Kita hidup dalam zaman yang penuh dengan media. Kalau dulu kita hanya memiliki media wayang gambar dan televisyen, sekarang sudah ada tv-satelit serta internet, membawa kepada iPod, telefon mudah-alih, permainan video dan sebagainya lagi.
Justeru ada golongan yang beranggapan bahawa mereka berhak untuk tidak diganggu dan tidak ditapis dalam menyatakan pendapat kepada masyarakat umum, apatah lagi sekiranya ia disalurkan menerusi karya-karya berciri “artistic”. Mereka menuntut agar tiap-tiap pendapat dan karya dibiarkan tersebar kepada masyarakat umum yang majmuk budaya dan kefahaman agama.
Untuk menjawab isu ini, kita seharusnya jelas bahawa ada perbezaan antara apa yang disebut sebagai “kebebasan berfikir” dengan “kebebasan menyebarkan fikiran”. Samuel Johnson (m. 1784) pernah membezakan antara liberty of thinking dengan liberty of talking atau liberty of preaching.
Oleh kerana tidak mungkin untuk seseorang mengetahui isi hati dan pemikiran seseorang yang lain, memanglah seolah-olah ada “kebebasan” untuk individu tersebut berfikir sendiri sesuka hatinya. Begitu jugalah seseorang itu akan dibiarkan, sekiranya dia sekadar berpendapat, sekadar berfikir, dan sekadar menyatakan fikiran peribadi masing-masing dengan cara masing-masing, dengan cara yang tidak membawa apa-apa kesan yang penting dalam pandangan hidup masyarakat secara keseluruhannya.
Walau bagaimanapun, tentulah tidak ada kebebasan mutlak untuk seseorang itu menyebarkan fikirannya sesuka hatinya saja kalau fikiran-fikiran atau ajaran-ajaran tersebut bertentangan dengan kemaslahatan yang dianut oleh sesuatu masyarakat.
Justru, sebarang pandangan yang bertentangan dengan kemaslahatan Negara yang diiktiraf oleh Agama haruslah dicegah termasuk menerusi kuat-kuasa peraturan undang-undang.
Pada hemat saya, masyarakat kita berkewajiban untuk mengalu-alukan sebarang nasihat yang baik. Istilah “nasihat” menurut bahasa al-Qur’an sebenarnya merujuk kepada perbuatan “menyelaraskan antara perkara-perkara yang berbeza dengan tujuan untuk memperbaikinya” (mulÄ’amatun bayna shay’ayn wa islÄhun lahumÄ).
Masyarakat Malaysia kita yang pelbagai kefahaman agama ini tidak akan maju jika yang disuarakan hanyalah puji-pujian yang mengampu atau membodek. Sebaliknya, kita memang perlu kepada pandangan-pandangan yang baik, supaya kita boleh memilih pandangan yang terbaik antara pelbagai pendapat tersebut demi kerukunan hidup kita bersama.
Sehubungan dengan ini, Allah telah memperingatkan kita dalam surah al-Asr bahawa “manusia itu benar-benar dalam kerugian; kecuali mereka yang sungguh beriman, berkelakuan baik, saling nasihat menasihati supaya sentiasa setia kepada Kebenaran, dan nasihat menasihati antara satu sama lain supaya tetap dalam kesabaran.”
Dalam kerangka sebegini, kita harus ingat bahawa berlainan pandangan dalam perkara yang bersifat rantingan atau cabangan bukan bermakna kita semestinya bertentangan dalam landasan pokok kehidupan atau bertentangan dalam lunas-lunas pandangan alam kita. Bahkan, sejauh yang berkenaan dasar-dasar kehidupan bermasyarakat, kita rakyat Malaysia adalah bersaudara dari segi prinsip-prinsip rukun negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Perbuatan manusia adalah natijah daripada pandangan hidup mereka. Sekiranya kita berjaya mentadbir pandangan dan pendapat kita dengan baik, maka kita akan berjaya mentadbir perlakuan dan perilaku kita semua dalam rangka mengatur keamanan, kedamaian, dan kerukunan negara kita.
Dalam ruang-lingkup ini, sebarang ajaran yang bertentangan dengan kedamaian tentulah telah melampaui batas kebenaran dan menderhakai kesetiaan kepada negara yang mendaulatkan undang-undang yang adil dan saksama.
Kita juga perlu berhati-hati kerana ada kelompok yang lebih cenderung untuk mengemukakan pendapat peribadi yang berbaur dengan dendam dan keburu nafsu. Terdapat pula golongan yang lebih menggemari bahan media yang berbaur dengan ghairah asmara (pornografi).
Dalam masa yang sama, program-program media yang mempermainkan emosi, seperti program-program hiburan realiti tv yang mempermainkan pasang-surut perasaan penonton itulah yang lebih mudah dihasilkan oleh para pengusaha. Itulah juga program yang lebih mudah mendapat tempat dalam waktu siaran perdana (prime time), dan yang lebih mudah ditiru oleh para penonton.
Semua golongan tersebut patut ingat pepatah orang-orang tua kita, “Ikut rasa binasa; ikut nafsu lesu; ikut hati mati.” Sebagai negara yang teratur dan mempunyai tertib, kita amat perlu kepada karya-karya media yang membangkitkan semangat, memperkuatkan akal dan menyegarkan budi, dan bukan karya-karya yang membinasakan citarasa, melesukan nafsu atau mematikan hati.
Kebebasan dalam menghasilkan karya, rancangan dan program dalam media adalah ibarat pedang yang tajam lagi berbahaya. Orang yang memegang pedang tajam tersebut harus menghunusnya dengan cukup tertib dan cekap.
Sebaliknya, kalaulah pedang tajam tersebut dihunus secara yang liar dan menyesatkan, kalaulah pedang tajam tersebut ditusuk secara lintang-pukang tanpa sebarang kawalan, akan musnahlah bangsa dan masyarakat kita.
Pada hemat saya, kebebasan berkarya harus difahami dalam rangka kemaslahatan agama, undang-undang, peraturan adat-resam, dan ilmu yang sebenar. Masalahnya, ramai di kalangan kita yang pintar memutar-belit sehingga sesuatu yang buruk itu kelihatan baik walaupun sebenarnya tidak.
Ramai juga yang mengelak dari didakwa dengan cara tidak terang-terangan melanggar peraturan dan undang-undang. Mungkin mereka ini tidak sampai ke peringkat menggulingkan Kerajaan, tetapi pada hakikatnya dalam satu jangka-waktu yang panjang mereka turut menyumbang dalam melemahkan masyarakat. Bahkan kadang-kadang sesuatu karya seni disusun dengan cerdik supaya mesejnya tampak umum dan maknanya samar; sedangkan secara tersirat ada niat yang jelas menyimpang.
Kesamaran dan ketidaktentuan bahan-bahan dan bentuk-bentuk rancangan dan program yang seperti inilah yang menjadi punca kepada kesamaran undang-undang dan peraturan yang berkenaan penerbitan dan penyiaran media. Kesamaran dan ketidaktentuan inilah yang menyebabkan keputusan undang-undang seolah-olah tampak bersifat sangat peribadi dan subjektif, iaitu tertakluk kepada pandangan peribadi menteri yang berkenaan.
Kadang-kadang, kesamaran dan ketidaktentuan yang seperti inilah juga yang menyebabkan undang-undang kelihatan longgar, kerana ada orang yang berpendapat bahawa putarbelit atau tipu daya boleh dibuat untuk mengelak dari hukuman undang-undang negara dan peraturan masyarakat.
Sebaliknya, terlalu sedikit pula manusia yang bersikap tertib, terkawal, dan yang mempunyai pembawaan diri yang baik, yang boleh dipercayakan dengan kebebasan bersuara. Ini termasuklah mereka yang berkarya secara yang amanah, sederhana dan tidak bersikap melulu.
Selagi mana kita belum membuktikan kematangan kita untuk memanfaatkan kebebasan, selagi itulah lebih baik untuk kita membataskan diri kita dalam peraturan tertib masyarakat yang sudah lazim berlaku.
Satu lagi soal penting untuk kita fikirkan bersama adalah, sejauh mana kita harus membiarkan karya-karya yang menggalakkan sifat cabul, carut, fitnah, menghasut, sesat, khurafat, derhaka, ganas, zalim, curang dan yang sengaja menyinggung kepercayaan agama lain dengan niat untuk menyakitkan hati?
Di sinilah tanggungjawab yang sangat berat yang dipikul oleh kerajaan. Setahu saya, tidak pernah ada pemikir yang mempersoalkan hak mana-mana kerajaan untuk memelihara keamanan dan ketertiban masyarakat. Ini kerana, sudah sememangnya menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan yang mendapat mandat untuk mengawal keadaan masyarakat dengan menguatkuasakan sekatan yang tertentu.
Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama, seharusnya tidak ada sekatan undang-undang yang tidak benar-benar diperlukan hingga boleh dianggap merendah-rendahkan kemampuan rakyat untuk mempertimbangkan sendiri dengan bijaksana akan baik-buruknya sesuatu perkara.
Kerajaan adalah ibarat ibu-bapa yang bertanggungjawab untuk menjadi penjaga kepada rakyatnya. Sesuatu kerajaan yang merdeka dan berdaulat harus memutuskan dengan bijaksana apakah corak karya yang bertentangan dan apakah pula corak karya yang mampu membantu untuk mencapai keamanan?
Kerajaan juga harus memutuskan dengan bijaksana bilakah kesempatan dan apakah ketikanya yang sesuai untuk membuka luas pintu kebebasan bersuara atau berkarya? Sejauh mana, dan kepada siapakah kebebasan untuk menyuarakan pandangan yang berbeza kepada masyarakat umum yang berbilang agama dan bangsa ini boleh diamanahkan?
Kerajaan harus bijaksana dalam melantik para pegawai yang juga bijaksana untuk diamanahkan dengan tugas menyaring dan menapis penyiaran karya; iaitu, untuk menolak dan membuang serta mencegah apa-apa yang buruk daripada disiarkan.
Tugas badan penapisan harus dilihat lebih untuk menggalakkan tertib dan memperbetulkan adab dan bukan sekadar untuk memotong atau menapis. Kita harus faham bahawa kebanyakan karya media yang dihasilkan sama ada baik ataupun buruk sedikit-sebanyaknya merakamkan budaya yang sudah sedia berlaku pada zaman sekarang dalam masyarakat yang menghasilkan rancangan tersebut.
Sementara kita tidak boleh memaksa seseorang itu merobah pendapat peribadinya, kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tidak ada pandangan hidup yang memudaratkan masyarakat umum disebarkan.