Saban tahun, Malaysia khususnya negeri-negeri di Pantai Timur sering berdepan dengan fenomena banjir terutamanya semasa musim monsun Timur Laut yang bermula dari November dan berlarutan sehingga Mac. Justeru, masyarakat terus berhadapan dengan pelbagai cabaran dari segi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan. Antara aspek yang kritikal dan perlu diberi perhatian ialah jaminan sekuriti makanan kerana manusia amat memerlukan makanan. Dalam keadaan terdesak, amat penting untuk memastikan bahawa bekalan makanan yang selamat dan berkhasiat mencukupi untuk semua penduduk semasa dan selepas bencana banjir.
Bencana alam yang kerap melanda Malaysia menyebabkan kerugian besar kepada harta benda dan kehidupan. Fenomena tersebut bukan sahaja mengancam sektor pertanian tetapi juga mengganggu sistem pengangkutan dan logistik yang menjejaskan sistem sekuriti makanan. Tanaman yang musnah dan ternakan yang terancam boleh mengakibatkan kekurangan bekalan makanan. Manakala kerosakan pada infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan menghalang pengangkutan makanan ke kawasan yang terjejas. Ini menyebabkan harga makanan meningkat dan mengurangkan aksesibiliti kepada makanan yang berkhasiat dan mencukupi khususnya pada masa yang kritikal.
Dalam menghadapi cabaran ini, masyarakat Melayu tradisional di Malaysia telah mengembangkan kearifan tempatan yang kaya dengan pengetahuan dan amalan tradisional untuk memastikan kelangsungan hidup walaupun diancam dengan kesulitan semasa musim tengkujuh.
Sedar atau tidak, teknik pengawetan makanan yang sedia ada pada masa kini merupakan teknik yang telah dimanfaatkan sekian lama oleh masyarakat Melayu tradisional sebagai elemen kearifan tempatan dalam persediaan menjamin sekuriti makanan kala dalam fasa kesukaran.
Pengawetan makanan melalui teknik fermentasi membolehkan makanan disimpan dalam jangka masa yang panjang dan masyarakat berupaya mendepani waktu musim hujan walaupun tidak mampu keluar mencari rezeki contohnya menangkap ikan dan bertani. Ini kerana mereka telah memastikan dan bersiap siaga menghadapinya dengan memastikan bekalan makanan mencukupi melalui persediaan sebelum musim banjir. Contoh makanan yang melalui hasil peraman seperti budu, tempoyak, ikan pekasam dan ikan kering. Amalan ini bukan sahaja memastikan ketersediaan makanan tetapi juga menambah nilai pemakanan dalam diet harian contohnya budu merupakan sos bilis yang diperam dan kaya dengan pelbagai nutrien dan antioksidan. Tempoyak pula dapat memberikan nilai rasa dalam masakan. Manakala pekasam merupakan ikan yang diperam dengan garam dan beras panggang turut memberikan rasa unik dan mampu bertahan lama tanpa merosakkan kualiti ikan tersebut.
Teknik penyimpanan makanan tradisional seperti mengeringkan ikan, menjeruk sayur dan menyimpan beras dalam bekas kedap udara serta menginovasikan pelbagai jenis makanan menjadi juadah seperti keropok juga merupakan langkah membantu masyarakat memastikan makanan kekal selamat dan boleh dimakan semasa banjir. Amalan ini mengurangkan kebergantungan kepada bekalan makanan segar yang mungkin terputus semasa bencana.
Masyarakat Melayu juga menyediakan makanan tradisional yang tahan lama sebagai persediaan awal menghadapi musim tengkujuh contohnya lemang ubi kayu. Makanan tersebut disediakan oleh masyarakat Orang Asli etnik Semai Ulu Jelai sebagai hidangan tradisional harian semasa musim hujan kerana tidak mampu keluar rumah untuk bekerja. Masyarakat Melayu juga mengamalkan penanaman padi huma yang dituai sebelum musim tengkujuh sebagai persediaan menghadapi musim tersebut.
Amalan-amalan dalam pengurusan makanan masyarakat dahulu amat penting untuk dilihat supaya ia menjadi pedoman malah mempunyai kaitan signifikan dan bermanfaat untuk kehidupan seharian. Amalan ini merupakan satu nilai kearifan tempatan yang bermanfaat, penuh dengan nilai-nilai baik dan satu bentuk kepandaian dalam mengatasi masalah yang timbul.
Bioteknologi moden menawarkan peluang besar untuk memperluaskan penggunaan penapaian dalam mencipta makanan baharu dan meningkatkan kelestarian pengeluaran makanan. Tanpa kita sedari, penapaian sebenarnya sudah lama diamalkan dalam masyarakat Melayu. Amalan tradisional ini berkembang kerana ia membantu mengawet makanan, memanjangkan tempoh simpanan dan mengurangkan pembaziran. Ini sangat penting bagi memastikan bekalan makanan keluarga mencukupi terutama semasa menghadapi situasi tertentu seperti musim tengkujuh atau semasa memerlukan pengangkutan jarak jauh. Penapaian menjadi strategi penting untuk penyimpanan makanan yang berkesan dan jaminan keselamatan makanan isi rumah.
Kearifan tempatan masyarakat Melayu tradisional turut merangkumi pengetahuan luas tentang sumber alam dengan mengetahui jenis tumbuhan dan haiwan yang boleh dimakan serta kaedah mendapatkannya. Ini dapat memastikan sumber makanan alternatif tersedia apabila diperlukan.
Semangat gotong-royong dalam masyarakat Melayu akan memperkukuhkan lagi status sekuriti makanan dalam menghadapi fasa sukar yang perlu dilalui setiap tahun. Komuniti bekerjasama dalam menyediakan bekalan makanan, membina struktur perlindungan dan memastikan kesejahteraan bersama semasa musim tengkujuh. Nilai kebersamaan ini memastikan tiada individu yang terpinggir dalam menghadapi cabaran musim tengkujuh.
Kesemua amalan tradisi ini mencerminkan adaptasi masyarakat Melayu terhadap persekitaran mereka dalam memastikan kelangsungan hidup dan kesejahteraan komuniti walaupun menghadapi cabaran fenomena alam.
Usaha pengawetan makanan tersebut merupakan satu bentuk kearifan tempatan yang telah diadaptasikan ke dalam kehidupan masyarakat tempatan kini. Inovasi makanan tradisional yang melalui proses pengawetan dapat mengelakkan pembaziran sekiranya berlaku lambakan. Justeru, inovasi ini perlu dimanfaatkan oleh masyarakat pada hari ini sebagai satu bentuk kesiapsiagaan menghadapi fasa ketidaktentuan. Langkah penyimpanan stok makanan juga diamalkan oleh Nabi Yusuf AS dan rakyatnya semasa menghadapi zaman kemelesetan.
Walaupun musim banjir menjadi cabaran yang besar bagi sesetengah masyarakat tempatan tetapi dengan menggunakan kearifan tempatan Melayu yang dipadukan dengan teknologi moden, jaminan bekalan makanan dan keselamatan masyarakat dapat ditingkatkan dengan persediaan awal. Pada masa yang sama, pendidikan, kesedaran dan kerjasama antara semua pihak berkepentingan adalah kunci untuk memastikan kesejahteraan dan aksesibiliti makanan terjamin. Dengan usaha bersepadu dan menghargai nilai kearifan tempatan, kita dapat membina masyarakat yang kalis ancaman bencana dengan memastikan stok makanan yang selamat dan berkhasiat sentiasa tersedia dan kesejahteraan masyarakat terpelihara.