila kita menukarkannya dengan nilai Ringgit Malaysia. Satu dinar emas bersamaan 4.25 gram emas 22 karat (emas 916) dengan setiap gram emas 916 bernilai RM88.00 (nilai semasa). Ini bermakna setiap dinar emas pada hari ini bernilai RM374.00. Justeru itu seribu dinar emas bersamaan sekurang-kurangnya RM374,000.00. Walau bagaimanapun perlu difahami bahawa disebabkan harga emas mengalami turun naik, maka taksiran itu perlu dikira menurut harga semasa emas. Contohnya jika pada hari ini harga emas 916 ialah RM90.00; maka seribu dinar pada hari ini bersamaan dengan RM382,500. Maka dapat dirumuskan bahawa ganti rugi yang digariskan sekiranya berlaku pembunuhan atau kehilangan nyawa secara tidak sah yang boleh dituntut oleh waris mangsa adalah sebanyak jumlah tersebut.
Sistem perundangan yang kita amalkan pada hari ini meletakkan jenayah bunuh sebagai kesalahan terhadap negara dan pesalah yang disabitkan kesalahan akan dikenakan hukuman bunuh. Kalau ditinjau pada awal perbincangan sebelum ini, hukuman ini lebih mirip kepada faham qisas di sisi hukum Syarak. Bezanya penentuan hukuman dibuat oleh pihak pemerintah melalui sistem kehakiman yang diamalkan, sedangkan faham qisas memberikan kuasa kepada waris mangsa. Dalam sesetengah keadaan, tuntutan ganti rugi lebih memberi manfaat kepada ahli-ahli keluarga yang ditinggalkan berbanding hukuman yang dilaksanakan pada hari ini.
Sebenarnya sistem kehakiman yang diwariskan oleh pihak British ini mempunyai sejarah yang tersendiri dan jika dikaji dengan lebih mendalam, ia adalah amalan yang telah berubah dan pada asalnya perundangan Inggeris juga meletakkan prinsip pampasan kepada waris mangsa. Prinsip ini kemudiannya berubah dengan penerima ganti rugi bukanlah kepada waris mangsa tetapi kepada raja. Dan akhirnya ia berubah kepada pengenaan hukuman bunuh terhadap pesalah kerana dianggap sebagai melakukan kesalahan terhadap negara.
Kadar yang digariskan oleh Shariah ini seharusnya turut dipertimbangkan apabila melibatkan kes-kes pembunuhan yang tidak sah, mahupun kehilangan nyawa disebabkan kecuaian. Umpamanya kemalangan yang meragut nyawa yang disebabkan oleh kecuaian pemandu kenderaan atau syarikat pemilik kenderaan tersebut. Pampasan yang ditentukan oleh Shariah ini membuktikan bahawa Islam memberikan penyelesaian yang bersifat adil serentak amali, supaya kehilangan orang tersayang bukan merupakan beban yang berat dan berpanjangan. Kehilangan nyawa akibat kecuaian ini dibela dengan terbitnya wang pampasan untuk melalui detik kehidupan baru melalui ganti rugi yang diistilahkan sebagai diyat ini.
Sebenarnya pembayaran diyat bukanlah semata-mata terletak di atas bahu pihak pembunuh bahkan juga sama-sama menjadi tanggungjawab kepada keluarga dan kaum kerabat pihak pembunuh yang diistilahkan sebagai ‘aqilah. Maka, bayaran sebanyak RM300,000 lebih itu akan dikongsi secara bersama oleh ‘aqilah. Walau bagaimanapun perbincangan pada hari ini mengenai Undang-undang ‘Tort Islam’ di kalangan sarjana dan ahli-ahli akademik telah mengembangkan faham ‘aqilah. ‘Aqilah pada hari ini bukan sahaja merujuk kepada ahli keluarga dan kaum kerabat, tetapi mungkin juga boleh diganti dalam bentuk atau aliran baru yang tetap memainkan peranan ‘aqilah secara tradisi, iaitu seperti baitulmal, insuran (takaful) dan persatuan profesional.