Tidak berapa hari sahaja lagi, kita akan memasuki bulan Ramadan – bulan yang mulia bagi umat Islam. Pada bulan ini, umat Islam diwajibkan berpuasa bagi memenuhi rukun Islam yang ketiga. Di sebalik ibadah puasa itu terselit di dalamnya satu proses melatih diri, bukan sahaja yang berkaitan dengan ibadah puasa, tetapi juga perkara-perkara lain dalam hidup kita, dengan syarat ia dilakukan bersungguh-sungguh sehingga sebati dengan hidup kita.
Dengan memenuhi syarat-syarat sah berpuasa, umat Islam terlatih dengan kesedaran tentang waktu. Misalnya, memasang niat untuk berpuasa pada setiap malam. Ini melatih kita untuk lebih sedar tentang waktu agar tidak lupa untuk berniat sebelum luput waktu. Begitu juga kita perlu menjaga waktu masuknya Subuh agar tidak lagi makan dan minum pada waktu tersebut dan menjaga waktu masuknya Maghrib agar dapat segera berbuka kerana makruh hukumnya kalau kita melambat-lambatkan berbuka.
Ketika berpuasa, umat Islam juga dituntut untuk berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, baik ketika bersama orang lain, mahupun ketika bersendirian. Kita maklum bahawa sama ada kita benar-benar berpuasa atau tidak, hanya kita dan Allah sahaja yang tahu. Bagi mereka yang tidak takutkan Tuhan, mereka hanya berpuasa di hadapan orang tetapi makan dan minum bila bersendirian. Tetapi, melalui ibadah ini, kita meneguhkan kembali prinsip “Tuhan melihat segala apa yang kita lakukan.”
Sekiranya prinsip ini tertanam kukuh dalam diri kita, kita akan takut untuk berbuat jahat dan maksiat baik di hadapan orang, mahupun ketika bersendirian selepas bulan Ramadan ini.
Dalam bulan ini juga, umat Islam dilatih untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat dan yang dituntut oleh Islam seperti membaca al-Quran dan bersedekah. Pada masa yang sama, ketika berpuasa kita dilatih untuk meninggalkan perkara-perkara yang makruh dan dilarang seperti mengumpat atau meninggalkan sembahyang.
Sekiranya kita benar-benar menjaga diri dalam proses latihan ini, tabiat-tabiat baru yang baik ini akan terus melekat dalam diri kita manakala perbuatan-perbuatan terlarang yang kita tinggalkan sepanjang Ramadan pula, akan terus meninggalkan kita buat selama-lamanya. Oleh itu, hayatilah Ramadan ini dengan sebaik-baiknya agar kita menjadi `orang baru’ menjelang Syawal kelak.
Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang perlu kita ingat sepanjang bulan Ramadan ini. Pertama, bersahurlah kerana ada keberkatannya di samping sahur merupakan faktor yang membezakan puasa umat Islam dengan penganut agama lain.
Kedua, bersederhanalah dalam makan dan minum serta berbelanja. Ini juga amat dituntut oleh Islam. Jadi, makanlah secara sederhana ketika bersahur dan berbuka. Makan banyak pada ketika ini tidak menjadikan kita lebih bertenaga keesokan harinya. Malah, ia mungkin akan lebih melemahkan kita. Yang penting, pilihlah makanan yang berzat, berkhasiat dan yang boleh memberikan tenaga untuk sepanjang bulan Ramadan ini. Kurma adalah satu daripada makanan yang memenuhi keperluan ini.
Kesederhanaan juga perlu diamalkan ketika berbelanja membeli juadah untuk berbuka. Kini, Pasar Ramadan menjadi sebahagian daripada hidup kita, khususnya orang kota yang sibuk bekerja serta kesuntukan masa untuk memasak. Namun, berpada-padalah ketika berbelanja. Kita juga perlu ingat bahawa kita membeli ketika perut sedang lapar. Sudah pasti semuanya nampak enak dan lazat. Tetapi, selepas berbuka, bila satu demi satu makanan dimakan, akhirnya juadah yang kelihatan begitu enak pun hilang serinya, apalagi nikmatnya. Akhirnya, juadah itu dibuang begitu sahaja. Oleh itu, berbelanjalah dengan akal dan bukannya nafsu. Mengehadkan wang untuk berbelanja pada setiap petang adalah satu idea yang baik yang boleh membantu ke arah bersederhana.
Dari segi kerja, sepatutnya produktiviti kita meningkat di bulan puasa. Banyak masa yang selama ini di gunakan untuk makan dan minum, dapat kita gunakan untuk menyiapkan kerja. Lagi pula dengan larangan membuang masa, kita tidak perlu berbual kosong kerana diam adalah lebih baik untuk orang yang berpuasa.
Satu lagi keistimewaan bulan Ramadan ini ialah sembahyang Terawih. Walaupun ia boleh dilakukan di rumah, ramai yang suka melakukannya secara berjemaah di surau atau masjid. Satu isu yang sering timbul ialah kenakalan kanak-kanak yang hadir sehingga mengganggu tumpuan jemaah untuk bersembahyang.
Para ibu bapa mempunyai pelbagai alasan kenapa mereka membawa kanak-kanak ini. Ada yang mahu agar anak-anak mereka menyertai ibadah ini. Bagi yang memiliki anak-anak yang lebih kecil (bawah lima tahun) pula, mereka mahu mendidik anak-anak mereka untuk mengimarahkan (meramaikan) masjid. Tetapi ada juga yang membawa anak-anak kecil semata-mata kerana mereka tiada alternatif lain kerana ibu bapa sama-sama ingin merebut peluang sembahyang berjemaah di masjid.
Pada kali ini, jika kita ingin melatih anak untuk pergi ke masjid, kita juga perlu mengajar mereka adab-adab ketika berada di dalam masjid agar tingkah laku mereka tidak mengganggu jemaah yang lain yang mahu beribadat. Atau apakah mungkin, setelah mengetahui keghairahan jemaah untuk menunaikan ibadah ini di surau atau masjid, pihak pengurusan masjid menyediakan penjaga untuk mengawal-selia kanak-kanak itu sementara ibu bapanya beribadah? Dalam sesuatu kariah itu, tentu ada ramai wanita yang tidak boleh sembahyang kerana haid, mereka boleh diminta untuk membantu. Wanita-wanita ini pula perlu melihat perkara ini sebagai satu peluang untuk melakukan kebaikan (ibadah) pada ketika mereka tidak boleh melakukan banyak ibadah wajib dan sunat.
Berkaitan dengan tazkirah pula, memanglah usaha untuk mengadakan majlis ilmu seperti ini merupakan satu usaha yang murni. Namun, carilah penceramah yang benar-benar ikhlas mahu mendidik ummah, yang dapat memberikan ceramah yang tulen tanpa memperlekeh, mempersenda, mahupun menyentuh peribadi orang lain.
Sementara menanti kehadiran Ramadan, bukalah kembali buku fekah dan bacalah tentang ibadah puasa.