Isu-isu kontraversi amat menarik perhatian ramai untuk dibicarakan dan diberi perhatian. Kadang-kadang isu kontraversi lebih menarik minat orang membicarakannya daripada isu-isu sebenar dan utama dalam sesebuah masyarakat itu. Sebab itulah isu yang dibangkitkan baru-baru ini tentang kronisme dan hepotisme amat menarik minat dan perhatian orang ramai, termasuk orang-orang yang hanya pandai menyebutnya. Tetapi tidak mengetahui hakikat dan konsepnya yang sebenar.
Isu kronisme dan hepotisme ini tidak mungkin akan berakhir begitu sahaja, walau pun Perdana Menteri telah memberikan penjelasannya yang panjang lebar tentang perkara ini. Tentu masih ada orang yang tetap mahu menegakkan hujahnya tentang perkara ini, kerana persepsinya mungkin berbeza dan pentafsiran juga berlainan sama sekali.
Sungguhpun polemik pemikiran itu amat baik dalam proses mematangkan masyarakat dan memantapkan pemikiran bangsa, tetapi yang menjadi masalah ialah sikap tertutup dan fanatik sesetengah orang yang tidak mengamalkan dasar keterbukaan terhadap pandangan kedua dari orang lain.
Sikap fanatik dan tertutup ini sebenarnya sudah menjadi satu permainan dunia baru di dalam berbagai-bagai aspek kehidupan manusia. Manusia sekarang lebih cenderung untuk bersikap fanatik dan mengambil sikap melampau yang membayangkan sikap negatif terhadap sesuatu isu atau instituasi yang tertentu.
Sikap ini yang dicerminkan orang dalam menjatuhkan nama baik orang lain dan melancarkan fitnah dan hasutan sesama sendiri seperti yang dilakukan tulisan 50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.
Saya pernah terbaca satu wawancara yang dilakukan dengan seorang aktivis Islam di Tunisia yang bernama Syeikh Hamid al-Nayfar ketika beliau melahirkan rasa terkejutnya apabila seorang tokoh ilmuan Islam Mesir yang terkenal menuduh Syeikh tersebut yang menjadi Ketua Pengarang Majalah terkenal al-Makrifah bahawa “anda adalah petualang Bourguiba”. Syeikh tersebut melahirkan rasa terperanjatnya kerana kenyataan ini membayangkan bahawa orang yang menuduhnya itu walau pun banyak idea dan fikirannya yang disumbangkannya melalui tulisan dan buku-bukunya, tetapi ternyata ia tidak mengetahui perkembangan terakhir yang berlaku di Tunisia ketika itu. Kenyataannya dibuat semata-mata berasaskan maklumat kontraversi yang berakar umbi di dalam pemikirannya sejak beberapa lama dulu, ketika keadaan politik dan ekonomi amat berbeza sama sekali dari keadaan yang sebenar ketika kenyataan ini dikeluarkan.
Pada tahun 1974, ketika ditanya seorang aktivis Ikhwanul-Muslimin tentang proses reformasi kurikulum dan pendidikan yang hendak dilaksanakan oleh pergerakan itu dalam programnya melahirkan generasi baru yang dinamik dan komited, maka ia meminta orang yang bertanya itu supaya merujuk kepada teks Syeikh Hassan al-Banna secara literal, sedangkan Syeikh al-Banna yang meninggal dunia pada 1949 tentulah telah mengemukakan teksnya itu sesuai dengan keadaan dan eranya ketika itu. Walaupun teks Syeikh al-Banna boleh dirujuk, tetapi proses semasa dan perkembangan terbaru sesuai dengan era baru haruslah diambil kira dengan satu program baru yang lebih terkini.
Contoh-contoh begini lebih menjurus kepada pendedahan sikap orang-orang yang terlalu terikat kepada model-model yang tertentu, yang membelenggu pemikiran dan persepsinya tanpa dapat membukanya untuk pandangan yang baru yang lebih terbuka, dan hal ini membawa kepada sikap fanatik melulu yang tidak dapat melihat perkara lain dari apa yang tersarang di dalam pemikirannya.
Sebenarnya hal inilah yang menjadi aliran dan gaya pemikiran ramai orang yang tidak kukuh maklumat dan pengetahuannya dan tidak bersikap bijaksana dalam mengadili orang lain. Sikap ini merupakan sikap taksub yang membuat seseorang itu hanya melihat yang buruk dan aspek negatif pada seorang yang lain dengan memejamkan matanya kepada kebaikan yang amat banyak dilakukan oleh orang yang sama.
Perkara ini amat sering berlaku dalam arena politik, terutamanya politik kepartian yang agak sempit, dan hal ini tidaklah menimbulkan tanda tanya yang banyak, kerana ianya adalah permainan politik. Tetapi yang merunsingkan kita bahawa hal ini berlaku juga di kalangan sarjana dan ahli akademik, yang dalam kalangan ini sepatutnya baju yang putih tentulah kelihatan putih walau pun siapa saja yang memakainya, dan demikianlah sebaliknya yang hitam, merah, kuning dan sebagainya.
Dalam keadaan ini nampaknya orang-orang yang berpengetahuan yang benar-benar bijak bilangannya menjadi kecil dan turut tenggelam dalam arus pandangan ramai yang belum tentu ada kebenarannya.
Maka dalam keadaan ini nampaknya arena politik dunia turut diwarnai oleh pemikiran dan tindakan yang melampau dan ekstrim. Di Australia baru-baru ini, seorang tokoh politik yang memperjuangkan diskriminasi bangsa mendapat sokongan yang agak hebat. Di negara Yahudi, kerajaan yang dipilih ialah regim yang melampau dan yang bertindak menindas rakyat Palestin dan memperjuangkan kehendak zeonisme melampau. Di sebuah negara benua kecil di Asia – kerajaan yang dipilih rakyat juga ialah kerajaan yang memperjuangkan hak melulu bagi golongan tertentu. Kenyataan ini seolah-olah memberikan bayangan kepada kita bahawa manusia yang mencintai keamanan dan perdamaian di dunia ini nampaknya semakin berkurangan dan semakin kecil bilangannya.
Malah perjuangan bersenjata yang dilakukan oleh golongan-golongan tertentu terhadap kerajaan negara masing-masing juga, walau pun atas nama agama, kadang-kadang lebih banyak mengandungi tujuan politik dan ekonomi kumpulan-kumpulan yang tertentu, bukan untuk tujuan pembangunan bangsa dan negara secara sihat dan bertanggungjawab.
Dalam keadaan begini, saya rasa kita bukan hanya memerlukan ilmu pengetahuan dan maklumat terkini dalam pengurusan diri dan negara, tetapi kita juga perlukan kebijaksanaan atau hikmah menurut istilah yang diberikan Allah S. W. T. di dalam kitab suci al-Quran. Banyak ayat al-Quran menekankan tentang perutusan nabi-nabi kepada manusia iaitu selain dari membaca dan mengajar manusia tentang kandungan dan pengajaran kitab-kitab suci, maka mereka juga ditugaskan untuk mendidik manusia akan hikmah, wisdom, untuk kesejahteraan fizikal, mental dan kerohanian bagi manusia di peringkat individu dan kumpulan kemasyarakatan.
Satu ayat pendek dalam surah al-Baqarah iaitu ayat 269, menjelaskan bahawa sesiapa yang dikumiakan hikmah, maka sesungguhnya ia dikumiakan kebaikan yang amat banyak.
Nabi-nabi dan utusan Allah S.W.T. yang disebut Allah di dalam al-Quran rata-ratanya diutuskan untuk mengajar dan mendidik manusia supaya bersifat bijaksana dalam kehidupan ini. Pendidikan ini merupakan pendidikan minda dan pendidikan pemikiran yang mendorong manusia bersikap positif dan menjadi manusia yang lebih beradab, berdisiplin, bertanggungjawab dan berlaku adil terhadap dirinya dan terhadap orang lain.
Malah ketika menjalankan aktiviti mengembangkan ajaran Tuhan kepada orang ramai pun, satu perkara yang ditekankan oleh Allah S.W.T. ialah hikmah dan nasihat yang baik, ertinya dengan ilmu dan adab sopan santun serta nilai-nilai akhlak kerohanian yang tinggi.
Personaliti Lukmanul-Hakim di dalam al-Quran digambarkan sebagai seorang yang dikurniakan sifat hikmah dan tindakannya sesungguhnya amat bijaksana dan berkesan. Pendeknya, masyarakat Islam adalah merupakan masyarakat yang seharusnya bersih dan adil, isu yang harus dibicarakan adalah isu-isu yang dipastikan kebenarannya, tanggungjawab merupakan satu ikatan setiap individu dan kumpulan.
Dalam demam panas piala dunia yang dihidapi keseluruhan penduduk dunia hari ini pun banyak isu kontraversi timbul tentang keputusan perlawanan di antara kumpulan-kumpulan yang menentukan pasukan manakah yang akan melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Ada dikatakan bahawa pasukan Sepanyol dan Maghribi tersingkir dari pusingan seterusnya ialah kerana pakatan kontraversi antara pasukan-pasukan lain yang bersikap fanatik kebenuaan dan kebangsaan yang tertentu. Pasukan yang lemah pun diberi kemenangan oleh pasukan yang kuat semata-mata untuk membantut kemaraan pasukan yang tertentu.
Dalam hal yang lebih serius, di negara kita ini pun, media antarabangsa ketika memprojekkan perjuangan wanita menurut persepsi Islam yang sebenamya, sering memetik dan merujuk kepada satu kumpulan wanita yang amat kontraversil, iaitu kumpulan yang memperjuangkan hak wanita secara yang liberal. Kumpulan itulah yang diiktiraf dan dianggap juara perjuangan wanita Islam di Malaysia.
Saya rasa masyarakat Islam haruslah mencari jalan yang lurus, bersih, beradab, bertanggungjawab dan lebih berdisiplin dalam perjuangannya kerana urusan dunia dan akhirat. Kita harus bertanyakan diri kita sendiri, apakah orang-orang Islam ini juga akan terbawa-bawa dengan trend pemikiran dan sikap dunia moden yang amat cenderung menimbulkan kontraversi? Dan apakah kita harus juga menyertainya secara melulu?