Istilah tekno-da‘i mula digunakan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) semenjak tahun 1999. Beberapa siri seminar dan bengkel telah diadakan oleh IKIM bagi mengupas dan membincangkan konsep dan pelaksanaan tekno-da‘i.
Apakah yang dimaksudkan dengan tekno-da‘i? Secara mudah, istilah ini ialah gabungan dua perkataan yang mempunyai asal-usul dari dua bahasa yang berbeza. Istilah “tekno” diambil daripada istilah bahasa Inggeris “techno” yang dapat dikesan asal-usulnya daripada bahasa Yunani (Greek) iaitu “technē” yang boleh ditakrifkan sebagai seni, kaedah atau kemahiran dalam melakukan sesuatu. Da‘i pula diambil daripada bahasa Arab yang lazimnya diterjemahkan sebagai “pendakwah”.
Maka, apabila digabungkan kedua-dua istilah yang berasal daripada dua bahasa yang berbeza ini, kita boleh menyimpulkan bahawa tekno-da‘i ialah golongan pendakwah yang menggunakan seni, kaedah atau kemahiran tertentu untuk menyampaikan risalah Islam. Seni, kaedah atau kemahiran ini boleh merujuk kepada kepada pelbagai perkara termasuklah penggunaan teknologi, aplikasi, perisian dan perkakasan moden dalam kerja-kerja dakwah.
Islam ialah agama dakwah yang diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia demi kesejahteraan manusia dunia dan akhirat seperti firman Allah SWT menerusi ayat 107 Surah al-Anbiya’ yang membawa maksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
Ini menunjukkan kepentingan bagi Islam disebarkan melalui jalan dakwah. Hari ini kita menyaksikan hampir 1.6 bilion manusia yang menganut agama Islam di seluruh pelosok dunia. Ini bukti jelas kejayaan proses dakwah yang dijalankan selama ini oleh golongan pendakwah dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan kaedah yang difikirkan sesuai dengan bangsa, tempat dan masa tertentu.
Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat 125 Surah al-Nahl yang membawa maksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
Ayat ini menggariskan tiga pendekatan dakwah iaitu dengan menggunakan hikmah kebijaksanaan, memberi nasihat pengajaran yang baik dan berbahas menggunakan cara yang lebih baik. Jika dilihat kepada ketiga-tiga pendekatan ini, wujud satu keperluan bagi umat Islam untuk menggunakan kaedah-kaedah terkini bagi tujuan dakwah terutamanya dalam zaman media sosial yang mencabar hari ini.
Hakikat kehidupan hari ini ialah manusia tidak dapat lari daripada bergantung dan menggunakan teknologi. Dalam kata lain, kehidupan manusia hari ini berkisar dengan teknologi, iaitu bersifat teknosentrik. Menyesuaikan pendekatan dakwah dengan realiti semasa menuntut umat Islam melahirkan golongan pendakwah yang dinamakan tekno-da‘i ini.
Mungkin ada yang beranggapan bahawa tekno-da‘i ini seorang individu yang mempunyai pengetahuan agama dan pada waktu yang sama mempunyai pengetahuan mengenai teknologi. Hakikatnya golongan tekno-da‘i dalam konteks abad ke-21 ini boleh dibentuk sebagai satu jemaah yang mempunyai kepakaran mereka yang tersendiri.
Di dalam jemaah tersebut, terdapat orang yang mempunyai pengetahuan dalam bidang agama di hadapan tabir yang menyampaikan mesej amar maaruf nahi munkar. Beliau disokong pula oleh beberapa individu di belakang tabir yang mempunyai pengetahuan di dalam bidang teknologi yang menyediakan bahan dakwah dalam bentuk yang inovatif, interaktif dan menarik untuk disampaikan kepada orang ramai menggunakan pendekatan dan aplikasi teknologi terkini.
Dalam perkataan lain, golongan tekno-da‘i ini sebenarnya sekumpulan individu yang mempunyai latar belakang yang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang satu iaitu ingin menegakkan syiar dan syariat Islam yang mengajak manusia ke jalan kebenaran. Ini merupakan satu kerjasama pintar yang membentuk sinergi di antara golongan agama dengan golongan teknologis.
Tanggungjawab menjalankan dakwah ialah tanggungjawab semua orang Islam. Dakwah tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas bahu satu-satu pihak semata-mata. Dalam konteks tekno-da‘i, ini membuka peluang kepada mereka yang mempunyai pengetahuan dalam bidang teknologi untuk turut sama berdakwah dengan bekerjasama dengan golongan alim ulama dalam menjalankan kerja-kerja dakwah.
Golongan teknologis bertanggungjawab mempakejkan Islam menggunakan teknologi terkini supaya Islam dapat disampaikan secara lebih berkesan dan cekap. Golongan alim ulama pula menyediakan bahan kandungan yang amat diperlukan bagi tujuan dakwah. Perlu disedari bahawa cabaran yang menanti umat Islam hari ini ialah ketandusan dan kekurangan bahan-bahan Islam yang dipakejkan menggunakan teknologi khususnya dalam era media sosial ini.
Aplikasi media sosial semakin popular hari ini. Maka, para pendakwah boleh memanfaatkan media sosial untuk berdakwah. Banyak bahan dakwah boleh dimuat naik dan dikongsikan menerusi media sosial. Memandangkan media sosial amat popular dalam kalangan rakyat Malaysia, media sosial menjadi satu wadah yang boleh mendekatkan pendakwah kepada masyarakat siber.
Rata-rata generasi hari ini ialah generasi celik teknologi. Bagi menghampiri golongan ini, pendekatan terkini perlu dimanfaatkan. Atas sebab ini, perlu ada satu golongan pendakwah yang bijak dan selesa berdakwah dalam media sosial. Mereka ini tidak semestinya pakar dalam menggunakan ICT tetapi memadai mempunyai keupayaan memanfaatkannya bagi menjalankan tugas-tugas amar maaruf nahi munkar. Malah sekiranya mereka bekerjasama dengan mereka yang pakar mengenai teknologi media sosial, manfaat yang akan diperoleh oleh gerakan dakwah Islamiah adalah lebih besar.