KEMPEN ‘Nafas Baru Mulai Ramadan’ kali ini membincang pengaruh asap rokok terhadap ahli keluarga, anak, isteri dan sahabat handai. Mereka adalah perokok pasif yang turut terhidu asap rokok di rumah atau tempat kerja.
Asap rokok adalah punca utama pencemaran udara dalam rumah. Dalam satu kajian di negara ini, lebih 60 peratus rumah ada orang yang merokok. Kajian sama juga mendapati 64 peratus Melayu merokok di hadapan anak mereka dalam rumah.
Asap rokok yang terperangkap dalam rumah akan menjejaskan kesihatan seluruh ahli keluarga, khususnya, kanak-kanak yang sangat sensitif terhadap kandungan asap rokok. Ini kerana ia mempunyai bahan kimia dan dadah berbahaya.
Bagi ibu hamil yang terdedah dengan asap rokok, racun dalam asap rokok akan sampai kepada bayi dalam kandungannya dan mengganggu tumbusaran janin. Gangguan ini boleh merencatkan pembesaran janin dan menyebabkan kelahiran tidak cukup bulan dan kadang kala kematian dalam rahim dan keguguran.
Bayi yang dilahirkan oleh ibu merokok relatifnya lebih kecil untuk tempoh kandungannya dan mudah diserang jangkitan kuman. Ia boleh juga mengalami kelembapan mental.
Asap rokok pasif yakni asap rokok yang dihidu oleh bukan perokok, terbukti menyebabkan pelbagai penyakit serius, termasuk kanser paru-paru dan penyakit jantung.
Apatah lagi penyakit seperti batuk selesema dan sakit kepala. Bagi kanak-kanak pula, asap rokok pasif ini dikenal pasti melalui kajian saintifik di merata dunia adalah antara punca penyakit pernafasan, penyakit telinga tengah dan serangan asma.
Ibu bapa merokok bukan saja meletakkan anak mereka pada bahaya penyakit, malah kemungkinan bagi kecacatan anggota serta menggugat pertumbuhan fizikal dan minda ahli keluarga mereka sendiri.
Kanak-kanak dari ibu bapa yang merokok juga adalah lebih cenderung mencontohi tabiat buruk ini apabila mereka meningkat dewasa kelak. Ayah atau abang yang merokok akan menjadi ‘model’ untuk mereka. Baik buruknya kebangkitan tunas baru, bergantung rapat dengan apa yang dibiasakan oleh ayahnya.
Firman Allah, maksudnya: “Allah mewariskan ke atas kamu terhadap anak-anak kamu.” (Surah an-Nisa’, ayat 11)
Ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya dalam membentuk perlakuan anak mereka. Hadis bermaksud : “Tiada seorang ayah yang memberikan anaknya suatu pemberian lebih baik daripada adab yang mulia.” (Hadis riwayat At-Termidzi)
Dapati ramai perokok dalam masyarakat kita, merokok dalam rumah dan di hadapan anak mereka.
Bagi mereka bukan perokok, asap rokok amat mengganggu keselesaan mata, hidung dan tekak. Di samping baunya, ia boleh menyebabkan mata berair, hidung tersumbat, batuk, bersin, sesak nafas dan sakit kepala. Bagi penghidap penyakit lelah (asma), asap rokok menyebabkan alahan dan boleh membawa kepada serangan penyakit itu, lalu memburukkan lagi keadaan pengidap asma.
Daripada maklumat mengenai kemudaratan asap rokok terhadap kesihatan, maka isu berhubung menghidu asap rokok secara terpaksa atau secara pasif semakin ketara. Ia menjadi persoalan hak asasi manusia yang semakin hebat diperkatakan di negara maju. Asap rokok mengganggu keselesaan dan menjadi punca utama pencemaran udara dalaman, di kebanyakan bangunan dan tempat awam.
Dari perspektif Islam, merokok adalah perbuatan buruk yang tidak sesuai dengan nilai murni dalam kehidupan seorang Muslim. Fatwa bahawa merokok adalah haram pernah dikeluarkan oleh ramai ulama tempatan dan antarbangsa, termasuk Mufti Mesir, Dr Nasr Fareed Wassil.
Peranan agama disedari sangat kuat dalam mempengaruhi penstrukturan hidup masyarakat Muslim dengan memberi galakan, motivasi dan sokongan dalam melakukan perubahan gaya hidup. Pengaruh keluarga juga tidak boleh dipandang ringan, terutama oleh ibu bapa atau adik-beradik yang merokok yang akan menjadi ‘model’ kepada mereka.
Islam tidak membenarkan penganutnya merosak, menyakiti atau mengganggu orang lain. Larangan ini cukup jelas, Kalau terhadap orang lain tidak dibenarkan melakukan hal buruk itu, maka terhadap diri sendiri tentu lebih dilarang lagi.
Islam melarang kita melakukan sesuatu yang boleh merosakkan kesihatan dan mengancam kehidupan. Apa saja yang dimasukkan ke dalam tubuh dan saraf, hendaklah yang baik, bersih dan menjaminkan keselamatan jasmani, akal dan rohani.
Tabiat merokok dengan cara menyedut masuk ke dalam badan adalah cara yang merosak dan mengancam diri. Menghisap rokok adalah suatu perbuatan ‘membunuh diri’ sendiri dan orang atau makhluk lain yang sentiasa terdedah kepada asap yang berpunca daripada perokok itu. Sungguhpun proses pembunuhan ini mengambil masa agak lama.
Sebelum berlaku penyakit berat yang membawa maut, pelbagai penyakit lain boleh dialami oleh mereka seperti batuk kecil (batuk perokok), migrain, sakit kepala, rasa kebas di kaki dan pedih ulu hati.
Rokok adalah penyebab utama kesengsaraan dan kematian yang boleh dielakkan sama sekali pada zaman moden ini
Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah Maha Penyayang.” (Surah an-Nisa’, ayat 29).
Adalah diharapkan agar maklumat ini dapat memberi manfaat kepada kita dan dapat bersama-sama mengatasi masalah tabiat merokok.
Ramadan, penghulu segala bulan menyediakan suasana yang sangat baik untuk berhenti merokok. Suasana di tempat kerja, pejabat, rumah pada waktu siang atau malam berbeza dan ini dapat membantu perokok berhenti merokok.
Kajian mendapati 95 peratus perokok Muslim yang menyatakan mudah untuk berhenti merokok pada Ramadan mempunyai peluang keemasan untuk berjaya berhenti merokok menjelang ketibaan Ramadan ini.
Anak dan isteri memainkan peranan penting bagi memberi dorongan untuk bapa atau suami agar dapat membantu dalam usaha membuang tabiat bergantung dengan dadah nikotin rokok.
Marilah bersama-sama dengan mengambil keberkatan Ramadan al-Mubarak serta hidayah, keampunan dan bantuan daripada Allah supaya kita dapat meninggalkan tabiat merokok yang dilarang oleh agama dan seterusnya menjaga kesejahteraan diri, anak dan isteri kita.